GEORGE TOWN, 15 Mei:
Calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh Deo berkata, dia mempunyai kredibiliti dan keupayaan tersendiri untuk membuktikan dirinya mampu menerajui kawasan itu tanpa dibayangi mendiang bapanya, Karpal Singh.
Menurutnya, adalah sangat tidak adil bagi sesetengah pihak untuk menilainya hanya sekadar anak kepada Karpal Singh tanpa melihat kewibawaannya untuk mengekalkan majoriti di Parlimen Bukit Gelugor.
“Saya bukan hanya setakat anak Karpal Singh sahaja. Ada juga keupayaan saya yang lain yang saya boleh buat. Adalah tidak adil untuk menilai sedemikian,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Pasar Basah Farlim.
Turut hadir Penasihat DAP Lim Kit Siang, Pengerusi DAP Negeri Chow Kon Yeow dan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo yang juga abang kepada Ramkarpal.
Ramkarpal berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Sains Sosial Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian yang mengatakan undi simpati mungkin diberi kepada calon DAP, Ramkarpal.
Dalam pada itu, Sivamurugan berkata, Ramkarpal mesti membuktikan pencalonannya bukan berdasarkan nepotisme, sebaliknya bersandarkan kepada kewibawaan dan keupayaannya sendiri untuk mengekalkan majoriti.
Sementara itu, Lim Kit Siang berkata DAP akan mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan pada Sabtu ini.
PRK Bukit Gelugor menyaksikan saingan antara Ramkarpal, Naib Presiden PCM, Datuk Huan Cheng Guan dan dua calon bebas Mohd. Nabi Bux Mohd. Abdul Sathar serta Abu Backer Sidek Mohammad Zan.
PRK itu dijadualkan berlangsung pada 25 Mei ini berikutan kematian penyandangnya, Karpal Singh daripada DAP akibat kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan dekat Gua Tempurung di Kampar, Perak, pada 17 April lalu.
Mendiang Karpal Singh yang juga bekas Pengerusi DAP, memenangi kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum 2013 dengan majoriti 42,706 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional, Teh Beng Yeam yang meraih 13,597 undi.