Tuesday, January 13, 2015

'Arahan Baharu Penggunaan Ibu Pejabat MIC Terima Pelbagai Reaksi', Bernama, 12 Januari 2015

 



PUTRAJAYA, 12 Jan (Bernama) -- Arahan baharu, yang dikeluarkan MIC dan dilaksanakan dengan serta merta di ibu pejabatnya, mendapat pelbagai reaksi daripada pemimpin parti dan penganalisis politik.

Ketua Pemuda MIC C.Sivarraajh berkata langkah menghalang sesetengah pemimpin parti daripada mengadakan sidang akhbar di bangunan itu adalah tidak adil, tidak demokratik dan bersifat rosot kembali.

Sambil menyifatkan keputusan itu sebagai tidak relevan, beliau berkata ia boleh mengundang lebih banyak bantahan daripada angota parti.

"Mereka yang dihalang terdiri daripada anggota MIC sendiri, termasuk peyandang jawatan penting dan para pemimpin ini diiktiraf Pendaftar Pertubuhan (ROS) seperti Ketua Pemuda dan Ketua Wanita.

"Ini berbeza dengan Setiausaha Agung (Datuk G. Kumaar Aaman), yang jawatannya tidak diiktiraf ROS yang mengeluarkan arahan agar pemilihan semula diadakan bagi jawatan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dan tiga naib presiden," katanya kepada Bernama hari ini.

Di samping itu, kata, Sivarraajh, sayap Pemuda dan Wanita serta pemimpin mereka, berbeza dengan CWC, diiktiraf ROS dan menghalang mereka daripada menggunakan ibu pejabat parti untuk mengadakan sidang akhbar samalah seperti menutup pintu kepada mereka.

Semalam, Kumaar Aamaan memperkenalkan perubahan yang dilaksanakan dengan serta merta di ibu pejabat MIC, termasuk hanya membenarkan pucuk pimpinan pusat parti mengadakan sidang akhbar rasmi di situ.

Mereka ialah presiden, timbalan presiden, naib presiden, setiausaha agung dan bendahari agung.

Sivarraajh mendakwa jawatan setiausaha agung baharu parti itu, yang mengeluarkan arahan "tutup mulut", adalah tidak sah kerana ROS mengisytiharkan pemilihan mereka sebagi tidak sah dan terbatal, serta mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula.

"Ketika presiden ingin mengamalkan demokrasi lebih meluas dan mengadakan pemilihan di semua peringkat parti, setiausaha agung baharu yang tidak sah pula menggunakan langkah autoritarian untuk menghalang pegawai yang dipilih," katanya.

Ketika menyuarakan sentimen serupa, bekas pengarah strategi MIC Datuk Seri S. Vell Paari meminta Kumaar Aaman berhenti daripada mengeluarkan kenyataan sebagai setiausaha agung parti itu kerana mendakwa pelantikannya "tidak mengikut undang-undang".

"Sebarang perkara dasar yang mempunyai kaitan dengan hak anggota MIC perlulah diputuskan dalam mesyuarat agung tergempar, bukan dibuat dengan sesuka hati Datuk Kumaar.

Saya tidak ada hak untuk mencampuri sebarang kenyataan yang dibuat atas kedudukan peribadinya, tetapi sekiranya beliau terus berbuat demikian sebagai penyandang jawatan dalam MIC, saya akan gunakan saluran undang-undang kerana tindakan beliau itu boleh menjejaskan parti," katanya.

Bagaimanapun, Pengerusi MIC Cawangan Kuala Ketil Datuk S.Subramaniam mengucapkan syabas kepada Kumaar Aaman kerana membuat keputusan tepat bagi memastikan hanya mereka yang 'ikhlas' dibenarkan memasuki bangunan MIC.

"Ini bukan masa untuk menjerit siapa yang betul dan siapa yang salah. Parti kita lebih utama. Saya harap lebih banyak perubahan inovatif dilakukan demi kebaikan parti dan masyarakat kami," katanya kepada Bernama hari ini.

Pensyarah Kanan Sekolah Sains Sosial Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata Palanivel perlu menyelesaikan isu pelantikan setiausaha agung parti itu agar sebarang kenyataan yang dikeluarkannya tidak lagi dipersoalkan bagi mengelak berlaku pergeseran lebih teruk dalam parti itu.

"Sekiranya pelantikan itu tidak sah, maka mungkin semua kenyataan perlu hanya datang sama ada daripada presiden atau timbalan presiden bagi mengendurkan ketegangan antara kumpulan," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Blog Archive