KUALA LUMPUR, 25 Jun
Barisan baru kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai satu langkah pembaziran yang melibatkan wang rakyat.
Namun, ada juga yang melihat tindakan penambahan ini bertujuan untuk mengembalikan kepercayaan dan sokongan masyarakat Cina kepada kerajaan Barisan Nasional.
Penganalisis Politik, Prof Madya Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff berkata, perbelanjaan yang banyak akan diperlukan bagi menampung kos pengurusan menteri.
“Bila menteri semakin ramai maka belanja akan lebih banyak dan secara langsung wang rakyat akan banyak digunakan. Tengoklah jalan sesak, tetapi tol terpaksa dibayar. Tengoklah tarif elektrik naik, tetapi bekalannya terputus, tengoklah nasib orang miskin dan OKU yang terbiar.
“Masyarakat mengharapkan rombakan kabinet bagi menilai semula prestasi menteri sedia ada tetapi apa yang diumumkan hanyalah penambahan. Sudah sampai masanya beberapa menteri ditukar ke kementerian lain atau digugurkan, tetapi itu tidak berlaku,” katanya kepada The Rakyat Post.
Sementara itu, bagi penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani yang menyifatkan tindakan Najib adalah langkah terbaik bagi melengkapkan barisan kabinet.
“Ini adalah strategi terbaik. Ini adalah peluang dan ruang kepada wakil masyarakat Cina untuk bersama-sama membuat keputusan besar dalam negara.
Katanya, walaupun Najib meletakkan dua lagi menteri baru di bawah Jabatan Perdana Menteri, namun ianya lebih relevan kerana kerajaan masih memerlukan lebih ramai menteri bagi mengurus hal ehwal negara.
“Mungkin salah seorang daripada mereka akan bertanggungjawab menjaga hal ehwal bukan Islam.
“Kerajaan memang perlu portfolio yang lebih bagi membantu masyarakat dalam negara,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.
Bagi penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian, pengumuman itu mengejutkan walaupun telah menjangkakan pertambahan menteri kabinet.
“Saya jangka ada pengguguran tetapi mungkin Najib rasa barisan kabinet sekarang sudah cukup baik,” katanya.
Menurutnya, fungsi perlantikan menteri baru itu dilihat untuk memulihkan sokongan masyarakat Cina menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.
“Mungkin Najib melakukannya dengan alasan untuk mengukuhkan parti dalam kabinet dan MCA serta Gerakan akan ditugas untuk menguruskan perihal masyarakat Cina bagi PRU14 akan datang,” katanya.