Sunday, June 01, 2014

'PRK Teluk Intan : Pengalaman Atasi Rupa', The Rakyat Post, 1 Jun 2014


 
TELUK INTAN, 1 JUN:

Jika dibandingkan dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13, calon DAP, Seah Leong Peng mendapat majoriti sebanyak 27,399 undi menewaskan calon BN, Mah Siew Keong dengan majoriti sebanyak 20,086 undi.

Manakala  calon bebas Moralingam Kannan yang hanya berjaya meraih 279 undian.

Bagaimanapun pada pilihan raya kecil yang diadakan kali ini, ia menyaksikan perubahan besar dengan majoriti kecil.

Calon BN, Datuk Mah Siew Keong meraih 20,157 undi manakala calon DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud pula meraih 19,919 undi.

Ia menyaksikan Presiden Gerakan itu hanya mendapat lebih 238 undi.

Bagi penganalisis politik, Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian, pola pengundian pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan tidak banyak berbeza daripada sebelum ini di mana ia tidak menyaksikan pertambahan sokongan.

Apa yang membezakan adalah peratusan mengundi di mana 66.67 peratus atau 40,236 pengundi daripada 60,349 pemilih telah menunai tanggungjawab mereka.

Dia berkata dalam pilihan raya ini, pengundi Cina tidak memainkan peranan yang begitu penting dalam menentukan kemenangan parti yang bertanding kerana jumlahnya tidak meningkat berbeza.

“Saya tidak nampak yang pengundi berbangsa Cina memainkan peranan penting dalam kemenangan BN dalam PRK kali ini kerana saya rasa BN meraih kemenangan atas sebab peningkatan sokongan dari pengundi berbangsa India.

“Saya anggap kemenangan BN kali ini kerana peningkatan sokongan dari pengundi India dan juga pengundi Melayu manakala pengundi Cina pula mungkin hanya satu peratus sahaja,” katanya.

Ketika ditanya mengenai lawan Mah Siew Keong yang berusia jauh lebih muda darinya, Sivamurugan memberitahu faktor pengalaman dan latar belakang seseorang calon lebih diutamakan pengundi tempatan bukannya ditentukan faktor usia.

“Saya rasa mungkin pengalaman dan latar belakang Mah lebih menonjol jika dibandingkan dengan calon DAP, Dyana Sofya. Berdasarkan penerimaan pengundi pula, calon muda masih belum sampai ke tahap diterima ramai,” katanya.

Menurutnya, peratusan merosot pengundi keluar mengundi juga membantu BN meraih kemenangan dalam PRK ini.

“Ramai pengundi yang tinggal di luar Teluk Intan tidak pulang mengundi dan penyokong DAP pula terlalu yakin untuk menang mudah.

“Mah juga bekerja kuat dalam pilihan raya kali ini dan oleh kerana dikatakan jika beliau menang, wakil Parlimen Teluk Intan akan diberikan tempat sebagai Menteri sudah tentulah ramai badan bukan kerajaan (NGO) datang membantu beliau,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai faktor kekalahan DAP, Siva berkata kempen manifesto mereka tidak bersesuaian dan tidak menarik perhatian pengundi tempatan.

“Manifesto Mah lebih bersifat tempatan manakala manifesto Dyana pula lebih bersifat nasional tetapi penduduk tempatan lebih yakin dengan manifesto BN daripada manifesto kempen DAP.

“Tambah Siva, DAP bukanlah tersalah pencaturan sebaliknya tiada pembaharuan dalam kempen mereka.

“Mungkin juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang sedang cuba menguji kemampuan calon baru di kawasan luar bandar,” katanya.

 

No comments:

Blog Archive