Tidak ketinggalan, ramai juga menjadi ‘artificial intelligence’ dinobat sebagai penyunting video profesional. Sejarah menunjukkan bahawa pembunuhan karakter merupakan alat yang signifikan terutama dalam sasaran ke atas kehidupan peribadi, tingkah laku, nilai dan identiti diri. Pemasaran negatif atau yang juga dikenali sebagai ‘Black PR’ bertujuan untuk memalukan, taktik jijik dan boleh berada di luar kawalan dalam perang saraf maklumat sebagaimana di Rusia dikenali sebagai kompromat.
Pembunuhan karakter adalah ‘alat strategik’ yang telah wujud berabad lamanya diguna oleh parti, ahli atau penyokong politik. Ia adalah fenomena sosial, budaya dan politik. Semakin tinggi literasi politik, hipotesisnya adalah bahawa kematangan untuk melihat perbezaan politik yang lebih sivil, dan berhemah ke arah pembentukan masyarakat madani tetapi apa yang berlaku adalah di sebaliknya. Ini termasuk golongan terpelajar yang turut diselubungi sifat ketaksuban keterlaluan walaupun sebahagiannya tidak teruja seperti tahun 1998 mahupun 2008.
Budaya ketaksuban politik mempunyai tahap yang berbeza-beza sehingga ada yang radikal dan ekstrem kerana percaya ia penting dalam pertembungan ideologi mahupun perbezaan hala tuju baik dalam satu parti ataupun berhadapan dengan parti lawan. Ia menjadi lebih bahaya apabila membabitkan persaingan pemimpin dan barisan saf yang sama kerana akan menyebabkan penyokong parti tidak ada pilihan tetapi untuk memilih kartel masing-masing. Siapakah yang beruntung dalam perpecahan politik kepuakan parti sendiri?
Adakah yang muncul ini pendekatan baru bermotifkan politik lama atau sesuatu yang tidak mengejutkan dalam gelanggang politik tanah air. Dulu kita disogok dengan surat layang dan kenyataan-kenyataan bersifat pembunuhan karakter peribadi seseorang pemimpin; kemudian ia berubah kepada pita rakaman dan pengambilan video yang kemudiannya tersebar luas akibat kealpaan sendiri. Selepas itu muncul pelbagai gajet yang terus berubah sehingga kepada capaian yang pantas dan pintar. Maka, kita segera menerima penyebaran video tersebut.
Nilai emosional, agama, keabsahan moral dan ikatan kepartian menjadi taruhan. Ilustrasi watak tidak layak menjadi pemimpin di manifestasi melalui pembunuhan karakter, kempen hasutan dan fitnah, keganasan informasi yang sebahagiannya boleh dipersoal agar dapat mezahirkan krisis ke atas legitimasi moral. Kepercayaan dan keyakinan berada di hujung tanduk walaupun sebahagiannya tidak kisah kerana mengandaikan ia adalah permainan pedang aktor dan strategis politik yang kian resah dengan perkembangan semasa.
Kempen pembunuhan karakter pemimpin secara tersusun dan rapi dengan perdekatan teknologi mempercepatkan proses mendekati kumpulan sasar terancang. Siapakah yang paling untung dan bakal rugi dalam saga ini atau akan muncul pihak ketiga yang meraikan pertembungan dalaman kepimpinan sehingga parti sendiri terlerai kepada kartel dan politik kepuakan. Reaksi penyokong masing-masing membawa rekahan hubungan dalaman parti bilamana ada pula ambil sikap ‘tunggu dan lihat’.
Budaya ketaksuban politik bukan baharu. Ia sudah wujud lama dan akan terus kekal. Walaupun ada yang mengandaikan bahawa literasi politik dan kematangan berpolitik akan berubah selari dengan amalan pendemokrasian tanah air pasca-5 Mei 2018; ramai yang tidak sedar bahawa nilai kesederhanaan sukar wujud bilamasa kumpulan berpartisan politik semakin membesar dan kumpulan yang setia pada ideologi politik semakin mengecil. Di negara barat, ia jelas iaitu sama ada menyokong Parti A atau B tetapi di sini kita melihat masyarakat sedang melalui ‘proses transisi’ secara evolusi kerana perubahan tidak berlaku sebagaimana di negara lain. Apabila kumpulan setia kepada parti dan pemimpin semakin mengecil, pertembungan menjadi sengit dan boleh melencong bersifat peribadi; dalam gelanggang yang penuh kerakusan dan adakalanya menjadi liar serta ganas sukar dikawal.
Yang penting dalam ledakan komunikasi dan mekanisme perhubungan adalah mencari punca mengapakah ia berlaku. Tujuan dan matlamat serta justifikasi periu dicari melangkaui ciri emosional. Adakah pertembungan ini bertujuan untuk meraih kuasa, kedudukan dan pangkat sehingga menjadikan ia terlalu bersifat peribadi dan keazaman untuk membunuh karakter pemimpin walau apa cara sekalipun. Fitnah lebihbesar binasanya dari dibunuh kata yang pernah merasai peritnya.
Mengapakah pembunuhan karakter dilakukan dengan ‘politik ganas’ ini? Masyarakat umum paling mudah dipengaruhi dengan elemen emosional apatah lagi jika ia adalah sesuatu yang ditolak oleh kepercayaan majoriti atau dilabel sebagai songsang. Adegan atau kenyataan yang berbau kemarahan, keresahan dan kekecewaan seringkali diguna untuk mendekati pemerhati atau golongan penonton. Yang jelas, politik lama berterusan dalam eko-sistem yang berubah mengikut zaman. Adakah teknologi sedang mengawal gerak-geri insan atau nilai kemanusiaan dipertaruhkan kerana teknologi diberi keutamaan.
Lazimnya, golongan populis menggunakan metodologi ini yakni rayuan emosional dari debatan rasional. Secara strategik, pembunuhan karakter dilakukan sebagai kejutan ke atas penonton dan menarik liputan media serta cakapan orang ramai. Naratif ini yang dilakukan seperti pujukan persuasif agar budaya ketaksuban politik dapat mengenepikan amalan demokratik tanah air. Sama ada benar atau tidak, seringkali isu yang dihadapi oleh beberapa bekas pemimpin parti politik dijadikan nota kaki dimana elemen-elemen memanipulasi apa yang bersifat peribadi untuk paparan umum dan bagaimana secara rahsia ada yang dirakam dan ada pula yang ditokok-tambah dengan perubahan peralatan dan prasarana teknologi. Dimanakah politik akhlak dan akidah bilamana golongan pesaing politik menggunakan kaedah ini?
Yang jelas, ‘tiada lawan dan kawan tetap cuma kepentingan’ dalam politik. Budaya ketaksuban politik menyumbang kepada sama ada kita mampu meraikan kematangan berpolitik dan bergerak ke arah politik berhemah atau di sebaliknya. Ingat, pemimpin juga ada keluarga dan sanak-saudara, mereka juga manusia yang ada perasaan. Ia boleh juge berlaku kepada anda dan saya.
Wajar dibuat satu garis pemisah batasan ke atas tingkah-laku songsang agar kita tidak dilihat masih berada di takuk yang sama walau mau menjelma sebagai kuasa demokrasi Asia Tenggara baharu. Faham, hormat dan terima boleh menjadi nilai asas untuk meraikan perbezaan dalam politik dan beradu dalam gelanggang dengan penuh keadilan pada pentas yang sama rata agar aib, hina, dusta dan memalukan seseorang dapat dihentikan. Kalaulah keazaman politik dipamer dalam sektor yang lebih mahu dirasai oleh masyarakat, rasanya perkara asas membebani rakyat boleh diatasi. Idealnya sebegitu, realisnya bagaimana?
PROFESOR DR. P. SIVAMURUGAN ialah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM).