SHAH ALAM –  PKR perlu memainkan peranan dalam memastikan ‘peperangan’ tidak akan tercetus antara Pas dan DAP sebelum menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ini kerana menurut penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian, ‘perang’ antara kedua parti tersebut akan memberikan kesan kepada pentadbiran pembangkang di Selangor.
“Kita tidak boleh menolak bahawa wujud kesan sekiranya masing-masing menjadi musuh utama bagi pihak pembangkang.
“Perang antara keduanya akan menyukarkan Menteri Besar Selangor, Datuk Mohamed Azmin Ali yang bergantung kepada Pas dan DAP di negeri itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Kami pun sedia ‘berperang’ dengan Pas
Sehubungan itu, PKR perlu menjadi orang tengah sekiranya peperangan Pas-DAP muncul sebelum atau ketika PRU 14 berlangsung nanti.
“PKR perlu bertindak sebagai pengantara sekurang-kurangnya sebelum PRU 14. Azmin sendiri perlu bertindak demi survival Selangor dan parti,” katanya lagi.