Tuesday, September 11, 2018

'Kemenangan Halimey menunjukkan kubu PH masih bertahan', Bernama, 9 September 2018

 

 
Oleh Fadzillah Aishah Ismail

PETALING JAYA, 8 Sept (Bernama) – Kemenangan Halimey Abu Bakar dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia hari ini memberi isyarat jelas bahawa kubu kuat Pakatan Harapan (PH) di Selangor khususnya di DUN itu masih belum mampu ditembusi pembangkang.

Meskipun calon PAS Dr Halimah Ali bersungguh-sungguh meyakinkan pengundi supaya memilih beliau sebagai pelaksana ‘check and balance’ kepada kerajaan, namun pengundi Seri Setia memberi isyarat bahawa kerajaan PH perlu terus diberi ruang untuk bekerja ‘tanpa gangguan’.

Malah, isu-isu nasional yang dimainkan oleh bekas anggota Exco kerajaan negeri Selangor itu seperti kegagalan 100 hari kerajaan PH memenuhi semua janji, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) juga gagal mempengaruhi pengundi.

Menurut Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri Sembilan Mujibu Abd Muis, PAS seharusnya belajar daripada kegagalan pembangkang memainkan isu sama ketika PRK DUN Sungai Kandis baru-baru ini, yang menyaksikan calon PH Mohd Zawawi Ahmad Mughni dipilih sebagai wakil rakyat baharu.

“Kita tengok selepas 100 hari (kerajaan PH memerintah) memang terdapat kesedaran kepada rakyat bahawa PH tidak boleh ‘deliver’ dalam tempoh 100 hari, namun kena ingat dalam konteks itu ramai juga berpendapat bahawa rakyat mempunyai tahap kepuasan tinggi dengan prestasi kerajaan PH.

“Mereka berpendapat mungkin (kerajaan PH) boleh dimaafkan, sebab itu bila dibawa isu-isu ini ke PRK ini (Seri Setia) itu (kemenangan) tidak berlaku juga. Maka saya berpendapat jika berlaku lagi PRK akan datang, maka pembangkang harus kena ada pendekataan dan platform naratif yang baru untuk imbangi persiapan mengurangkan undi atau mungkin kalahkan PH,” katanya kepada Bernama.

Keputusan PRK DUN Seri Setia menyaksikan Halimey yang merupakan bekas Anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menewaskan Dr Halimah dengan majoriti 4,027 undi. Halimey memperoleh 13,725 undi sementara Dr Halimah memperoleh 9,698 undi.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi DUN Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin akibat kanser usus, 2 Ogos lepas dan ia merupakan PRK kedua diadakan di Selangor selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia Prof Dr Sivamurugan Pandian turut senada dengan Mujibu bahawa isu-isu yang dimainkan oleh calon PAS tidak memberi impak kepada calon PH.

“Bila ada isu besar pengundi akan keluar (mengundi) tidak kira cuti atau cuaca buruk tetapi pada PRK ini ia seolah-olah tidak jadi isu besar pada pengundi. Mungkin bagi pengundi mereka masih beri peluang kepada PH kerana matlamat mereka nak jatuhkan Barisan Nasional dah tercapai,” katanya.

Mengenai peratusan keluar mengundi yang agak rendah iaitu 44.1 peratus, Sivamurugan berpendapat selain faktor cuti panjang, tempoh kempen lama iaitu 21 hari turut memberi kesan kepada pengundi.

“Kempen terlalu panjang, mungkin SPR perlu kaji semula kerana saya lihat kesannya apabila jentera calon jadi hambar sehingga tidak mampu tarik pengundi keluar mengundi. Selain itu, trend hampir sama juga berlaku sama seperti PRK Sungai Kandis di mana kerjasama PAS-UMNO gagal menarik pengundi di Seri Setia.

“Adakah di sini (Seri Setia) pengundi tegar UMNO tidak keluar untuk menyokong calon PAS Jadi ini merupakan ujikaji kedua kerjasama kedua-dua parti itu selepas Sungai Kandis, mungkin kedua-dua pihak (PAS-UMNO) perlu teliti semula di mana silapnya.

“Namun bagi Halimey meskipun majoriti diperoleh rendah berbanding ketika PRU14, ia satu keputusan yang baik untuk beliau kerana peratusan keluar mengundi yang sangat rendah,” katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Blog Archive