Wednesday, October 30, 2019

'Calon BN penentu peluang rampas semula kerusi Tanjung Piai'@Sinar Harian, 30 Oktober 2019

 

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) mampu merampas semula kerusi Parlimen Tanjung Piai bergantung kepada calon yang akan diletakkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) November ini.
Penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, meskipun Pakatan Harapan (PH) telah mengumumkan calon lebih awal ia tidak memberi kelebihan kepada parti itu kerana yang penting adalah siapa lawannya.
Menurutnya, PH kini bergantung kepada strategi untuk memastikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dapat mempertahankan kerusi tersebut memandangkan mereka hanya memperolehi kemenangan tipis pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.
"Bagi saya, apa yang berlaku banyak bergantung kepada pengundi luar dan undi protes, jadi kemenangan akan berpihak kepada calon yang dapat memastikan pengundi luar balik dan menyokong mereka serta memperolehi undi-undi protes yang dibuat pada PRU14," katanya kepada Sinar Harian.
Ditanya adakah calon yang bakal diletakkan oleh Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mampu memberi persaingan kepada BN dan PH, beliau berkata, PRK Tanjung Piai masih dilihat sebagai pertembungan BN dan PH.
Katanya, Tanjung Piai merupakan kubu kuat BN bagaimanapun BN perlu meletakkan calon yang sesuai dan memastikan tidak ada sabotaj dalaman untuk merampas semula kerusi tersebut daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
"Saya rasa (meletakkan calon Melayu) mungkin strategi terbaik untuk menang balik kerusi tersebut walaupun tradisinya kerusi MCA. BN boleh cuba gunakan Muafakat Nasional yang boleh dizahirkan di kawasan Tanjung Piai," katanya

No comments:

Blog Archive