Tuesday, August 16, 2016

'Sivamurugan Pandian Ikon Patriotik Hari Kebangsaan 2016', Bernama, 12 Ogos 2016

| Nur Syuhada Samsudin
Sivamurugan PandianSivamurugan PandianRutin seorang ibu  S Selammah setiap kali menjelang waktu Maghrib, akan mengarahkan anaknya, Sivamurugan Pandian yang leka bermain bersama rakan-rakan supaya masuk ke rumah, ketika menetap di kawasan perumahan di Tanjung Malim, Perak yang dihuni majoritinya kaum Melayu.
"Bukan sahaja saya, semuanya akan disuruh balik dan diberitahu sudah masuk waktu maghrib. Kalau bukan ibu saya, ibu-ibu bukan berbangsa Melayu lain pun peka dengan waktu itu sebagai isyarat untuk kami berhenti bermain sebagai menghormati jiran-jiran beragama Islam," cerita  Prof Dr Sivamurugan Pandian kepada Bernama.
Beliau yang dilantik sebagai Ikon Patriotik negara sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2016 oleh Jabatan Penerangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, mengimbas kembali betapa akrabnya para penduduk di kawasan itu yang turut dihuni beberapa keluarga India.
"Kami menganggap semuanya sebagai satu keluarga besar. Boleh berkunjung dan bertukar-tukar juadah, boleh masak dodol bersama-sama semasa Hari Raya. Nilai hormat-menghormati antara satu sama lain juga amat kuat," kata pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) itu.
Dibesarkan dalam suasana harmoni seumpama itu dan didikan keluarga yang sentiasa menerapkan nilai-nilai kenegaraan telah mempengaruhi beliau untuk mempunyai semangat patriotisme yang tinggi sejak kanak-kanak.
Mengulas pelantikannya sebagai Ikon Patriotik, Sivamurugan menganggap ia sebagai pengiktirafan besar untuk dirinya yang tidak pernah jemu berjuang untuk negara dengan cara tersendiri, khususnya menerusi buku-buku dan pelbagai artikel mengenai patriotisme dan kenegaraan yang dihasilkan.
Beliau berkata, pemilihannya itu akan menyuntik semangat dan memberi motivasi kepadanya untuk mempertahankan hubungan antara kaum dan etnik di negara ini.
"Saya berharap agar setiap individu dalam mana-mana kelompok masyarakat tidak mengira tua dan muda agar dapat menyemai nilai patrotisme ini supaya ia menunjukkan kita tahu inilah yang akan mempertahankan hak kita sebagai warga Malaysia," katanya.
Beliau akan terlibat dalam pelbagai program yang dirancang oleh Jabatan Penerangan sepanjang bulan kebangsaan selain menjadi jurucakap.
Dalam pada itu, Sivamurugan yang juga seorang daripada penerima tokoh kemerdekaan sempena sambutan Hari Malaysia pada 2009 berkata, semangat nasionalisme harus dipupuk sejak kecil supaya rakyat dapat memastikan nilai kenegaraan itu tidak dikompromi dalam sebarang keadaan sekalipun.
Beliau berpendapat, keluarga merupakan asas penting kepada pembentukan nilai patriotisme, katanya sambil memberitahu mendiang bapanya V. Pandian memasang bendera Malaysia di rumah dan sentiasa menekankan betapa berharganya erti sebuah kemerdekaan.
Beliau berkata, guru-guru juga harus memainkan peranan penting dalam memupuk rasa cinta kepada negara menerusi pelbagai program berkaitan kenegaraan di sekolah-sekolah.
"Bagi menyemarakkan perasaan patriotisme generasi muda, mereka harus digarap dengan nilai penceritaan sejarah negara dan memastikan mereka memahami sepenuhnya Perlembagaan dan Rukun Negara yang menjadi kitab asas negara," katanya.
Sivamurugan berkata generasi muda juga perlu memperhalusi pengisian kemerdekaan itu sendiri supaya mereka memahami kebebasan yang dikecapi hari ini tidak datang dengan mudah.
Beliau turut mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya menjunjung ketinggian Perlembagaan yang menjadi asas kepada generasi merdeka atau pasca merdeka.
"Inilah yang harus menjadi tonggak kekuatan kita kalau kita hendak menamakan diri kita sebagai warga Malaysia yang setia kepada negara," katanya.

No comments:

Blog Archive