Thursday, January 07, 2016

'Kerjasama BN-PAS Perlu Demi Raih Kepercayaan Rakyat- Penganalisis Politik', BNBBC, 6 Januari 2016

Oleh FAZREEN KAMAL

6 JAN: Kerjasama di antara Barisan Nasional (BN) dan PAS haruslah ditumpukan kepada menangani beberapa isu yang membabitkan kenpetingan rakyat dan negara.
Pandangan ini disuarakan penganalisis politik, Dr. Sivamurugan Pandian yang melihat kerjasama perlu lebih kukuh dalam melibatkan kedua-dua parti besar ini.
“Saya rasakan pada peringkat ini kedua-duanya tidak melihat untuk kerjasama gabungan bersama atau di peringkat kerajaan.
“Barangkali adalah wajar untuk tumpu pada isu-isu yang punya persamaan, contohnya isu jawatankuasa banjir di Kelantan, isu kedaulatan Palestin mahupun isu Daesh sebelum melangkah ke arah kerajaan perpaduan,” katanya kepada BNBBC.my pada Rabu.
SIVA DAN NIDZAM penganalisis politikBeliau berkata demikian bagi mengulas kerjasama di antara BN-PAS seperti yang diumumkan Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Dr Nik Mohd Zawawi Salleh yang menegaskan untuk terus menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk UMNO demi kepentingan Islam.
Tambah Dr. Siva di saat ini adalah penting untuk kedua-dua parti mewujudkan kepercayaan di kalangan ahli masing-masing mengenai hala dan tujuan kerjasama ini.
“Adalah penting di fasa ini untuk melahirkan kepercayaan dan keyakinan dalam kalangan ahli kenapa kerjasama ini penting dan apakah bentuk mekanisme yang boleh digunakan agar ia licin dan lancar tanpa ada halangan berterusan,” katanya lagi.
Sementara itu seorang lagi penganalisis politik, Dr. Nidzam Sulaiman pula berpendapat persetujuan untuk bekerjasama atas dasar kesatuan umat Islam sememangnya sesuatu yang membanggakan.
Ini kerana sejak dari dulu lagi ramai ahli di dalam PAS yang tidak senang dengan idea kerjasama ini.
Mereka mendokong pandangan Allahyarham Nik Aziz Nik Mat yang amat sensitif untuk berkerjasama dengan UMNO.
“Orang lama sudah punyai banyak pengalaman semasa era berkerjasama dengan PAS dan cukup serik untuk meneruskan lagi. Ini Allahyarham berkali-kali mengingatkan jangan berkerjasama lagi dengan UMNO.
“Namun kepimpinan sekarang terutama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengubah pendirian yang dilihat lebih cenderung kepada kerajaan Perpaduan. Mungkin ada tawar menawar yang orang ramai tidak tahu yang telah mendorong kepada perubahan ini,” katanya kepada BNBBC.my.
Tambahnya dengan persetujuan ini juga adalah bonus kepada UMNO yang dilihat dapat memperkukuhkan kedudukannya disaat pelbagai tohmahan dilemparkan kepada Presidennya Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Meskipun keputusan yang dibuat oleh majlis syura ini membuatkan beberapa kepimpinan PAS merasa kedudukan mereka tercabar namun bila ditegaskan ia adalah demi kepentingan bangsa dan negara maka mereka secara tidak langsung akan merealisasikan kerjasama ini,” ujarnya.

* Tajuk kurang sesuai dengan kandungan rasanya.

No comments:

Blog Archive