Penganalisis Politik, Prof. Dr. Sivamurugan Pandian berkata, segelintir pemimpin tidak berani bersuara kerana takut dengan risiko yang bakal dihadapi apabila mengeluarkan sebarang kenyataan kelak.
“Ada (pemimpin) yang masih bersikap kiasu dengan memberikan pandangan mengikut keselesaan mereka. Jadi, mungkin segelintir lain khuatir kehilangan sokongan atau sebaliknya bersedia mengambil risiko untuk melontarkan pandangan yang sebenarnya hanya mewakili suara peribadi bukan suara parti,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.
Beliau mengulas satu perarakan di Dataran Merdeka kelmarin, apabila terdapat pihak didakwa melaungkan slogan seperti ‘Hidup LGBT’ dan mengibarkan bendera pelangi yang menandakan sokongan mereka terhadap golongan itu.
Pendukung LGBT juga cuba memutar belitkan isu menerusi ciapan dalam Twitter apabila mendakwa kononnya golongan LGBT ditindas dan sukar mendapatkan pekerjaan di negara ini.
Mengulas lanjut, Sivamurugan menolak fahaman Islam Progresif yang diperjuangkan oleh Komuniti Muslim Universal kerana cuba membawa interpretasi berbeza.
“Islam adalah Islam, yang memberikan terjemahan progresif adalah pengikutnya yang kadang-kadang diadun alam sosio eko politik tanah air. Bagi mereka yang mempertahankan hak LGBT mungkin sebahagiannya tidak memahami agama dan ada yang melihat daripada segi hak.
“Adakalanya, ‘isu’ itu diangkat dan diturunkan (pemimpin politik), sedangkan dalam konteks Islam tidak patut berubah sebab itu kita melihat pendirian beberapa mufti secara jelas yang memberikan pandangan mengikut tuntutan agama,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE