Saturday, June 22, 2019

'Ke mana hala tuju PAS selepas ini?'@Berita Harian, 21 Jun 2019

 



Menjelang Muktamar PAS ke-65: Apa yang dianggap asing dalam lingkaran tafsiran PAS satu ketika dahulu, semakin menjadi kebiasaan tanpa ada lagi kening terangkat atau dahi berkerut penuh skeptikal. PAS sudah lama dan jauh meninggalkan imej ‘parti Pak Lebai’ yang dikaitkan sekitar dekad awal penubuhannya, seiring pendekatan agresif menerusi tutur kata dan perlakuan pemimpin serta ahlinya waktu itu.
Perubahan PAS dilihat berlaku atas dua faktor - kitaran perkembangan politik tanah air dan evolusi status latar belakang pendidikan ahlinya, sekali gus mengubah imej itu dalam pelbagai aspek. Apakah ia turut mempengaruhi dasar perjuangan PAS yang meletakkan Islam sebagai asas dalam setiap keputusan dan tindakan?
Apakah kerjasama dengan UMNO tidak lebih daripada percaturan politik memanjangkan ‘talian hayat’?
Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Sivamurugan Pandian, berpendapat PAS mulai menyedari kepentingan meraikan persamaan dengan UMNO dalam usaha memenuhi aspirasi politik untuk jangka panjang.
“Bertahun lamanya PAS dan UMNO meletakkan perbezaan yang lebih banyak mencetus perbalahan, selain kedudukan UMNO sebagai parti pemerintah pada waktu itu. Perubahan iklim politik tanah air mengubah pendekatan mereka dan masing-masing kelihatan bersungguh meneroka kerjasama secara dua hala walaupun masih banyak rintangan perlu dihadapi.
“Kerjasama ini tidak wajar mempunyai kerangka masa tertentu. Masing-masing masih mempunyai krisis kepercayaan dan ia mengambil masa, namun keperluan untuk mengukuhkan ikatan lebih mendesak berbanding berjuang sendiri,” katanya.

Cari titik tengah pacu hala tuju
Bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pernah melabel UMNO sebagai sekular kerana hanya menjuarai agenda Melayu, sedangkan Islam tidak membataskan ruang lingkup perjuangannya kepada kaum atau bangsa.
Atas keperluan dan persekitaran berbeza, nada seperti itu tidak lagi kedengaran dalam kalangan kedua-dua pihak, malah kedudukan PAS dan UMNO sebagai pembangkang mendorong mereka mencari titik tengah untuk memacu hala tuju.
Di sebalik hasrat menzahirkan perpaduan ummah yang kerap diperkatakan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, tetap wujud ruang prasangka dalam kalangan akar umbi parti itu, terutama yang melalui pahit getir diperlekeh UMNO.
Dilema itu, tegas Sivamurugan, perlu dirungkai secara tuntas oleh Hadi di hadapan perwakilan muktamar kali ini, dalam usaha mengaut sokongan penuh dalam membentuk persefahaman.
“Tugasnya sama berat buat kedua-dua parti. PAS perlu meyakinkan banyak pihak bahawa nada ekstrem yang pernah menjadi lumrahnya sudah lapuk ditelan zaman, selain mengakui perlunya kepentingan Melayu dipertahankan.
“UMNO yang mulai memahami peranan sebagai pembangkang, mesti menerangkan kepada penyokong setianya bahawa Islam tidak harus dikesampingkan daripada agenda Melayu,” katanya.
Jika Hadi memilih pentas ucapan dasarnya hari ini untuk meyakinkan 1,200 perwakilan mengenai kerjasama PAS-UMNO, ia harus berpaksikan hala tuju perjuangan melangkaui pilihan raya umum akan datang.
PAS pernah menarik ahlinya untuk memangkah DAP di kertas undi - penanda aras agak tinggi berdasarkan asas perjuangan siasah masing-masing yang berhak diibaratkan langit dengan bumi. Hadi berdepan tiga lapisan ahli dalam PAS - penyokong totok yang hidup matinya bersama PAS sejak ditubuhkan pada 1951; golongan pertengahan yang terikat dengan sejarah, tetapi terbuka kepada perubahan dan penyokong muda berpendidikan yang mementingkan survival PAS untuk jangka panjang.
Untuk itu, Hadi perlu merencana sekurang-kurangnya tiga pendekatan berbeza supaya mereka memahami gelombang perubahan dihadapi tidak bermakna prinsip al-Quran dan hadis yang dipegang sejak hari pertama akan dikorbankan.
Muktamar PAS yang julung kalinya menjejak bumi Pahang kali ini harus dijadikan penanda aras untuk meruntuhkan keegoan peribadi jika parti itu benar-benar ikhlas meletakkan permuafakatan ummah mengatasi kepentingan politik.

No comments:

Blog Archive