Wednesday, October 30, 2019

'Calon BN penentu peluang rampas semula kerusi Tanjung Piai'@Sinar Harian, 30 Oktober 2019

 

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) mampu merampas semula kerusi Parlimen Tanjung Piai bergantung kepada calon yang akan diletakkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) November ini.
Penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, meskipun Pakatan Harapan (PH) telah mengumumkan calon lebih awal ia tidak memberi kelebihan kepada parti itu kerana yang penting adalah siapa lawannya.
Menurutnya, PH kini bergantung kepada strategi untuk memastikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dapat mempertahankan kerusi tersebut memandangkan mereka hanya memperolehi kemenangan tipis pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.
"Bagi saya, apa yang berlaku banyak bergantung kepada pengundi luar dan undi protes, jadi kemenangan akan berpihak kepada calon yang dapat memastikan pengundi luar balik dan menyokong mereka serta memperolehi undi-undi protes yang dibuat pada PRU14," katanya kepada Sinar Harian.
Ditanya adakah calon yang bakal diletakkan oleh Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mampu memberi persaingan kepada BN dan PH, beliau berkata, PRK Tanjung Piai masih dilihat sebagai pertembungan BN dan PH.
Katanya, Tanjung Piai merupakan kubu kuat BN bagaimanapun BN perlu meletakkan calon yang sesuai dan memastikan tidak ada sabotaj dalaman untuk merampas semula kerusi tersebut daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
"Saya rasa (meletakkan calon Melayu) mungkin strategi terbaik untuk menang balik kerusi tersebut walaupun tradisinya kerusi MCA. BN boleh cuba gunakan Muafakat Nasional yang boleh dizahirkan di kawasan Tanjung Piai," katanya

Thursday, October 03, 2019

'Pengguna sosial tidak setuju calon pilihan raya usia 18 tahun'@Sinar Harian, 3 Oktober 2019



 



SHAH ALAM - Majoriti pembaca Sinar Harian tidak bersetuju dengan cadangan parti-parti politik kini boleh meletakkan calon berusia 18 tahun bertanding dalam pilihan raya bermula dengan Pilihan Raya Kecil(PRK) Tanjung Piai, Johor pada 16 November depan.

Tinjauan dilakukan Sinar Harian menerusi laman sosial Facebook dibuka sejak pagi semalam menerima undian netizen sebanyak 12,894 dengan 86 peratus daripada pembaca menolak cadangan manakala 14 peratus bersetuju.

Di ruangan komen, pengguna Noraini Wahab berpendapat, "Sepatutnya usia 18 tahun utamakan pelajarannya dahulu ke peringkat tinggi, baru boleh dapatkan pengetahuan berpolitik untuk membangunkan negara."

Bagi pengguna Yuss Soleh, dia membangkang penuh cadangan itu kerana merasakan usia lingkungan remaja itu belum cukup matang untuk berpolitik, apatah lagi memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

"Ini akan menjadikan negara lagi cepat musnah...Umur belum cukup matang walau ada kelayakan akademi...Elok bermula dengan menjadi ahli biasa dulu...Ramai lagi yang veteran."

Seorang lagi pengguna, Puma Jaguar pula mempersoalkan tahap pendedahan seorang remaja seawal usia 18 tahun dalam bidang politik dan pengetahuan dalam selok-belok pentadbiran dan perhubungan awam.

"Dengan usia begitu muda, sejauh mana pendedahan mereka dalam bidang politik dan selok belok pengetahuan dalam aspek pentadbiran negara serta perhubungan awam?"

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia(USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, keputusan tinjauan secara atas talian itu menunjukkan tahap penerimaan masyarakat negara ini terhadap sistem undi pilihan raya umur 18 tahun ke atas diamalkan di seluruh dunia belum memberangsangkan.

Menurutnya, pihaknya melihat tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan calon berusia 18 tahun ke atas bertanding pada PRK Parlimen Tanjung Piai sebagai persediaan awal bagi menyuburkan kesedaran berpolitik dalam kalangan belia negara ini.

"SPR ada menyatakan terdapat proses pindaan undang-undang perlu dilaksana kerajaan bagi membolehkan pengundi muda berusia 18 tahun ke atas diberi hak mengundi pada pilihanraya akan datang.

"Saya fikir langkah SPR membenarkan calon berusia 18 tahun ke atas bertanding pada PRK kali ini adalah inisiatif awal agensi itu menyuburkan budaya cakna politik dalam kalangan golongan belia sekaligus menunaikan tanggungjawab mengundi.

"Soal sama ada calon remaja itu matang atau tidak bukan isu penting, sebaliknya semua pihak termasuk masyarakat setempat harus mencari jalan meningkatkan literasi politik dalam kalangan belia bagi menyuburkan amalan demokrasi negara," katanya.

 

Wednesday, October 02, 2019

'Calon 18 tahun bertanding dalam pilihan raya: Persediaan berdepan revolusi sistem demokrasi'@Bernama, 2 Oktober 2019

 


KUALA LUMPUR, 2 Okt -- Keputusan membolehkan individu berusia 18 tahun bertanding dalam pilihan raya, bermula dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor November depan dilihat sebagai persediaan awal untuk berdepan revolusi sistem demokrasi di negara ini.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata walaupun nampak janggal individu berusia 18 tahun dibenarkan menjadi calon, itu mungkin cara SPR mahu melihat tahap penerimaan semua pihak berkaitan perkara berkenaan.

"Saya tidak rasa keputusan SPR ini sesuatu yang tergesa-gesa, walaupun isu pendaftaran pengundi (penurunan had umur mengundi dari 21 tahun hingga 18 tahun) belum dimuktamadkan.

“Barangkali, SPR mahu melihat reaksi peralihan ke arah umur 18 tahun dengan membenarkan calon muda ini terlebih dahulu bertanding, memandangkan kelayakan mengundi ada proses perundangan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan mana-mana parti politik yang bertanding dalam PRK Tanjung Piai pada 16 Nov ini boleh meletakkan calon berusia 18 tahun sejajar dengan Pindaan Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan yang diwartakan pada 10 Sept lepas.

Namun Azhar berkata pengundi berusia 18 tahun tidak boleh mengundi dalam PRK tersebut kerana pelaksanaannya masih belum dikuatkuasakan.

Mengulas lanjut Sivamurugan berkata, bagaimanapun calon muda yang bakal bertanding perlu diingatkan bahawa kerja mentadbir negara bukanlah sekadar mencuba-cuba tetapi satu tanggungjawab besar.

"Saya percaya ada sebahagian calon muda ini yang lebih bertanggungjawab daripada golongan dewasa yang bersifat provokasi dan beremosi," tambahnya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UAIM) Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata tiada masalah untuk meletakkan calon berusia 18 tahun walaupun tempoh mendaftar sebagai pengundi belum dimuktamadkan.

Menurutnya perubahan membenarkan calon muda bertanding dilihat sebagai keputusan yang berani dan komprehensif memandangkan golongan tersebut mempunyai potensi mengatasi calon lebih tua kerana faktor iltizam yang tinggi serta mempunyai tenaga untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Dalam pada itu, presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha pula berpendapat calon berusia 18 tahun yang bertanding perlu diraikan memandangkan ia adalah laluan kepada mereka menjadi wakil bagi golongan umur tersebut di Parlimen kelak.

"Walaupun proses kebenaran mengundi mengambil masa, namun kita patut benarkan calon umur 18 tahun ini bertanding dahulu. Apa pun, ia bergantung kepada persetujuan parti, kesediaan dan kelayakan calon muda tersebut serta kelulusan daripada pegawai pengurus pilihan raya," katanya.

Sementara itu, di Kota Bharu, Presiden Pertubuhan Suara Kelantan Darul Naim (Suara Kelantan) Isham Sharuddin berkata, senario ini amat menarik untuk di ikuti lebih-lebih lagi ini julung kali calon berusia 18 tahun boleh bertanding.

Beliau berkata perkembangan itu menunjukkan sistem demokrasi di negara ini semakin sihat apabila golongan muda diberi ruang untuk bersama-sama menyuarakan suara serta hak mereka.

Katanya pandangan mereka semestinya banyak perbezaan dengan golongan yang lebih dewasa malah lebih dekat dengan anak muda.

"Bagi pihak Suara Kelantan, saya amat berbesar hati apabila Suara Anak muda diberi ruang oleh pihak kerajaan untuk terlibat secara langsung dan lebih menjurus dalam sistem demokrasi di negara ini," katanya.

-- BERNAMA


Blog Archive