Sunday, June 01, 2014

'Kesetiaan Penyokong Dan Komitmen Jentera Sumbang Kejayaan BN Di Teluk Intan', Bernama, 1 Jun 2014

 



Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil

TELUK INTAN, 1 Jun (Bernama) -- Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan membuktikan calonnya Datuk Mah Siew Keong masih mendapat sokongan daripada pengundi tempatan berbanding DAP yang dilihat bergantung kepada pengundi luar.

Ini terbukti apabila Mah hampir mengekalkan jumlah undian sama yang diperolehnya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 walaupun jumlah yang keluar mengundi menyusut sebanyak 8,000 orang pada PRK ini.

Pada PRU-13 lepas, Mah mendapat undian 20,086 manakala pada PRK Teluk Intan semalam mendapat undian sebanyak 20,157 yang membolehkan beliau menewaskan calon DAP Dyana Sofea Mohd Daud dengan majoriti 283 undi.

Penganalisis politik Md Shukri Shuib ketika dihubungi Bernama menarik perhatian bahawa keputusan berkenaan menunjukkan bahawa penyokong BN tidak berganjak daripada menyokong parti gabungan itu walaupun peratusan keluar mengundi dicatat lebih rendah berbanding PRU-13.

"Ini kita boleh puji gerak kerja jentera, kepimpinan parti BN, ahli-ahli BN, dan mereka yang meraih undi di Teluk Intan," katanya.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng ketika berucap di pusat operasi DAP sebaik keputusan diketahui semalam, mengakui peratusan rendah pengundi luar yang turun mengundi merupakan antara penyebab kekalahan DAP pada PRK kali ini.

Ditanya pendapatnya mengenai antara faktor yang mungkin menjadi sebab kepada kesetiaan penyokong BN, Md Shukri yang juga pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata ia mungkin disebabkan keyakinan pengundi terhadap Mah sendiri yang pernah mewakili Parlimen itu sebelum ini.

Turut mempunyai pendapat sama, penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian yang percaya bahawa selain mempunyai trek rekod di Teluk Intan dan di peringkat Kabinet, Mah mempunyai jalinan hubungan baik dengan masyarakat setempat.

Namun begitu, tidak hanya bergantung kepada kesetiaan penyokong dan kekuatan karektor, Dr Sivamurugan menarik perhatian bahawa strategi parti antara lain dengan memperkenalkan manifesto bersifat lokal memainkan peranan meyakinkan pengundi.

"Seperti atas usaha naik taraf ekonomi, pelancongan, pendidikan dengan mahu bina universiti, ini antara yang menjadi minat golongan tempatan yang tinggal sejak sekian lama di sini," katanya.

Ditanya faktor yang perlu diberi perhatian BN bagi mengekalkan kemenangan pada PRU ke-14 akan datang di Parlimen berkenaan, Dr Sivamurugan mengingatkan bahawa BN perlu selepas ini bergerak sebagai sebuah parti, bukannya mengikut komponen masing-masing.

"Cabaran besar Mah juga sekarang adalah memenuhi manifesto, kedua meneruskan tanggungjawab sebagai wakil rakyat. Jika terus berkhidmat calon-calon lama tidak perlu berkempen pun, undi akan datang sendiri berbanding calon baharu.

"Sebagai orang pengalaman luas, beliau harus galas tanggungjawab besar, memenuhi janji dan berinteraksi semuka dengan memperhebatkan hubungan dengan kelompok generasi muda, ini sesuatu yang harus dilakukan supaya golongan muda tak melihat faktor parti semata-mata tetapi menilai secara menyeluruh," katanya.

Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Dr Jayum Jawan bagaimanapun mengingatkan cabaran BN memenangi PRU-14 tidak akan datang dengan mudah.

Beliau memberi penekanan bahawa BN tidak boleh bersenang lenang dengan keputusan yang dicapai pada PRK Teluk Intan kerana ia hanya kemenangan tipis.

"Memang betul BN menang, namun tidak dapat dinafikan juga peratusan keluar mengundi yang rendah. Ini bukan petunjuk dia boleh menang pada PRU akan datang namun mungkin ia sudah dapat beri suntikan semangat untuk terus usaha kepada majoriti lebih besar," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Blog Archive