Thursday, January 23, 2014

'Kembalikan ISA Bukan Jalan Penyelesaian - Penganalisis', Bernama, 23 Januari 2014


 

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kerajaan tidak boleh bergantung kepada undang-undang yang disifatkan zalim untuk menjadikan masyarakat patuh kerana ia hanya menunjukkan kegagalan pemerintah dalam menanam kesetiaan dan patriotisme rakyat kepada negara.

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia Prof Dr Jayum Jawan berkata proses pendidikan bagi mengasuh masyarakat mempunyai nilai kenegaraan yang sama dan nilai yang merentasi fahaman, agama dan ideologi.

"Semua mesti duduk berbincang dan menjana idea supaya apa yang lahir daripada proses itu ialah suatu idea kenegaraan milik semua, boleh dipegang bersama, dan sedia dipertahankan bersama.

"Itu cara terbaik. Bukan kurung orang dengan undang-undang kerana orang itu tidak bersependapat dengan pemerintah," katanya kepada Bernama.

Jayum mengulas saranan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencadangkan kerajaan melaksanakan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menangani tindakan puak ekstremis minoriti yang menjejaskan kestabilan negara.

BERDEPAN GOLONGAN BERBEZA PENDAPAT

Menyentuh sikap segelintir anak muda yang lazimnya lebih agresif dalam menyuarakan pendapat dan tidak sehaluan dengan apa yang dimahukan kerajaan, Jayum berkata golongan itu perlu difahami dan tidak dilihat sebagai menimbulkan masalah hanya disebabkan perbezaan pemikiran.

"Mereka (anak-anak muda) dilahirkan dalam zaman yang berbeza. Pemimpin perlu membuka minda untuk lebih mengenali dan memahami mereka, dekati mereka, dan kaedah semestinya tidak sama kerana anak-anak muda ini datang dengan pelbagai etnik dan latar belakang berbeza.

"Kita tidak boleh menghalang dan berpandangan sempit. Selagi pandangan dan sikap mereka tidak digunakan untuk mengacau orang lain, beri mereka 'laluan' namun jika sebaliknya, jangan beri mereka ruang untuk menyebarkan pengaruh buruk terhadap masyarakat," katanya.

Jayum berkata kerajaan perlu bersikap lebih terbuka dan belajar mendengar suara rakyat kerana jika rakyat sudah hilang kepercayaan (kepada kerajaan), maka bersedialah untuk ditukar oleh rakyat yang merupakan punca segala kuasa pemerintah.

"Kalau kerajaan berhasrat laksanakan ISA atau undang-undang seumpama itu mahu diwujudkan semula, kerajaan (Barisan Nasional) pasti akan jatuh pada pilihan raya umum akan datang," tegas Jayum.

AKTA BAHARU SEPERTI ISA

Namun berlainan pula pandangan pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Md Shukri Shuib, yang berpendapat, intipati ISA yang dimansuhkan wajar diserapkan di dalam mana-mana akta yang ada hari ini atau pun mewujudkan akta baharu seakan-akan ISA.

Katanya mewujudkan akta berkaitan keselamatan dalam negeri seakan-akan ISA penting kerana kebebasan yang diberikan perlembagaan kini terbukti dianarki golongan pemusnah negara.

"Puak-puak pelampau anti perlembagaan wujud dalam mana-mana komuniti, namun akta adalah satu mekanisme undang-undang berbentuk hukuman kepada pelanggaran norma perlembagaan.

"Ini penting kerana jika tiada hukuman menerusi perlembagaan maka yang anarki akan menjadi lebih agresif, jika dibiarkan kumpulan pelampau anti perlembagaan ini berleluasa, akhirnya sentimen kaum dan agama serta budaya yang majmuk ini akan diguna pakai untuk mewujudkan kekacauan," katanya.

Beliau berkata senario pada hari ini melihat golongan yang mempertahankan hak-hak perlembagaan dianggap bersikap perkaumanan, sementara puak anti perlembagaan mengambil kesempatan untuk meluaskan aktiviti agresif mereka termasuk melalui penerbitan dan hasutan.

"Sudah terbukti menerusi pelbagai isu yang wujud hari ini, akta seperti ISA perlu diwujudkan kembali dan diberikan nama yang sesuai dengan pemikiran rakyat dan keadaan semasa," katanya.

ISA BUKAN MUSUH ANAK MUDA

Menyangkal ISA sebagai akta yang membantutkan pemikiran anak muda, Md Shukri berkata ISA bukan dilaksana untuk membenteras keberanian anak muda kerana mereka adalah aset negara.

Bersependapat dengan Jayum, Md Shukri berkata pemikiran anak muda perlu dibina menerusi pendidikan agar menjadi insan patriotik dan memahami usaha kerajaan menjaga dan memajukan negara.

"Jika anak muda mula berbeza perspektif dan pendekatan malahan mungkin terjebak dengan aktiviti membahayakan negara secara khusus, maka eloklah akta seperti ISA dibina semula, supaya semua anggota komuniti di Malaysia beroleh keamanan majoriti," katanya.

Pada masa sama, Md Shukri berpendapat sekiranya niat mengembalikan akta baharu seperti ISA dilaksanakan hanya untuk mempertahankan parti pemerintah, ia tidak baik untuk negara, kerana jika parti lain berpeluang memerintah mereka turut menggunakan akta tersebut untuk kepentingan mereka.

"Bertentangan pendapat bukan masalah, tetapi jika pertentangan itu membawa kemusnahan dan bukannya menambah baik kepada pengurusan negara dan kehidupan rakyat, maka ia adalah ekstremis. Ekstremis bukan sahaja memegang senjata dan membunuh, tapi memusnahkan perpaduan, ekonomi dan pembangunan serta sosial rakyat," katanya.

PERKUKUHKAN UNDANG-UNDANG BAHARU

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia Dr Sivamurugan Pandian berkata adalah lebih baik jika kerajaan memperkukuhkan undang-undang tertentu bagi menjamin keharmonian negara.

"Untuk mengembalikan ISA adalah sesuatu yang mustahil kerana kita baru sahaja beberapa tahun menghapuskannya... Ideologi politik yang berbeza merupakan satu pengiktirafan tetapi kita tidak boleh membelakangkan apa yang termaktub di dalam Perlembagaan dan Rukun Negara," katanya.

Beliau berkata kematangan berpolitik sangat penting supaya rakyat tidak berbeza misi nasional dan memusnahkan keharmonian yang dibina.

"Kita percaya anak-anak muda juga mahu undang-undang yang tidak menjejaskan keharmonian negara. Justeru, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan perpaduan, keharmonian dan kestabilan negara tidak terjejas," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Blog Archive