Wednesday, March 21, 2012

Penganalisis: Calon muda senjata PRU13 BN, Sinar Harian, 17 Mac 2012

Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata,BN tidak pernah kekurangan pemimpin muda malah peluang untuk bertapak kukuh dan meningkat naik ke tahap lebih tinggi dalam parti sentiasa terbuka.
“Pemimpin muda BN ada, cuma sejauh manakah pendedahan yang telah diberikan dan adakah mereka sudah mendekati pengundi? Sudah pasti dalam percaturan BN ialah menampilkan calon muda kerana itulah senjata yang boleh digunakan untuk menang di beberapa kawasan tertentu.
“Peluang juga ada. Sekiranya dapat diminimumkan isu dalaman seperti pemilihan calon yang betul, aura dengan rakyat bagus, maka penampilan tidak akan menjadi satu masalah. Barulah ia akan menyokong jentera pergerakan, sekali gus akan memberikan satu pengukuhan ke atas parti itu sendiri,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan pe­mimpin muda PR hari ini, muncul selepas PRU12 lalu, yang mana pada ketika itu calon bukanlah faktor keme­nangan PR.
Bagaimanapun kali ini, calon menjadi faktor penting dan apa yang pasti, BN serta parti komponennya harus melakukan sesuatu bagi menampilkan calon berkelayakan.
Sivamurugan berkata, pemimpin muda BN memerlukan pendedahan meluas dan penampilan mereka digarap dengan lebih mantap, agar dilihat mempunyai nilai yang boleh menyumbang kepada parti terutamanya dalam pilihan raya.
Beliau berkata, kepada pemimpin muda sendiri, mereka perlu mengambil peluang tersebut dengan menampakkan sesuatu yang luar biasa di dalam diri mereka.
“Kini ramai bercakap tentang ke­pen­tingan pengundi muda, jadi sudah pasti pengundi mahu pemimpin mereka dari generasi sama iaitu seorang pemimpin yang boleh men­­jiwai watak, karakter golongan muda.
“Pemimpin muda itu sendiri harus keluar dari kepompong yang menyekat mereka untuk me­nunjukkan mereka juga boleh tampil sebagai pemimpin bagi generasi ini dan juga generasi lepas,” katanya.
Namun, beliau tidak menafikan ramai pemimpin muda kurang mendapat perhatian disebabkan ada kekangan dan keterbatasan tertentu yang memungkinkan mereka tidak mendapat pendedahan sebagaimana pemimpin muda yang sudah menjadi wakil rakyat.
Beliau berkata, sebelum PRU12 ramai tidak mengenali Nik Nazmi Nik Ahmad, Jenice Lee, Hannah Yeoh, namun mereka menyerlah kerana sudah mula bekerja bersama dengan pemimpin akar umbi sehingga membolehkan mereka mempunyai pengikut sendiri.
“Mungkin dalam pilihan raya akan datang, calon dan pemimpin muda dalam BN berpeluang men­da­pat perhatian sama atau lebih daripada apa yang diperoleh pemimpin muda PR. Ini memerlukan kerja keras dari parti dan mungkin sokongan dari segi liputan media,” katanya.

Artikel penuh boleh dibaca di  sini

No comments:

Blog Archive