Wednesday, September 19, 2018

'Soal survival UMNO setelah Tok Pa, Anifah keluar', Bernama, 19 September 2018

 


         
 Kamarul Irwan Alias & Mohd Afiq Zulkifli

  KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Tidak sampai 24 jam, dua pemimpin utama UMNO – Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman bertindak keluar parti, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap survival parti itu.

Ini ditambah pula dengan tersebarnya satu senarai mengandungi nama pemimpin UMNO lagi yang kononnya akan meninggalkan parti itu yang tumbang pada pilihan raya umum lalu selepas lebih enam dekad berada di tampuk pemerintahan negara.

Desas-desus kemungkinan ramai lagi pemimpin UMNO yang akan 'angkat kaki' turut mendapat perhatian penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Sivamurugan Pandian.

“Mungkin pemimpin-pemimpin ini merasakan hala tuju parti kini tidak seiring dengan perjuangan asal mereka dan memilih untuk keluar parti," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, beliau menjangkakan akan ada satu 'senarai panjang' pemimpin dan anggota UMNO yang akan keluar parti, mengikut jejak langkah Mustapa dan Anifah selepas ini.

Sivamurugan berkata keadaan itu menggambarkan krisis dalaman UMNO yang mungkin disebabkan oleh faktor hala tuju parti berkenaan pada masa ini termasuk dilihat seolah-olah gagal merejuvenasi parti berusia 72 tahun itu dalam usaha meraih kembali sokongan orang ramai.

Sebelum ini, tiga anggota Parlimen dari UMNO juga telah meninggalkan parti itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu iaitu Anggota Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang).

Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed, Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Univerisit Utara Malaysia berkata Perhimpunan Agung UMNO akhir bulan ini menjadi amat signifikan kerana ia bakal menentukan 'survival' parti itu.

"Akan ada suara-suara permintaan daripada pemimpin-pemimpin yang masih tinggal untuk UMNO mengubah hala tuju, mengubah corak kepimpinan, membuang pemimpin-pemimpin yang tidak lagi relevan," katanya menambah jika ia tidak dilakukan, lebih ramai anggota parti akan beralih arah kepada parti politik yang lain.

Beliau menjangkakan penglibatan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga akan dipersoal ahli akar umbi kerana sering membuat kenyataan-kenyataan yang memberi kesan kepada UMNO walaupun tidak lagi berada dalam saf kepimpinan.

Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar, pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa  pula melihat perletakan jawatan Mustapa dan Anifah sebagai manifestasi ketidakyakinan perubahan dalam parti yang dijanjikan oleh presiden UMNO.

"Tok Pa keluar UMNO kerana tidak percaya parti itu boleh dipulihkan semula sementara Anifah pula kerana janji untuk meletakkan jawatan sekiranya Umno dan BN gagal menunaikan janji berhubung Perjanjian Malaysia 1963.

"Tapi itu alasan rasmi, sebab-sebab lain yang dirancang tidak pasti namun pengunduran dua orang yang juga bekas menteri kanan dikira boleh mengoyangkan parti orang Melayu itu," katanya.

Katanya, krisis yang sedang berlaku itu memberi ruang kepada pihak  lawan untuk  melemahkan UMNO, sekali gus ‘menguburkan’ parti itu.

Faktor politik wang dan slogan ‘cash is king’ juga dilihat sudah sebati dengan UMNO sehingga sekarang dan memberi kesan terhadap perkhidmatan wakil rakyat parti itu kepada rakyat di kawasan masing-masing.

"Saya ada bercakap dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang menyatakan orang ramai masih meminta sumbangan wang walaupun mereka bukan lagi kerajaan yang memerintah kerana ‘cash is king’ telah menjadi satu budaya dan pendekatan selama ini," kata Ahmad Marthada.

Soal kerjasama UMNO-Pas juga akan mendapat perhatian perhimpunan agung itu dalam menentukan hala tuju pakatan parti-parti pembangkang itu.

-- BERNAMA

No comments:

Blog Archive