Monday, July 24, 2017

Thursday, July 20, 2017

'PH Perlu Anwar Untuk Kekal Dalam Pentas Politik Negara - Dr Sivamurugan', Awani 501, 20 Julai 2017

PH perlu Anwar untuk kekal dalam pentas politik negara - Dr Sivamurugan

PH perlu Anwar untuk kekal dalam pentas politik negara - Dr Sivamurugan
DR SIVAMURUGAN: PH masih memerlukan khidmat Anwar untuk memastikan sokongan rakyat terutama golongan reformasi kekal dalam arus politik perdana negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) masih memerlukan khidmat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan sokongan rakyat terutama golongan reformasi kekal dalam arus politik perdana negara.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Sivamurugan Pandian bagaimanapun berkata, PH perlu menerangkan dengan lebih jelas perbezaan fungsi ketua umum, pengerusi dan presiden gabungan itu.

Jelasnya terdapat pertembungan personaliti dalam ketiga-tiga jawatan di dalam PH itu yang menimbulkan kegusaran rakyat.

“Kedudukan ketua umum masih lagi untuk membuat keputusan dan berikan arahan, manakala pengerusi berfungsi untuk menetapkan, mencari platform atau landasan bagi perjalanan perbincangan, diskusi serta sumbang saran dalam PH.

“Presiden pula memainkan peranan dalam melaksanakan serta menggerakkan perjalanan PH. Kita juga harus melihat kedudukan dewan presiden, iaitu badan tertinggi dalam PH, di mana ketuanya ialah Datuk Seri Wan Azizah.
“Baru-baru ini wujud dilema tentang mengapakah mesyuarat dipengerusikan oleh pengerusi dan bukan oleh presiden di bawah dewan presiden yang berperanan sebagai dewan harian atau yang menentukan perjalanan harian PH itu sendiri. Dalam konteks ini, jika tidak wujud penjelasan yg lebih jitu dan meyakinkan maka akan wujudlah persepsi secara berterusan ke atas PH,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


 Pada Rabu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, beliau tidak melihat berlakunya kekeliruan jawatan-jawatan tertinggi dalam PH.

Jelasnya, setiap jawatan ada peranan masing-masing yang akan diputuskan melalui perlembagaan parti tidak lama lagi.
 
Dalam pada itu, jelas Dr Sivamurugan, jawatan ketua umum pernah diwujudkan ketika Anwar ditahan pada 1998.

“Kita harus melihat sejarah peruntukan jawatan ketua umum yang dibuat ketika Anwar ditahan pada 1998 di mana ketika itu sukar untuk membuat keputusan rasmi, maka jawatan itu dilahirkan supaya beliau masih boleh membuat keputusan dan memberi arahan kepada Wan Azizah.

“Saluran yang dibuat (ketua umum) memastikan tiada keputusan dibuat tanpa persetujuan daripada Anwar jadi ia usaha untuk memujuk golongan reformasi untuk terus menyokong walaupun dengan kehadiran Dr Mahathir sebagai pengerusi PH.

“Saya percaya keyakinan bergantung kepada bagaimana mereka boleh melahirkan kepercayaan ke atas struktur baharu ini memandangkan wujudnya tiga jawatan yang berbeza seolah-olah akan melahirkan pertembungan dalam konteks menentukan keputusan,” tegasnya.

Tambahnya, setiap personaliti yang memegang jawatan tertinggi di dalam PH mempunyai penyokong masing-masing yang perlu diyakinkan selain langkah pembentukan ideologi politik baharu atau berasaskan politik berdasarkan personaliti.

“Jika personaliti itu yang diutamakan, maka akan runtuhlah pembentukan ideologi politik baharu yang akan menyukarkan proses untuk melahirkan keyakinan secara berterusan yang akan beri impak kepada PH,” ujarnya.

Sebelum ini Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Salleh Said Keruak berkata, PH cuba menyembunyikan fakta daripada rakyat Malaysia bahawa DAP, yang mempunyai kerusi terbanyak di Parlimen dalam kalangan parti gabungan pembangkang itu, sebenarnya yang menentukan siapa bakal Perdana Menteri.

Tegasnya, walaupun pakatan itu mencadangkan Anwar menjadi Perdana Menteri berikutnya tetapi dalam realiti politik, jawatan itu akan diputuskan oleh parti yang mempunyai paling banyak kerusi di Parlimen.

Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad sebelum ini turut berkata, dakwaan Dr Mahathir bahawa beliau adalah 'top dog' pihak pembangkang dan setaraf perdana menteri adalah tidak benar kerana beliau sebenarnya sekadar boneka dalam barisan kepimpinan baharu PH.

Tegasnya, Pengerusi DAP Lim Kit Siang sebenarnya yang menjadi ketua pakatan pembangkang tetapi beliau tidak ditonjolkan dalam carta kepimpinan gabungan PH.

'Polls Likely in April, Say Analysts', New Straits Times, 20 July 2017


Monday, March 06, 2017

'Daftar Undi Automatik, Malaysia Sudah Boleh Mula', Sinar Harian, 5 Mac 2017

Daftar undi automatik, Malaysia sudah boleh mula
  
   
Hadir Mengundi
Para pengundi yang hadir menunaikan tanggungjawab untuk membuang undi.- Foto Bernama
SHAH ALAM – Kerajaan boleh mengambil pendekatan dengan membuat pendaftaran mengundi secara automatik terhadap setiap remaja yang menginjak usia 21 tahun.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berpendapat, Malaysia sudah ada kemampuan untuk ke arah itu dan mengikut jejak beberapa negara yang sudah melakukannya.
Menurutnya, dengan cara ini ia dapat mengurangkan angka golongan muda yang masih tidak mendaftar sebagai pengundi.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) boleh merealisasikan perkara ini.
“Kita tahu, mengundi adalah tanggungjawab semua, namun jika kita hanya menunggu, dikhuatiri akan lebih ramai tidak mahu mendaftar memandangkan ada beberapa faktor yang saya kira mengapa golongan muda ini tidak mahu mendaftar,” katanya kepada Sinar Online.
Beliau berkata, sungguhpun ia mungkin dianggap satu perubahan drastik, namun ia boleh dijadikan percubaan untuk ke arah lebih baik.
“Sudah pasti akan ada pro dan kontranya. Tetapi, jika kita tidak mulakan dari sekarang, bila lagi?
“Jumlah 4.1 juta yang masih belum berdaftar dan majoriti adalah golongan muda, ia tidak boleh dipandang ringan.
“Antara faktor yang menyebabkan mereka tidak mahu mendaftar adalah kurang sikap ingin mengambil tahu kepentingan mengundi serta tiada pendedahan khusus mengenai tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.
Katanya lagi,  ada juga segelintir golongan muda ini merasakan, mendaftar atau tidak, ia tidak akan membawa apa-apa perubahan terhadap sistem yang ada sekarang.
“Pandangan itu silap. Dengan kefahaman yang betul, jumlah ini akan dapat dikurangkan dan lebih ramai golongan muda akan mula mendaftar.
“Tetapi, tugas untuk memberi kefahaman bukan terletak kepada SPR dan parti politik sahaja. Ia perlu dilakukan oleh semua pihak termasuk keluarga sendiri,” katanya.
Jelasnya, keengganan golongan muda mendaftar sebagai pengundi memberi kebimbangan kerana merekalah nadi masa depan negara.
Lebih banyak pendedahan perlu dilakukan untuk menyuntik semula semangat dan mengembalikan keyakinan kepada golongan ini untuk mendaftar.

'Putus hubungan Diplomatik Pun Tidak Apa', Kosmo, 6 Mac 2017


'Banteras Habis-Habisan', Mingguan Malaysia, 5 Mac 2017


Tuesday, February 28, 2017

'TN50 Gagasan Besar Masa Depan Negara', Pena DrSiva, Utusan Malaysia, 18 Februari 2017

              

 


NAJIB TUN RAZAK bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin
NAJIB TUN RAZAK bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ketika sesi Wacana Dialog Perdana pada program Dialog Perdana Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Dewan Tuanku Canselor Universiti Malaya di Kuala Lumpur pada 19 Januari lalu. UTUSAN
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah melancar­kan Transformasi Na­sio­nal (TN50) di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya pada 19 Januari lalu. Ia membawa petanda baru dalam konteks negara kita; yang akan melakar sejarah tanah air mulai 2020. Namakan gagasan, visi atau misi mahupun wawasan, intipatinya jelas: memacu kecemerlangan berterusan negara dalam ledakan persaingan global dan memastikan kekal aman, sentosa, bahagia, rukun dan sejahtera; dari generasi ke generasi.
Pendekatan baharu diperkenalkan untuk merealisasikan pembentukan gagasan besar TN50 ini. Di peringkat awal diadakan dialog dengan kumpulan sasar; khusus­nya generasi muda sebagai ­modal insan yang akan memeta dan membawa lonjakan dalam ketamadunan baharu Malaysia.
Pelbagai kaedah dan pendekatan dirancang untuk memastikan transformasi nasional ‘untuk rakyat dari rakyat’ berpaksikan amalan ‘bottom-up’ dilaksanakan. Ini sesuai dengan perubahan landskap negara dari konteks demografi dan geografinya. Hakikatnya, bicara town-hall ini amat signifikan bagi menggarap mindset, keperluan dan kemahuan setiap warga Malaysia ini.
Matlamatnya apabila kita ­me­langkah masuk ke tahun 2020; TN sudah tersergam untuk diimplementasi berpandukan kehendak dan persetujuan majoriti yang akan dan telah memberi sumbangan maklumat, pandangan dan idea untuk turut serta dalam perwatakan TN50 ini.
Cabaran kepada sekretariat ada­lah mendekati pelbagai kumpulan kerana masing-masing ada kepentingan dan pandangan berbeza, seterusnya mencari formula menang-menang supaya semua­nya merasai nilai kepunyaan (ownership) dan pemilikan (belonging). Ujian adalah untuk turut menerima teguran dan kritikan tetapi jika membina, rasional dan praktikal; saya percaya ia akan diberi pertimbangan yang sewajarnya.
Dari sekecil kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas serta kumpulan pelajar, mahasiswa, keluarga, anak, guru, pensyarah, nelayan, petani, pekerja awam, jururawat, wartawan, pengamal media, peguam, pelayan, pramugara, pekebun, doktor, pembersih sanitasi, pekerja swasta dan lain-lain pekerja am, staf sokongan, profesional, ­masing-masing ada tanggungjawab ke atas pembinaan negara-bangsa TN50 ini atas matlamat TN50 adalah untuk kita bersama.
Harus diingatkan Wawasan 2020 dicipta pada 1991 mengikut acuan yang dirasakan sesuai untuk pencapaian tahun 2020 mengikut trend kebanyakan negara maju dunia pertama tatkala itu. Hakikatnya, antara sumbang­an besar Wawasan 2020 adalah membina kelas pertengahan yang ­semakin membesar berbanding kelas bawahan. Dilemanya adalah kelas pertengahan tersepit di tengah-tengah. Maka, perancangan efisien harus mengambil kira soal ‘sejahtera’ untuk melengkapkan elemen aman dan sentosa.
Masyarakat semakin materia­listik dan individualistik. Bagaimana TN50 akan pastikan wujud hubungan saling melengkapi an­tara kesemua kelas masyarakat ini agar jurang mengecil dan garis kemiskinan juga bersesuaian de­ngan keadaan semasa? Kita juga harus melihat dalam konteks satu gagasan besar agar kesemua ne­geri termasuk Sabah dan Sarawak menikmati limpahan kekayaan negara sepenuhnya supaya soal tidak ada jalan, elektrik, air memencil; dan soal maruah diri, masyarakat dan negara membesar. Nilai inovasi TN50 akan melengkapkan nilai kecekapan untuk menggapai kejayaan.
Kita tidak boleh bandingkan dengan Jepun dan Amerika hari ini tetapi mempunyai ‘imaginasi komuniti’ yang mahu dizahirkan pada tahun 2050 mengikut acuan sendiri secara rasional dan praktikal. Jika KDNK Malaysia diramal menjadi berkali ganda menjelang tahun 2050 ­berbanding 1990 dan 2020; kini rakyat Malaysia harus menjadi enam kali ganda sejahtera dan mapan pada tahun 2050. Tanggapan bahawa ‘satu saiz untuk semua’ mesti dihentikan kerana setiap kumpulan sasar mempunyai latar berbeza dan kelonggaran dalam pelaksanaan sesuatu da­sar perlu demi menjamin hasil yang memberangsangkan.
Cabaran perlu mengambil kira perubahan teknologi dan budaya serta yang lain jika mahu berada pada kedudukan yang baik ter­utama dengan anjakan berpusat kepada inovasi. Ia boleh menjadi cabaran jika ideologi politik tidak diberikan keutamaan berban­ding sistem penyampaian. Yang pentingnya masing-masing harus boleh bersama selepas selesai pe­milihan demi masa depan negara bangsa ini. Banyak agensi perlu bersama supaya kebajikan masyarakat kekal terpelihara. Ini yang akan menguji kematangan.
Dunia maju juga masih bergelut dengan nilai dan norma serta budaya melainkan budaya dijadikan sebagai gaya hidup. Matlamat Pembangunan Mampan 2015-2030 (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) boleh dijadikan rujukan terutamanya ke arah kemiskinan sifar; tiada kelaparan; kesihatan dan kesejahteraan; pendidikan berkualiti; kesaksamaan gender; air dan sa­nitasi bersih; tenaga bersih; pertumbuhan ekonomi; industri, inovasi dan infrastruktur; kurangkan ketaksamaan; komuniti/ bandar mapan; produktiviti dan kepenggunaan bertanggungjawab; perubahan cuaca; alam air; alam ta­nah; keamanan dan keadilan; dan rakan untuk mencapai kesemua matlamat.
Hanya keyakinan dan kepercayaan dapat membawa kejayaan di sebalik perancangan TN50. Malaysia bakal mencipta sejarah baharu. Kesemuanya adalah di bawah pemilikan dan tanggungjawab bersama sesiapa sahaja yang menamakan dirinya warga Malaysia.
PROFESOR DR. P. SIVAMURUGAN dari Pusat Pengajian Sains Ke­masyarakatan, Universiti Sains Malaysia.

Blog Archive