KUALA LUMPUR, 26 Mei:
Penurunan peratusan mengundi pada Pilihan Raya Kecil P51 Bukit Gelugor tidak menjejaskan sokongan rakyat kepada DAP.
Seperti dijangka, Ramkarpal Singh berjaya mengekalkan kerusi yang disandang mendiang bapanya, Karpal Singh, sejak beberapa penggal lalu dan kawasan berkenaan kekal antara kubu kuat DAP di Pulau Mutiara.
Sekalipun dianggap sebagai kemenangan mudah, kehadiran tiga pesaing daripada calon bebas menggambarkan minat untuk mencuba nasib di kawasan Harimau Jelutong.
Seperti mana dijangka pertembungan empat penjuru antara calon DAP, Parti Cinta Malaysia (PCM) dan dua calon bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor berakhir dengan kemenangan parti itu.
Percubaan pertama Ramkarpal di pentas politik membuahkan hasil, apabila dia berjaya memenangi kerusi P51 dengan majoriti 41,242 undi, menewaskan Datuk Huan Cheng Guan daripada PCM, yang sekadar meraih 3,583 undi.
Selain Huan, dua calon bebas, Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abd Sathar dan Abu Backer Sidek Mohamad Zan turut kehilangan wang deposit, apabila masing-masing hanya menerima 798 dan 225 undi.
Jika dibanding dengan 41,778 undi yang diperolehi mendiang bapanya pada Pilihan Raya Umum ke-13, ia menyaksikan sedikit kemerosotan.
Selain penyertaan calon bebas, penurunan itu turut dikaitkan dengan peratus yang keluar mengundi pada Ahad.
Bagi penganalisis politik, Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian, pertembungan kali ini kurang menyengat, berikutan keputusan Barisan Nasional (BN) tidak mempertaruh calonnya.
“Apabila calon BN tidak bertanding, kehadiran orang yang keluar mengundi sudah tentu berkurangan, kerana mereka juga mempunyai jumlah pengundi yang ramai, selain mereka yang berada di luar Pulau Pinang tidak pulang mengundi,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.
Menurutnya, masyarakat Bukit Gelugor sendiri yakin dengan kemenangan DAP dan faktor berkenaan mendorong mereka untuk tidak menunaikan tanggungjawab itu.
“Berdasarkan senarai daftar pemilih, kesemua tiga kerusi DUN, iaitu Seri Delima, Paya Terubong dan Air Itam, kesemuanya didominasi calon DAP. Sudah tiga penggal DAP menguasai Parlimen itu dan ternyata pola pengundian Bukit Gelugor sedemikian rupa, kerana pengundi lebih bersifat setia,” katanya.
Sivamurugan berkata, sebelum ini, PRK Kajang juga mencatatkan peratusan keluar mengundi yang agak rendah, iaitu 72 peratus, manakala peratusan mengundi paling rendah bagi PRK pula dicatatkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, pada 2009, iaitu hanya 46 peratus.
“PRK Bukit Gelugor bukan gelanggang untuk calon bebas seperti Mohamed Nabi Bux dan Abu Backer Sidek, kerana kemenangan DAP seolah-olah begitu jelas sehingga memaksa MCA mengangkat bendera putih, sebelum turun ke padang. Jika mereka bertanding, sudah tentu peratus keluar mengundi lebih tinggi,” katanya.
Jumlah keseluruhan pengundi bagi kawasan P51 yang mempunyai tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Seri Delima, Paya Terubong dan Air Itam adalah seramai 82,042 orang, yang terdiri daripada 11,880 orang Melayu dengan jumlah 14.48 peratus, manakala kaum Cina berjumlah 61,112 orang atau 74.49 peratus, India seramai 8,660 orang dengan peratusan sebanyak 10.56 peratus.
PRK Bukit Gelugor mencatat peratusan keluar undi sebanyak 56.3 peratus, iaitu antara yang terendah dalam sejarah PRK negara ini.