Monday, January 13, 2014

'Kematian Tan Gim Hwa Satu Kehilangan Besar Kepada Gerakan', Bernama, 13 Januari 2014

GEORGE TOWN, 13 Jan (Bernama) -- Kematian Datuk Tan Gim Hwa, 76, semalam yang pernah menjadi Pengerusi Gerakan Pulau Pinang disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada parti itu.

Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Teng Chang Yeow berkata Gerakan kehilangan pemimpin yang berkaliber dan tegas.

"Pulau Pinang kehilangan seorang anak jati yang banyak berjasa dan secara peribadi saya kehilangan mentor dan rakan yang sentiasa menasihati mengenai banyak perkara politik sejak saya menyertai parti hingga pilihan raya umum yang lalu.

"Saya menghargai peluang yang beliau berikan kepada saya selama ini," katanya.

Bekas Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong mengingati mendiang sebagai salah seorang anggota pengasas Gerakan dan pernah menjadi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang bertanggungjawab menempatkan penjaja yang berniaga tepi jalan ke pusat-pusat penjaja yang lebih teratur.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir menyifatkan mendiang sebagai seorang pemimpin yang sangat komited dalam memastikan rakyat Pulau Pinang dapat hidup dengan selesa serta tidak terlepas dripada menikmati pembangunan.

"Mendiang juga seorang pemimpin yang mudah memberikan kerjasama. Ini satu kehilangan yang besar bagi politik di Pulau Pinang," katanya.

Penganalisis politik Prof Madya Dr P.Sivamurugan berkata adalah penting kini Gerakan menentukan hala tuju baharu bagi meningkatkan prestasi kepimpinannya dan memastikan para anggotanya masih mempunyai keyakinan terhadap ideologi parti.

"Gerakan memerlukan arah untuk menghadapi cabaran masa depan. Gerakan masih mempunyai ramai pemimpin yang bagus untuk menegakkan parti dan memastikan anggota baharu tetapi tidak kehilangan yang lama," katanya.

Sivamurugan berkata kehilangan para veteran merubah senario politik tetapi pelan strategi diperlukan untuk memastikan pemimpin baharu dilatih bagi menghadapi cabaran masa depan dan parti kekal bersatu.

Mendiang Tan meninggal di rumahnya di Halaman Macalister di sini pada pukul 11 malam akibat menghidap strok sejak Mei tahun lalu.

Beliau meninggalkan isteri Quah Mo Sy, 76, tiga anak lelaki Tee Yong, 50, Tee Wan, 48, Tee Beng, 42, serta seorang anak perempuan Chin Chin, 41.

Mayatnya akan dibakar di Batu Gantung pada Jumaat ini.



-- BERNAMA  

No comments:

Blog Archive