Monday, January 19, 2015

'MIC Perlu Selesaikan Krisis Segera', Bernama, 17 Januari 2015

 



Oleh S. Kisho Kumari

KUALA LUMPUR (Bernama) -- MIC tidak mempunyai banyak masa lagi untuk menyelesaikan apa juga isu yang timbul serta menyelesaikan krisis dalaman yang menyebabkan parti itu berada di ambang pembatalan penubuhannya.

Sejak 5 Dis lepas, apabila Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengarahkan MIC untuk mengadakan pemilihan baharu bagi tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan Anggota Jawatankuasa Kerja (CWC) dalam tempoh 90 hari atau berhadapan risiko dibatalkan pendaftaran, tidak banyak yang dilakukan untuk menyelesaikan pelbagai isu tertangguh.

Pemerhati politik dan kepimpinan dalaman parti menjangkakan parti kaum India yang terbesar di Malaysia itu akan berhadapan dengan cabaran besar untuk kekal relevan dalam masyarakat jika ia tidak mengambil langkah segera untuk memperbetulkan keadaan.

Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian, yang juga penganalisis politik di Fakulti Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia berpendapat bahawa ini adalah masa yang sesuai bagi pemimpin MIC merapatkan barisan dan bergerak ke hadapan, sekali gus membuktikan bahawa parti itu masih mempunyai keupayaan untuk berkhidmat kepada masyarakat India.

MENCERGASKAN SEMULA PARTI

"Secara peribadi, saya melihat ia sebagai satu peluang untuk parti memulihkan keadaan... hakikatnya untuk mengukuhkan organisasi dan mewujudkan perpaduan supaya rakyat dapat melihat bahawa MIC mampu bingkas bangkit kembali," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Setelah memenuhi syarat-syarat ROS, beliau berkata parti itu boleh mula merancang untuk masa depan, malah berfungsi untuk mewujudkan gelombang baharu kepimpinan dan penjenamaan baharu, yang mana selepas itu ia boleh memberi tumpuan kepada perjuangan sebenar parti.

ROS telah mengeluarkan perintah pemilihan semula berikutan aduan penyalahgunaan kuasa dan salah laku pemilihan parti pada November 2013, yang melanggar perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966.

Pada 5 Dis, ROS turut mengarahkan parti mengadakan pemilihan baharu di lapan bahagian iaitu Bayan Baru; Bukit Gelugor; Subang; Bandar Baru Kulim; Taiping; Tambun; Sepang dan Jasin dalam tempoh 60 hari.

Ia juga memerintahkan pemilihan baharu diadakan dalam tempoh 30 hari bagi jawatan timbalan pengerusi Batu Kawan; pengerusi bahagian Kota Raja; pengerusi bahagian Tanjung Malim; dan pengerusi cawangan Taman Koperasi Polis.

Dua cawangan iaitu Merlimau Utara dan Rumah Pangsa Pekeliling Selatan, juga diperintahkan untuk mengadakan pemilihan baharu dalam tempoh 30 hari.

Walau bagaimanapun, pada 6 Jan, CWC parti memperoleh lanjutan masa daripada ROS untuk melaksanakan pemilihan semula di cawangan Merlimau Utara tetapi tempoh lanjutannya tidak dinyatakan.

Berhubung perintah ROS yang mengarahkan MIC mengadakan pemilihan baharu, Sivamurugan berkata jika kepimpinan parti tidak bersetuju dengannya, maka ia tidak perlu membuang masa dan sebaliknya mencabar perintah berkenaan di mahkamah.

"Jika ia bercadang untuk mematuhi arahan berkenaan, ia perlu mengambil langkah segera untuk mengadakan pemilihan baharu bagi mengelakkan anggota dan pemerhati daripada mempunyai persepsi negatif terhadap parti," katanya.

Berikutan perintah ROS, presiden parti Datuk Seri G. Palanivel telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bersama antara Palanivel dan timbalannya Datuk Seri Dr S. Subramaniam, lima daripada pengadu yang telah melaporkan penyelewengan dalam pemilihan parti kepada ROS, dan lima anggota lain.

Sivamurugan berkata MIC perlu bertindak segera kerana ia telah membentuk sebuah jawatankuasa untuk mengkaji isu-isu tertunggak.

"DAP juga sebelum ini telah menerima suatu perintah daripada ROS yang mengarahkannya melakukan pemilihan semula dan parti ini segera mematuhinya kerana mereka tahu bahawa jika pemilihan semula ditangguhkan, masa depan parti itu boleh terjejas," katanya.

SERAHKAN KEPADA PERINGKAT AKAR UMBI

Bekas Setiausaha Agung MIC dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat D.P. Vijandran berkata MIC berhadapan risiko besar jika ia gagal menyelesaikan krisis dalamannya dan mengembalikan kuasa kepada anggota parti.

Beliau juga mengingatkan walaupun MIC boleh menyelesaikan isu pemilihan parti, para pemimpinnya perlu sedar bahawa sementara mereka sibuk memberi tumpuan kepada masalah dalaman parti, sokongan daripada rakyat sebenarnya sudah pudar.

Menyifatkan masalah struktur parti itu sebagai satu daripada faktor yang menyebabkan parti itu berada dalam kancah pergolakan, beliau berkata: "Semua ini adalah tentang siapa yang mahu menjadi raja (memegang jawatan).

"Saya tidak menyatakan bahawa semua orang melakukannya tetapi kebanyakan mereka berbuat demikian... mereka begitu beria-ia mencari kedudukan tanpa menyedari mereka sebenarnya telah kehilangan kekuasaan mereka," katanya.

Memetik saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada untuk semua parti-parti politik kaum India supaya bersatu dan bekerja bersama-sama, Vijandran berkata orang India mempunyai terlalu banyak suara, sehingga menyebabkan mereka berpecah ke pelbagai arah tanpa kesepaduan untuk mengambil pendirian yang jelas.

"Kesemua mereka perlu bersatu dan memberi tumpuan kepada bagaimana untuk memenangi sokongan daripada rakyat. Para pemimpin tidak perlu asyik dengan kedudukan mereka sehingga mereka tidak dapat melihat bahawa mereka telah kehilangan (sokongan) masyarakat India," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Blog Archive