Tuesday, September 11, 2018

'Pulau Pinang atau Negeri Sembilan: Mana pilihan Anwar?', Bernama, 11 September 2018


 

Esok penentuan kerusi yang akan dikosongkan untuk beri laluan Anwar bertanding dalam PRK sebelum membolehkan beliau dilantik Perdana Menteri ke-8. -- (gambar fail) fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA
Oleh Sharifah Nurliza Syed Mohammad

GEORGE TOWN, 11 Sept (Bernama) -- Nibong Tebal, Permatang Pauh, Pandan dan terbaru Port Dickson adalah antara kerusi Parlimen yang disebut-sebut menjadi pilihan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding dalam langkah untuk menjadi perdana menteri kelapan.

Dua daripada kerusi itu ialah di Pulau Pinang, satu di Selangor yang kini disandang oleh isteri Anwar yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan yang terbaru itu ialah di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Cakap-cakap tentang kerusi yang bakal ditandingi Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding sebagai presiden PKR semakin hangat menjelang pengumuman rasmi yang dijangka dibuat oleh Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail esok.

Sebelum ini angin kuat mengatakan Anwar akan ke Nibong Tebal di Pulau Pinang, negeri yang merupakan ‘tapak’ permulaan karier politik beliau.

Nibong Tebal kini diwakili Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Mansor Othman yang menang pilihan raya umum lepas dengan majoriti 15,817 undi manakala Permatang Pauh, yang merupakan kubu kuat parti itu diwakili anak Anwar, Nurul Izzah yang menang dengan majoriti 15,668 undi.

Bagaimanapun semalam, Mansor menafikan akan melepaskan kerusi Parlimen Nibong Tebal bagi memberi laluan kepada Anwar dan terdahulu itu Saifuddin Nasution pula dilapor berkata Anwar tidak akan bertanding di negeri-negeri utara semenanjung. Hari ini Saifuddin turut menafikan Anwar akan bertanding di kerusi Parlimen Pandan.

Penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata jika pilihan Anwar ialah di Pulau Pinang, kerusi parlimen yang dikira paling ideal ialah sama ada Permatang Pauh atau Nibong Tebal dan jika di luar Pulau Pinang beberapa faktor perlu diambil kira termasuk faktor demografi dan geografi.

Perdana Menteri ke-7 dan bakal Perdana Menteri ke-8: (Gambar Fail Bernama) --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA


Beliau berkata jika di luar Pulau Pinang, perkara yang perlu dilihat ialah sekiranya Anwar menjadi timbalan perdana menteri terlebih dahulu sebelum menjadi perdana menteri, Dr Wan Azizah perlu berkorban walaupun sebelum ini beliau dilapor tidak akan melakukannya.

“Ini akan menutup cerita nepotisme. Namun, pemimpin paling popular kini adalah Datuk Seri Dr Wan Azizah dan jika beliau kosongkan, kesannya juga pada bilangan (anggota Parlimen) wanita,” katanya.

Sivamurugan berkata turut boleh diambil kira ialah dua kerusi yang dipegang oleh pemimpin PKR seperti Sungai Petani, Kulim Bandar Baharu dan lain-lain supaya pengorbanan mengosongkan kerusi yang dipegang itu tidak memberi impak dengan pemimpin berkenaan masih boleh berperanan.

Beliau berkata PKR juga boleh mengambil kira kerusi-kerusi yang penyandangnya tidak lagi berminat untuk berkhidmat dan mahu menumpukan perhatian kepada profesion atau perniagaan.

“Tetapi kesemua ini perlu fikirkan demografi dan geografi serta elak dari isu nepotisme dan kronisme kerana kerusi ini adalah untuk ‘PM In Waiting’ dan menjamin kemenangan mudah kepada beliau. Jika komposisi etnik seperti Nibong Tebal, ia memberi gambaran populasi nasional.

“Dalam ramai tawarkan kerusi, ada juga yang terang-terang bagi tahu tidak mahu serahkan kepada seorang yang mahu dinobat sebagai perdana menteri,” katanya.

Ada juga pemerhati politik yang kuat mengatakan bahawa Anwar akan kembali ke Permatang Pauh dan Nurul Izzah akan memberi laluan, dan sebagai timbal balasnya, puteri sulung Anwar itu akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, jika keadaan itu berlaku akan membawa risiko kepada dua pilihan raya kecil dan Nurul Izzah tidak dibenar bertanding kerusi Parlimen dalam tempoh lima tahun dari tarikh mengosongkan kerusi itu.

Syarat itu mengikut Artikel 48(6) Perlembagaan Persekutuan yang tidak membenarkan Ahli Dewan Rakyat bertanding dalam pilihan raya bagi kerusi Parlimen dalam tempoh lima tahun dari tarikh peletakan jawatannya.

Bagaimanapun, Nurul Izzah masih boleh bertanding kerusi dewan undangan negeri.

Setelah semua kerusi yang diperkatakan sebelum ini dinafikan oleh Setiausaha Agung PKR, kini hanya tinggal kerusi Parlimen Port Dickson di Negeri Sembilan yang masih menjadi tanda tanya.

-- BERNAMA

No comments:

Blog Archive