Thursday, January 29, 2015

'Mampukah Pemilihan Semula Selesai Kemelut MIC?', Bernama, 29 Januari 2015

 



Oleh Mohd Hisham Abdul Rafar

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Kemelut yang berlaku dalam MIC mutakhir ini dilihat semakin meruncing. Pemimpin parti pula dilihat dengan cara masing-masing seolah-olah tiada kesepakatan dan penyelesaian dapat dicapai untuk parti itu kembali bangkit dalam arena politik tanah air.

Perbalahan terbuka sesama pemimpin dan ketidakpuasan kumpulan tertentu mengeruhkan pergolakan dalaman sehingga menyaksikan episod beberapa anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dipecat dalam tempoh dua minggu lepas oleh Presiden Datuk Seri G. Palanivel, menimbulkan kemarahan anggota akar umbi.

Ekoran tiada penyelesaian konkrit menangani krisis dalaman itu, beberapa pemimpin parti mendesak Palanivel supaya pemilihan semula semua jawatan dalam MIC diadakan untuk menyelamatkan parti itu.

MIC SEHARUSNMYA AKUR ARAHAN ROS

Mampukah pemilihan baharu semua jawatan dalam MIC itu menjadi langkah penyelesaian terbaik menamatkan krisis dalaman parti itu?

Pensyarah kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan di Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata sekiranya MIC akur dengan arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS), sudah tentu krisis yang berlaku ketika ini tidak berpanjangan.

Katanya perbincangan pucuk pimpinan MIC bersama pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) dalam masa terdekat diharap dapat menghasilkan keputusan untuk menyelesaikan krisis dalaman parti yang berusia 68 tahun itu.

Sejak menerima arahan ROS pada 5 Dis, supaya MIC mengadakan pemilihan semula bagi jawatan tiga Naib Presiden dan 23 anggota CWC dalam tempoh 90 hari atau berhadapan risiko dibatalkan pendaftaran, tiada perkembangan positif dilakukan pucuk pimpinan parti untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Sivamurugan berpendapat pemilihan baharu parti adalah penyelesaian terbaik.

"Maka selesai sahaja pemilihan, pemimpin yang dipilih perlulah menghentikan politiking dan menumpukan kepada gerak kerja membangunkan masyarakat India," katanya kepada Bernama, di sini.

Bekas Ketua Pemuda MIC Pulau Pinang J. Dhinagaran yang mempunyai pandangan sama dengan Sivamurugan, menjelaskan bahawa semangat anggota parti untuk memulihkan semula MIC, sangat tinggi.

"Jika dilaksanakan pemilihan semula seperti yang dikehendaki ROS, perkara ini sudah pun selesai," katanya kepada Bernama.

Dhinagaran adalah seorang daripada anggota CWC bagi tempoh 2013-2016 yang kemudiannya dibatalkan ROS.

Beliau yakin dengan pemilihan semula, barisan kepimpinan baharu mampu memperkukuh MIC sekaligus membolehkan gerak kerja membangunkan masyarakat India dilaksanakan dengan lebih berkesan.

PENDEKATAN UNILATERAL

MIC kini semakin kesuntukan waktu.

Sivamurugan berpandangan bahawa pendekatan Presiden MIC yang berusaha menyelesaikan kemelut parti tanpa berkongsi dengan pemimpin parti yang lain, menyumbang kepada krisis berpanjangan.

"Timbalan presiden, naib presiden dan anggota CWC tidak tahu menahu apa yang cuba dilakukan Presiden kerana presiden tidak berkongsi pendekatannya untuk menyelesaikan kemelut parti.

"Apa yang boleh saya simpulkan di sini, keadaan yang berlarutan ini juga adalah kerana krisis komunikasi sesama pemimpin," katanya.

Dhinagaran pula mendakwa campur tangan pihak ketiga yang mempengaruhi keputusan dan tindak-tanduk presiden telah menyulitkan lagi keadaan.

"Sebagai Presiden, beliau mesti membuat keputusan sendiri tanpa ada campur tangan pihak lain. Saya berharap Presiden membuat keputusan segera untuk kebaikan MIC," katanya.

Presiden MIC dalam satu kenyataan hari ini berkata beliau dan timbalannya Datuk Seri Dr S. Subramaniam akan 'berdiam diri' bagi menyelesaikan krisis dalaman parti.

Tindakan yang diambil pemimpin utama MIC itu meliputi mengadakan moratorium, yang akan memberikan peluang kepada mereka berdua berjumpa dan berbincang termasuk menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi BN.

JIKA MIC TERBATAL, BN TERKESAN

Persoalannya sehingga bila? Jika MIC gagal mengadakan pemilihan semula, ia memungkinkan MIC dibatalkan pendaftarannya. Apakah implikasinya kepada BN?

Mengulas persoalan itu, Sivamurugan berkata MIC sepatutnya sudah mempelajari sejarah itu daripada Umno yang melalui pengalaman pahit dibatalkan pendaftaran pada 1988.

"Untuk meroboh sesebuah parti, ia amat mudah tetapi untuk membina semula (parti) akan memakan masa bertahun-tahun. Pengalaman ini sudah pun dilalui oleh Umno dan MIC sewajarnya mengambil iktibar.

"Jika boleh, janganlah sampai MIC terbatal pendaftarannya... kerana pembinaan semula parti memerlukan perubahan yang sangat besar," katanya.

Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dilapor sebagai berkata kepimpinan tertinggi BN akan membantu mengatasi kemelut parti MIC.

Muhyiddin berkata krisis yang melanda MIC jika dibiarkan, bukan sahaja menjejaskan parti itu tetapi juga BN.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor sebagai berkata beliau akan bertemu ROS serta presiden dan timbalan presiden MIC awal minggu depan bagi mendapatkan penyelesaian berhubung arahan ROS supaya parti mengadakan pemilihan semula.

-- BERNAMA

No comments:

Blog Archive