KUALA TERENGGANU, 14 Mei:

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman perlu merangka langkah segera bagi merapatkan perbezaan pendapat dan sentimen di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan  Nasional (BN), pemimpin UMNO dan anggota akar umbi parti itu.
Cabaran itu perlu digalas dengan berhemah selepas bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bertindak keluar daripada BN dan mengisytihar diri sebagai calon bebas.
Menurut penganalisis politik Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian, imej yang tercalar dengan tindakan bersifat emosi itu masih ada peluang untuk dibaiki.
“Hendak bina moral satu lagi proses, Menteri Besar baharu perlu rapatkan barisan. Beliau jangan mengetepikan mana-mana puak supaya UMNO kembali pulih walaupun imej tercalar,” kata Dr. Siva.
Jelasnya apa yang berlaku bukan setakat memberi imej yang buruk kepada parti tetapi kesan jangka panjang termasuk kewibawaan pucuk pimpinan UMNO negeri.
Bagi Dr. Siva, untuk tempoh enam bulan akan datang, ia menjadi peralihan penting untuk memperbaiki kerosakan dan seterusnya membina semula moral ahli yang kemungkinan bersimpati dan terpengaruh dengan tindakan Ahmad keluar parti selepas meletak jawatan.
Dalam situasi yang tidak menentu, pucuk pimpinan UMNO pusat perlu mencari beberapa mekanisma termasuk menilai semula kedudukan Pengerusi Badan Perhubunan UMNO Negeri yang  sebelum ini dipegang Menteri Besar.
“Parti di peringkat pusat perlu mencari mekanisme untuk negeri yang bermasalah, seperti formula yang digunakan oleh Naib Presiden UMNO mengambil alih Badan Perhubungan UMNO negeri yang bermasalah pada 2008,” syornya.
Mengulas mengenai kedudukan Ahmad selepas membuat keputusan drastik itu, Dr. Siva berpandangan, ADUN Kijal itu akan keseorangan kerana telah bertindak mengikut emosi sehingga mengetepikan kepentingan parti.
“Datuk Seri Idris Jusoh, Datuk Seri Shahidan Kasim dan Tan Sri Rahim Thamby Chik antara mereka yang perlu dijadikan contoh di mana tidak melawan ketika diminta melepaskan jawatan yang disandang bagi memastikan keharmonian dalam parti pimpinan UMNO itu sendiri,” jelas Dr. Siva ketika dihubungi The Rakyat Post.
Berdasarkan tindak tanduk Ahmad, rakyat Terengganu akan membuat penilaian dan mempunyai persepi sendiri terhadap keputusannya yang dilihat lebih bersifat melulu dan kurang bijak.
Pada Selasa, tiga ADUN Barisan Nasional (BN) bertindak keluar daripada UMNO untuk menjadi wakil rakyat bebas dan Ahmad Razif dilantik menggantikan Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu.
ADUN Bukit Besi, Roslee Daud kembali semula kepada parti manakala Ahmad dan ADUN Ajil, Ghazali Taib nekad meninggalkan UMNO dengan menjadi calon bebas.