Saturday, September 02, 2017

'Pupuk Semangat Patriotik Sejak Prasekolah', Bernama, 30 Ogos 2017

 
Tarikh kemaskini: 30/08/2017

Oleh Sarimah Othman

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Ajukan soalan mengenai 'Merdeka' kepada sekumpulan kanak-kanak prasekolah, lalu lihatlah keletah dan dengarlah jawapan mereka.

Anda akan mendapati ada di antara kanak-kanak itu yang melaungkan perkataan 'Merdeka' beberapa kali. Ada yang membaca ikrar Rukunegara. Malah ada yang menyebut tentang Jalur Gemilang.

Ada pula menyanyi lagu 'Tanggal 31 Ogos' atau lagu 'Saya Anak Malaysia' yang dipopularkan pada 1980an.

Apakah sebenarnya erti Merdeka? Mereka punya pengertian tersendiri namun maksud 'Merdeka' perlu diperjelaskan dengan mudah agar mereka memahaminya.



Mungkin ada yang berpendapat kanak-kanak prasekolah terlalu awal untuk memahami erti kemerdekaan. Namun perlu diingat, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Pensyarah Sosiologi Politik, Profesor Dr. Sivamurugan Pandian berkata kanak-kanak perlu diajar asas simbol-simbol kenegaraan seperti lagu Negaraku, Jalur Gemilang, kedudukan perdana menteri, institusi Raja-raja, institusi keagamaan dan lain-lain yang berkaitan.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata penting bagi kanak-kanak memahami nilai-nilai kebangsaan, perlembagaan dan Rukunegara agar mudah membentuk peribadi mereka. Jadi, kelak mereka akan sentiasa menghormati dan mengiktiraf pelbagai lambang kedaulatan negara.

SEMAI SEMANGAT PATRIOTIK

Sivamurugam berkata ada negara yang sememangnya mengajar kanak-kanak pada usia prasekolah.

"Pengisahan kemerdekaan sangat penting. Namun perlu ada kaedah yang sesuai untuk menjelaskannya agar dapat menarik perhatian kanak-kanak, umpamanya menggunakan gambar-gambar sebagai medium pembelajaran.

"Lihatlah Jepun sebagai contoh. Gambar-gambar para pejuang kemerdekaan diletakkan di sekolah-sekolah dan para pelajar dilatih supaya tunduk menghormati para pejuang itu," katanya yang dipilih sebagai ?Ikon Patriotik Bulan Kebangsaan' untuk dua tahun berturut-turut sejak tahun lepas.



Sehubungan itu, Sivamurugan berkata banyak cara boleh dilakukan dalam usaha memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan kanak-kanak umpamanya dengan menjemput watak-watak atau personaliti tertentu yang boleh melakonkan peristiwa-peristiwa berkaitan perkara yang mahu disampaikan.

Bagi memastikan kanak-kanak memahaminya, erti kemerdekaan perlu disampaikan secara kreatif bersesuaian dengan minat mereka.

Beliau menegaskan, usaha-usaha itu tidak boleh sekadar menjadi jadual berkala dalam takwim sahaja, sebaliknya dilakukan secara berterusan.

Guru sewajarnya menjadi ?role model' namun perlu diingat bahawa tugas membentuk generasi akan datang dan membina negara bangsa adalah tanggungjawab bersama segenap lapisan masyarakat.

PROGRAM 'CHARACTER BUILDING'

Tinjauan ke beberapa buah prasekolah di Lembah Kelang mendapati tidak semua yang menjadikan sambutan Hari Kebangsaan sebagai satu daripada program tahunannya. Mungkinkah sambutan itu tidak dianggap penting kerana kanak-kanak itu masih kecil?

Menyedari tanggungjawab terhadap pembangunan modal insan bagi kanak-kanak generasi pasca merdeka, pengetua Q-dees Kindergarten (Q-dees) di Sungai Buloh Golf Resort, Selangor, Nor Hemylia Mohd Nor, 45, berkata tugas di prasekolah bukan sekadar mengajar malah membimbing dan mendidik ke arah membentuk keperibadian dan menyemai nilai-nilai patriotisme.

Saban tahun tadika itu menganjurkan sambutan Hari Kebangsaan dengan pelbagai aktiviti berbeza berdasarkan garis panduan yang disediakan ibu pejabat francais tadika itu.

Nor Hemylia berkata program yang dianjurkan bergantung kepada tema tahunan sambutan dan mesej yang disampaikan merangkumi asas maksud di sebalik sambutan Hari Kebangsaan.

Persediaan selalunya dibuat pada minggu kedua atau ketiga Ogos.

"Tidak sukar melatih kanak-kanak. Mereka mampu menghafal lagu tema Hari Kebangsaan dalam tempoh beberapa hari sahaja. Nyanyian adalah medium yang mudah menarik perhatian kanak-kanak, itulah antara cara untuk memupuk semangat cintakan negara," jelas beliau sambil menyambung bahawa guru-guru kemudiannya akan menjelaskan maksud lagu tema itu.

Nor Hemylia berkata memandangkan kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun, cerita disampaikan secara ringkas dengan kaedah yang menarik dan menggunakan bahasa yang mudah difahami.

"Kami memberi penekanan terhadap usaha membentuk modal insan secara berterusan. Ia antara yang diterapkan dalam program ?character building' serta didikan agama.

"Selain itu, menyemai nilai kecintaan terhadap negara dalam jiwa kanak-kanak adalah penting agar prinsip Rukunegara dapat difahami dan menjadi amalan mereka," jelas beliau.

ANAK WARGA ASING

Bertugas sebagai guru tadika selama 30 tahun memberi pengalaman berbeza setiap tahun bagi Zuriah Ismail, 57 tahun.

Kini mengajar di Tadika Islam Tengku Ampuan Jemaah, sebuah daripada tadika di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sejak 10 tahun lepas, beliau memberitahu bahawa kira-kira 80 peratus daripada kanak-kanaknya adalah berketurunan asing.

Bagaimanapun, tambah beliau nilai-nilai kebangsaan tetap diajar, dipupuk dan diterapkan kerana kanak-kanak itu dilahirkan di negara ini.

Malah, aktiviti pada setiap hari Jumaat merangkumi nyanyian lagu Negaraku, mengenali bendera Malaysia serta ?memperkenalkan' mereka dengan perdana menteri-perdana menteri Malaysia.

"Tapi setakat mana penerimaan mereka terhadap pengajaran mengenai kemerdekaan itu sukar dipastikan terutamanya kerana latar belakang masing-masing yang berbeza.

"Apa yang pasti adalah, bagi mereka, Hari Kebangsaan adalah hari untuk kibarkan bendera, mereka berseronok, menyanyi dan melaungkan 'Merdeka'. Malah ada kanak-kanak yang menyifatkannya macam Hari Raya," kata beliau.

Sementara itu, pengusaha Littlebell Kindergarten (Littlebell) di Damansara Utama, Selangor, Teng Lig Phing, 39, pula berbangga dengan penyertaan kanak-kanak di tadika beliau melaksanakan projek Hari Kebangsaan tahun ini.

Kanak-kanak berusia berusia tiga dan empat tahun membuat kolaj bunga raya daripada kertas kitar semula manakala kanak-kanak berumur lima dan enam tahun 'membina' Menara Kembar Petronas daripada botol-botol air mineral.

Tahun ini merupakan kali pertama Littlebell menganjurkan projek, tetapi setiap tahun tadika berkenaan mengadakan program kesedaran sempena Hari Kebangsaan.

BERNAMA

No comments:

Blog Archive