Monday, January 12, 2015

'Bantuan Banjir Bukti BN Utamakan Rakyat, Ketepikan Ideologi - Dr Siva', UMNO Online, 8 Januari 2015

Bantuan banjir bukti BN utamakan rakyat, ketepikan ideologi - Dr Siva

Bantuan banjir bukti BN utamakan rakyat, ketepikan ideologi - Dr Siva
DR SIVA: Banjir buktikan BN utamakan rakyat, wujudkan kerjasama ketepikan ideologi - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Banjir yang melanda beberapa negeri harus dilihat sebagai bencana alam yang langsung tidak membabitkan politik atau membangkitkan isu-isu yang berkait dengannya, kata penganalisis politik tempatan, Prof Madya Dr. Sivamurugan Pandian.

Katanya, penglibatan Barisan Nasional (BN) untuk turut serta dalam usaha menyelamat dan membantu mangsa banjir sejak dari awal berlaku sehinggalah kepada proses pasca banjir sekarang ini adalah bukti keprihatinan terhadap masyarakat keseluruhan tanpa melihat kepada ideologi politik sebagaimana di Kelantan.

"Kita lihat bagaimana kerajaan pusat sedia bersama-sama kerajaan negeri biarpun Kelantan ditadbir oleh Pas yang menjadi sekutu dalam pakatan pembangkang, tetapi kesediaan ini menunjukkan bahawa BN mendahulukan kepentingan rakyat," katanya kepada UMNO-Online.

Ujar beliau, penglibatan BN dalam negeri tadbiran Pas membabitkan penyatuan dalam usaha membangunkan semula sebuah negeri yang terjejas teruk kerana banjir tanpa melihat kepada kepentingan peribadi atau keuntungan yang bersifat politik.

"Walaupun memang wujud tohmahan kepada BN kononnya bantuan yang diberi hanya bersalutkan politik atau atas nama semata-mata tetapi BN tidak ambil hirau malah mereka membelakangkan semua kata-kata yang dilemparkan dengan hanya fokus kepada usaha untuk memastikan keselesaan rakyat yang ditimpa bencana sama ada semasa banjir dan sekarang ini pasca banjir.

"BN melalui kerajaan telah menggerakkan semua sektornya termasuklah pelbagai kementerian untuk terlibat dalam bantuan memulihkan mangsa banjir, walaupun memakan masa tetapi ada usaha berterusan digerakkan yang mendapat sokongan dari kerajaan negeri di bawah tadbiran Pas."

Beliau yang juga Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) melihat perkembangan yang ditunjukkan antara kerajaan Pusat iaitu BN dan kerajaan Negeri iaitu Pas adalah satu perkembangan positif dalam kerjasama demi kepentingan rakyat.

"Memang ada segelintir pihak yang menentang terutamanya mereka yang terlalu mengagungkan kepentingan peribadi tetapi apabila ianya melibatkan kepentingan umum maka tentunya dengan kerjasama yang baik akan dapat menyelesaikan pelbagai kerumitan yang wujud.

"Ada harapan agar kerjasama sedemikian diperhebat dan bukan hanya apabila ada musibah sebagaimana banjir ini berlaku sahaja tetapi macam-macam perkara juga boleh dilaksanakan apatah lagi ikatan seperti ini dapat membawa kepada proses penyatuan walaupun nyata ia bukanlah sesuatu yang mudah tetapi tidak mustahil untuk berlaku."

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan tertutup selama 50 minit dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di pejabat menteri besar di Kompleks Kota Darulnaim dan dipercayai pertemuan itu diadakan berkaitan dengan bencana banjir besar yang berlaku di negeri itu baru-baru ini.

No comments:

Blog Archive