Wednesday, January 22, 2014

'Kemungkinan wujud dua kem dalam PKR sekiranya isu berterusan, kata penganalisa', Free Malaysia Today, 22 Januari 2014


FREE MALAYSIA TODAY
 

‘Pertembungan Khalid-Azmin mampu jejas Sgor’

 January 22, 2014
Kemungkinan wujud dua kem dalam PKR sekiranya isu berterusan, kata penganalisa.


PETALING JAYA: Pentadbiran negeri Selangor berkemungkinan terjejas jika ‘pertelingkahan’ antara Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Azmin Ali berlanjutan tanpa penyelesaian.
Menurut penganalisa politik tanah air Profesor Madya Sivamurugan Pandian, isu ini jika berterusan, ia bakal menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada kerajaan negeri tersebut.
“Ia akan menjejaskan pentadibiran negeri Selangor sekiranya ia berpanjangan, dengan beberapa kenyataan bercanggah dari pentadbiran yang dikatakan mahu telus, accountability dan sebagainya.
“Kita lihat kenyataan PKNS sendiri lain dari Khalid, Azmin dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya apabila dihubungi FMT.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan kewujudan dua kem dalam PKR selepas ini memandangkan kedua-dua pemimpin merupakan orang besar parti itu.
“Dia (PKR) boleh berpecah kerana masing-masing ada pengikut mereka sendiri. Pentadbiran negeri juga akan terganggu dengan kewujudan kem-kem ini,” tambahnya lagi.
Menurutnya, kedua-dua personaliti memiliki kekuatan masing-masing yang pastinya terdapat pengikutnya yang tersendiri.
“Kita lihat sorang kuat di peringkat negeri (Abdul Khalid) dan seorang lagi pula kuat dalam parti (Azmin),” katanya, sambil menambah perkara ini turut mampu menjejaskan hubungan di dalam Pakatan Rakyat.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Sosial Universiti Sains Malaysia itu turut menegaskan orang ramai harus diberitahu perkara sebenar d isebalik penyingkiran Azmin dari PKNS.
Hubungan di antara Abdul Khalid dan Azmin dilaporkan dingin sejak beberapa tahun lepas namun bertambah buruk setelah kontrak Azmin sebagai ahli Lembaga Pengarah PKNS tidak disambung.
Perkara ini menimbulkan dakwaan bahawa Abdul Khalid cuba mengurangkan pengaruh Azmin menjelang pemilihan PKR yang akan datang.
Abdul Khalid bagaimanapun menjelaskan bahawa keputusan itu merupakan keputusan Pengurus Besar PKNS Othman Omar namun ia dinafikan oleh PKNS sendiri.
Musuh politik yang sama
Sementara itu, Profesor James Chin dari Monash University berpendapat percakaran antara dua pemimpin ini tidak akan menjejaskan PKR dan pentadbiran negeri Selangor secara khusus.
Menurutnya, PKR tidak akan berpecah mengenai perkara ini kerana mereka mempunyai matlamat yang sama, untuk membentuk kerajaan pusat.
“Saya tidak rasa ia akan membahagikan PKR kepada dua kem kerana mereka masih mempunyai musuh politik yang sama. Malah, masalah terbesar Abdul Khalid ketika ini bukanlah isu ini, sebaliknya isu Allah dan juga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
“Mereka berdua (Abdul Khalid dan Azmin) mempunyai cita-cita yang tinggi dan masalah ini sudah timbul sejak 2008 dahulu. Anwar sepatutnya menyelesaikan perkara ini dari awal lagi,” kata beliau.
Tambahnya lagi,  Selangor perlu mengambil ikhtibar dari kekalahan PAS di Kedah kerana perebutan kuasa di kalangan para pemimpin PAS sehingga PAS tumbang pada PRU ke 13 lalu.

No comments:

Blog Archive