Monday, January 18, 2016

'Walau Tidak Sebumbung, PAS Dan UMNO Boleh Sepakat - Pemimpin PAS', Bernama, 13 Januari 2016



Oleh Norshazlina Nor'azman

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Keterbukaan PAS untuk bekerjasama dengan UMNO bukan sahaja membuka luas pintu perpaduan ummah antara dua parti itu, tetapi juga bakal memberi seribu satu manfaat kepada seluruh rakyat.

Kepimpinan kedua-dua parti dan pemerhati politik tempatan positif dengan perkembangan ini. Meskipun berbeza ideologi dan pendekatan politik serta terkenal sebagai 'seteru' sejak berzaman, tidak mustahil kedua-dua parti Melayu dan Islam itu boleh menyokong dan melengkapi satu sama lain, walaupun tidak sebumbung.

PAS acapkali menegaskan bahawa kerjasama yang dipersetujui mereka tidak akan sesekali melibatkan ruang lingkup politik, sebaliknya hanya hal melibatkan kepentingan Islam serta kesejahteraan ummah dan rakyat.

PAS KEKAL DENGAN PENDIRIAN

Menyatakan kerjasama itu tidak terhad hanya kepada hal berkaitan kepentingan umat Islam, Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata PAS sedia menghulurkan tangan dalam pelbagai bidang lain termasuk hal perundangan, ekonomi dan pendidikan, selagi tujuannya adalah untuk kebaikan rakyat.

"PAS akan terus kekal dengan pendirian parti untuk tidak bekerjasama dalam hal yang melibatkan politik, tetapi sentiasa bersikap terbuka dalam perkara lain, selagi masih berlandaskan perjuangan Islam.

"Ini termasuklah kerjasama dalam pendekatan untuk kebaikan umat Islam dan juga kepelbagaian masyarakat.. kalau ada perkara yang baik untuk semua, mengapa tidak? (kerjasama)," katanya selepas majlis taklimat khas di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad di Taman Melewar, Gombak di sini.

Taklimat khas itu diadakan bagi menerangkan isu kerjasama dengan UMNO kepada kira-kira 200 pimpinan PAS pusat dan negeri, susulan ketetapan Majlis Syura Ulama PAS baru-baru ini.

Majlis Syura memutuskan bahawa parti itu tidak akan bergabung dengan Umno, sebaliknya hanya mengadakan kerjasama mengikut konteks Islam dalam perkara kebaikan dan ketakwaan kepada Allah.

Isu kerjasama antara PAS dan UMNO hangat diperkatakan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 Disember lepas menghulurkan 'tali silaturahim' kepada PAS untuk bersama-sama membina dan membangunkan negara mengikut syariat Islam sebenarnya.

Najib sekali lagi menyatakan hasratnya itu di hadapan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika kedua-duanya berkongsi pentas di Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar hujung tahun lalu.

SEDIA 'TA'AWUN'

Idris berkata dalam taklimat pada Sabtu lalu, isu kerjasama dua parti itu mendapat respons yang baik daripada barisan kepimpinan PAS.

Mengulas perkara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali berkata pada mulanya, wujud kekeliruan dan salah faham di kalangan anggota PAS mengenai relevannya keputusan untuk bekerjasama dengan UMNO.

"Setelah diterangkan oleh Majlis Syura, semua kini faham bahawa tiada gabungan, hanya kerjasama dalam isu berkepentingan kepada rakyat.

"Oleh yang demikian, kami akan ke negeri-negeri untuk menjelaskan (perihal kerjasama PAS-UMNO) ke peringkat yang lebih bawah pula... Insya-Allah, tidak akan ada masalah," katanya.

Katanya tidak salah untuk PAS berta'awun iaitu bermuafakat dengan UMNO, terutamanya dalam membantu meningkatkan kepentingan rakyat termasuk dalam bidang pendidikan dan ekonomi.

"Contohnya isu bersama untuk kepentingan rakyat seperti hendak membantu mangsa banjir, soal pendidikan, soal rakyat miskin mahupun bersama-sama menentang Israel... ya, kami boleh bekerjasama, tiada masalah.

"Kita boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja, bukan sahaja dengan UMNO. Cuma kita tidak akan bertahaluf dengan UMNO, jadi tidak akan ada kerjasama pada Pilihan Raya Umum yang akan datang dengan UMNO," katanya.

TEKANKAN DASAR

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata apa jua strategi serta pelan tindakan yang telah dan akan dibuat oleh parti itu, boleh berubah mengikut suasana dan kesesuaian, terutamanya apabila dasar parti itu terjejas.

"Dasar PAS adalah berteraskan syariat Islam. Justeru, apa jua strategi atau taktik yang dipersetujui adalah berteraskan kepada dasar itu... kami tidak akan berkompromi, itu yang dipegang.

"Sebagai contoh, ketika PAS sertai Pakatan Rakyat dahulu, PAS tekankan tentang kedudukan dan kepentingan dasar parti, tetapi apabila dasar PAS terjejas, kami terpaksa tinggalkan," katanya.

Bagi pemerkasaan parti, Takiyuddin berkata adalah penting menyelaraskan aliran pemikiran dan juga pemahaman ahlinya dalam satu-satu pendirian parti, termasuk dalam isu kerjasama PAS dan UMNO.

"Dalam taklimat ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa pimpinan tertinggi lain menjelaskan pendekatan-pendekatan yang diambil, pelan tindakan, pemerkasaan dan turut menyentuh hala tuju politik PAS.

"Alhamdullilah dalam penjelasan untuk peringkat tertinggi ini, semua orang boleh terima, jadi ia akan diteruskan ke negeri-negeri lain pula... pokoknya kita mahu popularkan satu budaya politik matang dan sejahtera," katanya.

TIDAK KETEPIKAN BANGSA LAIN

Dalam pada itu, pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata meskipun PAS dan UMNO, kedua-duanya menekankan dan mempertahankan kepentingan Islam, namun kedua-dua parti itu tidak pernah mengenepikan atau membelakangkan kepentingan bangsa lain.

Katanya bangsa lain tentunya akan turut beroleh manfaat dan perhatian, hasil daripada faedah kerjasama kedua-dua parti itu.

"Kalau daripada segi kepentingan agama, contohnya berkaitan militan IS dengan membincangkan mengenai warga Malaysia yang terlibat dalam kumpulan itu di Syria... mereka boleh bersama-sama memperjelaskan tentang Islam yang sebenar supaya tidak diberi tafsiran yang salah.

"Dalam masa sama PAS dan UMNO juga boleh bersama memperjuangkan isu rakyat antaranya kos kehidupan, kemiskinan dan perumahan yang dihadapi semua rakyat ketika ini, bersama dengan parti komponen BN bukan Islam yang lain," katanya ketika dihubungi Bernama.

Penganalisis politik itu berkata PAS dan UMNO mempunyai sejarah perhubungan yang panjang dan melalui banyak siri pasang surut tetapi sama ada disedari ataupun tidak, kedua-dua parti itu pernah bekerjasama sebelum ini dan membuahkan hasil memberangsangkan.

Beliau memberi contoh ketika presiden kedua-dua parti ketika itu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Fadzil Mohd Noor, berkongsi pentas sama bagi membincangkan masalah mengenai Palestin, selain penyelesaian masalah banjir pada setiap tahun yang dihadapi Kelantan, negeri yang ditadbir PAS.

"Meskipun kedua-duanya isu yang berbeza tetapi kita lihat kedua-dua parti itu boleh bekerjasama sekiranya mereka mahu... ramai yang tafsir kalau hendak bekerjasama kena bergabung, sedangkan ia tidak perlu kerana tanpa bergabung pun mereka boleh sepakat.

"Mereka hanya perlu cari titik persamaan dan pada masa sama, hormati perbezaan... mereka perlu ada keyakinan dan kepercayaan samada di peringkat tertinggi atau juga bawahan sekiranya mahu kerjasama itu berjaya," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Blog Archive