Monday, June 06, 2016

'Pertandingan Tiga Penjuru, Peluang Calon BN Budiman Lebih Cerah?', Bernama, 5 Jun 2016

SUNGAI BESAR – Pertembungan tiga penjuru – Barisan Nasional (BN), Parti Amanah Negara (Amanah) dan PAS – dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun ini dilihat lebih memihak kepada calon BN, Budiman Mohd Zohdi.
Penganalisis politik melihat kelebihan itu dari aspek kedudukannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang yang terletak di dalam kawasan Parlimen itu, seorang pemimpin muda dan merupakan anak tempatan.
Hubungan kerja yang rapat dengan penyandang kerusi Parlimen itu Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon, dan kemahirannya mengenai selok-belok kawasan berkenaan juga merupakan satu bonus buat anak kelahiran Kampung Sungai Limau, Sungai Besar itu.
Menurut Pensyarah kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, pertembungan tiga penjuru dilihat bukan sahaja memberi kelebihan kepada BN untuk mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan, malah berkemungkinan boleh menambah majoriti undi.
“Budiman selalu berada di kawasannya dan berkhidmat kepada masyarakat termasuk bukan Melayu, jadi ini membuatkan beliau berpotensi agak besar untuk tarik sokongan orang Melayu dan bukan Melayu. “Sementara calon lain seperti PAS merupakan orang luar dan Amanah pun ada krisis dalaman (membabitkan hubungan dengan PAS). Walaupun Amanah letak calon orang tempatan beliau tidak berapa dikenali dalam kalangan masyarakat setempat, jadi ini juga kelebihan kepada Budiman,” katanya kepada Bernama.
Pada pilihan raya kecil itu, Budiman bakal ditentang calon PAS, ADUN Meru Dr Abdul Rani Osman manakala Amanah mempertaruhkan Pengerusi Amanah Sungai Besar, Azhar Abdul Shukur.
Mohd Azizuddin berkata, calon BN berpotensi memenangi pilihan raya kecil itu dengan syarat tidak berlaku sabotaj dalam parti oleh pihak yang mungkin mempunyai keinginan untuk menjadi calon tetapi tidak dipilih.
Selain itu, beliau berkata pertambahan jumlah pengundi luar yang pulang ke kawasan untuk mengundi juga dibimbangi memberi sedikit masalah kepada peluang BN untuk memenangi pilihan raya kecil itu dengan majoriti undi yang besar.
“Ada masalah sikitlah sebab mereka pun tidak berapa kenal Budiman,” katanya.
Mohd Azizuddin dalam pada itu berkata, pertambahan pengundi baharu juga perlu diambil perhatian tetapi peluang memenangi PRK itu tetap dilihat memihak kepada Budiman berdasarkan faktor usia.
Penganalisis politik dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian turut sependapat dengan Mohd Azizuddin bahawa pertembungan tiga penjuru bakal memberi kelebihan kepada BN lebih-lebih lagi Budiman sangat memahami lokaliti kawasan berkenaan dan mampu memastikan jentera parti bersama beliau.
“Mengenai Azhar, mungkin beliau boleh beri persaingan dari sudut wakil Pakatan Harapan tetapi berdasarkan kemelut di dalam Selangor sendiri barangkali jentera (parti) akan terjejas sedikit melainkan masing-masing sedia ketepikan perbezaan untuk PRK ini.
“Mengenai calon PAS, walaupun beliau ADUN Meru tetapi beliau dianggap orang luar, namun begitu kedudukan beliau sebagai bekas Pesuruhjaya PAS Selangor mungkin akan digunakan untuk bantu jentera beliau. Apapun, kalau melihat kepada latar belakang akan beri kelebihan kepada BN,” katanya.
Menurutnya jentera BN juga perlu memastikan bukan sahaja anggota parti dan penyokong setia BN keluar mengundi tetapi pada masa sama perlu menyakinkan pengundi atas pagar bahawa Budiman merupakan calon terbaik untuk mewakili Parlimen berkenaan.
Sivamurugan berkata cabaran bagi BN dan jentera pilihan raya di Sungai Besar ialah untuk memastikan pengundi yang bekerja di luar kawasan pulang mengundi kerana mungkin akan wujud intepretasi dalam kalangan mereka bahawa meskipun BN menang ia tidak akan mengubah kedudukan kerusi itu.
“Jika itu dapat dilakukan, sedikit sebanyak mampu tingkatkan majoriti (undi) sebab di (DUN) Sungai Panjang, Budiman dapat majoriti agak besar tetapi jentera BN juga perlu pastikan DUN Sekinchan dapat ditawan BN kerana majoriti penduduk di sana kaum Cina, melainkan wujud peratusan rendah yang keluar mengundi oleh kaum itu,” katanya.
Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Darussalam Abu Bakar pula berkata BN dijangka mengekalkan penguasaan di kerusi Parlimen berkenaan berikutan ‘kedegilan’ Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tetap berkeras untuk meletakkan calon dari parti itu.
Beliau berkata berdasarkan tinjauan, ada dalam kalangan anggota PAS di peringkat akar umbi ‘tidak gembira’ dengan keputusan kepimpinan parti itu memandangkan hubungan PAS dan Amanah di Sungai Besar yang agak rapat.
“Saya dapat tahu kemungkinan BN menang sebab orang-orang PAS dikatakan mungkin tidak akan keluar mengundi. Mereka di peringkat akar umbi tidak gembira dengan keputusan PAS letak calon kerana PAS dan Amanah di sini (Sungai Besar) rapat tetapi Abdul Hadi nak letak juga calon.
“Kalau letak (calon) Amanah, (penyokong) PAS setempat akan undi Amanah. Situasi ini agak pelik sebab di peringkat kepimpinan ‘bercakaran’ tetapi di peringkat akar umbi mereka berbaik-baik,” katanya.
Pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar diadakan berikutan kematian Noriah dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas. Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lepas, Allahyarham Noriah menewaskan lawannya daripada PAS, Mohamed Salleh M. Hussin dengan majoriti 399 undi. – Bernama

No comments:

Blog Archive