Mendahului senarai sembilan penerima Darjah Johan Mangku Negara (JMN) ialah Ketua Staf Am Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat, Mejar Je­neral Datuk Tengku Ahmad Noor Tuan Chik.
Turut menerima darjah JMN ialah Pengarah Kanan Bahagian Dasar Sektoral Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Datin K. Talagavathi, Pengarah Bahagian Perancangan Kecemerlangan Institusi Pengajian Tinggi Prof. Dr. Raha Abdul Rahim, Pensyarah Antropologi dan Sosiologi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia Prof. Dr. P. Sivamurugan dan Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Prof. Dr. Wahid Razzaly.
Penerima lain JMN ialah Pe­ngarah Bahagian Penyelidikan, Perancangan dan Dasar, Jabatan Perkhidmatan Awam Suhaime Mahbar, AJK UMNO Pasir Raja Bot Sharduli Abd Rahman, Anggota Majlis Tertinggi Parti Liberal Demokratik Thien Kui Sang dan Naib Pengerusi MCA Kota Raja, Wong Van Choy.
Yang di-Pertuan Agong turut mengurniakan darjah Johan Setia Mahkota (JSM) kepada 37 individu, antaranya bekas Panglima Briged ke-12 Infantri Malaysia, Brigadier Jeneral (B) Datuk Mohd Nazri Abidin dan Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman SAC Rusli Mohd. Noor.
Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Lintang, Datuk Mohd. Zolkafly Harun antara 118 individu yang mendahului senarai penerima darjah Kesatria Mang­ku Negara (KMN).
Turut menarik perhatian ialah dua individu yang melakar sejarah negara apabila berperanan menaikkan bendera Jalur Gemilang ketika merdeka pada 31 Ogos 1957 iaitu Oliver Cuthbert Samuel dan Mohamed Sarif Kalam turut dikurniakan darjah KMN.– BERNAMA
Pada istiadat berkenaan, penerjun negara, Cheong Jun Hoong antara 206 individu yang menerima Ahli Mangku Negara dan 241 orang lagi menerima Pingat Pangkuan Negara. – BERNAMA