Monday, June 20, 2016

'Gagal Terima Kekalahan Pilihan Raya Antara Ciri Diktaktor - Penganalisis Politik', Bernama, 20 Jun 2016


Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Pihak pembangkang yang obses terhadap kemenangan dan enggan menerima kekalahan pilihan raya dengan hati terbuka dilihat mempunyai ciri-ciri diktator, kata beberapa penganalisis politik.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berkata sistem demokrasi memberi jaminan kepada hak kebebasan rakyat memilih, dan pemimpin politik yang bijak sepatutnya amat maklum tentang perkara itu.

Justeru itu, katanya, kenyataan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli terhadap keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak yang seolah-olah menyalahkan rakyat kerana tidak memilih calon mereka, adalah respons yang 'tidak matang'.

"Mereka sahaja yang betul, pandangan masyarakat tidak dikira. Ini adalah ciri-ciri diktator. Kalau kelompok sebegini perintah (negara), saya khuatir nanti suara rakyat akan hilang," katanya ketika dihubungi di sini.

Sebuah akhbar melaporkan Rafizi dipetik sebagai berkata penyakit 'kebendaan' dalam kalangan pengundi menjadi antara penyebab Barisan Nasional (BN) memenangi kedua-dua kerusia Parlimen itu.

"Baik pengundi Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan semua yang lain, faktor projek dijanjikan dan wang kebendaan yang diagihkan semasa kempen tetap berkesan mengekalkan sejumlah undi kepada mereka (BN)," kata Rafizi dalam laporan itu.

Md Shukri berkata rakyat dan pemimpin matang adalah dua perkara yang saling diperlukan ke arah pembentukan Malaysia yang membangun.

"Dalam konteks ini, saya lihat keluhuran hati pemimpin itu sendiri. Kalau penghormatan ke atas rakyat tidak boleh diberikan, ini meruncing kepada pembentukan sebuah negara yang matang.

"Rakyat seharusnya buka mata," kata beliau.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian pula menyifatkan Rafizi sebagai pemimpin yang emosional.

"Beliau sepatutnya lebih rasional dan praktikal dalam perkara ini," katanya.

Sivamurugan berkata hak dan kedudukan pengundi untuk memilih perlu diiktiraf, dan tidak ada mana-mana parti yang boleh perlekehkan perkara ini.

Jika dilihat pada pilihan raya sebelum ini, katanya, pengundi telah menganugerahkan parti pembangkang beberapa negeri untuk ditadbir.

"Kekalahan dan kemenangan boleh disebabkan faktor calon, jentera parti dan juga isu-isu yang dibawa. Tiga elemen ini menyumbang dengan besar.

"Dalam konteks ini, pihak yang kalah haruslah lakukan bedah siasat (tentang kekalahan mereka)," kata beliau.

Pada PRK Sungai Besar, calon BN Budiman Mohd Zohdi menang dengan majoriti 9,191 undi menewaskan calon PAS Dr Abdul Rani Osman dan calon Amanah Azhar Abdul Shukur.

PRK Kuala Kangsar pula menyaksikan calon BN Datin Mastura Mohd Yazid menang dengan majoriti 6,969 undi mengalahkan calon PAS Dr Najihatussalehah Ahmad, calon Amanah Prof Dr Ahmad Termizi Ramli dan calon bebas Izat Bukhary Ismail Bhukary.

-- BERNAMA

No comments:

Blog Archive