GEORGE TOWN, 18 Mei:
Pengaruh DAP sangat kuat dalam kancah politik Pulau Pinang dan tanpa kehadiran MCA selaku pencabar utamanya, saingan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Bukit Gelugor, P51, bagaikan kurang meriah, menurut kebanyakan pengundi yang tinggal di kawasan itu.
Umpama liga bola sepak, DAP ibarat memenangi beberapa ‘trofi’ sebelum ini, sudahpun dinilai sebagai juara, apatah lagi sebagai pasukan naib juara dalam Pakatan Rakyat (PR), pencabar underdog yang mewakili bebas bukanlah saingan parti itu untuk mengekalkan kejuaraan dalam PRK ini.
DAP dan PR ibarat pasukan Liverpool, walaupun pasukan itu banyak menjaringkan gol dalam tempoh satu musim, tetapi ia tidak mampu merebut tangga teratas, manakala Barisan Nasional (BN) pula ibarat Manchester City yang mudah merampas tangga teratas liga.
Itulah pandangan ramai dalam tinjauan yang dilakukan The Rakyat Post mengenai parti bertanding pada PRK Parlimen Bukit Gelugor.
Buat julung kalinya sejak 2004, MCA tidak menghantar calon mereka menyertai PRK.
Ketiadaan MCA menjadikan PRK kali ini agak hambar, bagaikan berada di Anfield tanpa penonton, kerana ia adalah parti yang mewarnai sejarah pilihan raya di Parlimen Bukit Gelugor selama ini.
Hakikatnya, ramai yang berharap anak ketiga mendiang Karpal Singh, Ramkarpal Singh Deo diberi kemenangan percuma pada PRK ini, berdasarkan faktor lebih 40,000 majoriti undi yang diperolehi Karpal pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), antara jumlah terbesar dalam sejarah PRU.
Karpal yang juga bekas Pengerusi DAP meraih majoriti 42,706 undi, ketiga tertinggi selepas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok daripada parti sama yang memperoleh 51,552 majoriti undi dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Sim Chee Keong yang mendapat 43,063 majoriti undi.
Menurut Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian, masyarakat Cina khususnya yang tinggal di kawasan Parlimen Bukit Gelugor bakal mengundi DAP, berdasarkan sentimen politik di Pulau Mutiara yang memihak kepada DAP.
“Dalam sejarah Bukit Gelugor, DAP mempunyai pengaruh kuat. Pengundi akan memberikan undi kepada DAP kerana faktor simpati dan mengenang budi Karpal,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.
Berdasarkan senarai daftar pemilih, 74.33 peratus atau 61,267 daripada 82,431 pengundi berdaftar terdiri daripada kaum Cina, Melayu (14.46 peratus), India (10.73 peratus) dan kaum lain (0.49 peratus).
Sivamurugan berkata, sudah tiga penggal DAP menguasai kerusi Parlimen itu dan ternyata mendiang Karpal berjaya meningkatkan undian hampir 100 peratus sejak 2004.
Jelasnya, DAP tidak mengambil masa terlalu lama untuk memilih calon yang dirasakan layak untuk bertanding bagi memastikan legasi Harimau Jelutong tidak lenyap begitu sahaja.
“Sesiapapun yang diturunkan tidak menjadi masalah, kerana Bukit Gelugor adalah kubu kuat DAP. Saya percaya DAP tidak berdepan laluan sukar pada PRK kali ini, kerana hanya calon Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Chen Guan dilihat mampu menjadi pencabar DAP,” katanya.
Jelasnya, tindakan DAP yang dilihat mengamalkan nepotisme dengan menurunkan calon anak bekas penyandangnya itu tidak akan menjejaskan undi kaum Cina di kawasan berkenaan.
“Amalan nepotisme merupakan lumrah politik di negara ini, kerana ia berlaku dalam UMNO, PAS, PKR, MCA dan MIC sendiri.
“Apa yang dilihat pengundi bukanlah amalan ini, tetapi kewibawaan dalam memikul tanggungjawab sebagai ahli parlimen selepas ini,” katanya.
Mengenai ramalan awal PRK Parlimen Bukit Gelugor, Sivamurugan menjelaskan, pengundi Cina sudah pasti akan mempengaruhi keputusan itu, selain faktor kesetiaan kepada parti berkenaan yang mempunyai majoriti ahli terdiri daripada kaum Cina.
“Di Bukit Gelugor, pola pengundian akan teruji sedemikian rupa kerana pengundi lebih bersifat setia dan akan pengaruhi keputusan.
“Selain itu, penduduk setempat juga mengiktiraf Karpal yang telah mewakili rakyat Bukit Gelugor dan tidak hairan jika undi simpati diberikan berdasarkan sumbangan bapa kepada anaknya, Ramkarpal,” katanya.
Mengulas lanjut, Parlimen Bukit Gelugor bukan medan untuk menguji penerimaan masyarakat Cina terhadap sesebuah parti sebaliknya masyarakat setempat sendiri bijak untuk menilai bentuk sokongan yang diberikan.
“Bukit Gelugor memang kubu kuat DAP memandangkan keputusan lalu dari 2004 hingga 2013 naik sebanyak 100 peratus. Melihat keputusan ini sahaja sudah tentu kemenangan sudahpun boleh dijangka.
“Dari pemerhatian, kaum Melayu dan India akan mengundi calon lawan dari parti bebas jika mereka bukan penyokong setia DAP atau sekadar beri undi rosak manakala pengundi BN pula tidak akan keluar mengundi dan di sini majoriti undian akan berkurangan,” katanya.
Ujar beliau, jika hal ini berlaku cabaran itu bakal memberi peluang kepada masyarakat untuk melihat sejauh mana kemampuan anak harimau Jelutong, Ramkarpal sama ada dia mampu menandingi majoriti bapanya atau tidak.
“Inilah cabaran untuk Ramkarpal. Adakah dia mampu tandingi majoriti bapanya jika kadar keluar mengundi lebih rendah dan bakal mempengaruhi majoriti undian. Untuk PRK kali ini, DAP perlu bekerja lebih kuat untuk menarik sokongan dan mempertahankan majoriti undian sedia ada pada masa yang sama.
“Di sini kita dapat lihat sama ada Ramkarpal mampu keluar dari bayang bapanya dan dilihat memiliki kewibawaan dan kebolehan yang tersendiri atau tidak,” katanya.
Calon bebas yang bertanding tanpa tiket parti dikatakan sekadar mewarnai PRK untuk memecah undian tetapi jentera mereka tidak dapat bergerak secara licin dan hal ini akan menganggu proses PRK.
“PRK Bukit Gelugor bukan gelanggang untuk calon bebas, Abu Backer Sidek Mohamad Zan dan Mohamed Nabi Bux Abdul Sathar kerana kemenangan DAP seolah-olah  begitu jelas sehingga memaksa MCA mengangkat bendera putih sebelum turun ke padang.
“Kemungkinan besar atas sebab ini, PRK Bukit Gelugor kurang meriah tanpa kehadiran pencabar kuat dari calon BN. Jika mereka bertanding pastinya lebih meriah kerana bila pencabar lemah pertandingan ini kurang mendapat perhatian,” katanya.
Tambahnya, setiap calon yang berkempen perlulah tampil profesional tanpa sebarang hasutan.
“Berkempen secara menghasut kurang sihat terutamanya buat negara yang terdapat masyarakat pelbagai etnik. Oleh itu, mana-mana calon perlulah bermoral serta mengelak dari mencetuskan provokasi dan hasutan.
“Berilah fakta yang tepat baik dari segi penjenamaan yang bersesuaian di setiap lokasi yang mempunyai demografi berbeza,” katanya.