Sunday, August 14, 2016

'IKON PATRIOTIK HARI KEBANGSAAN 2016 SERU GENERASI MUDA PERHALUSI ERTI SEBUAH KEMERDEKAAN - SIVAMURUGAN PANDIAN', USM, 14 Ogos 2016


siva
USM, PULAU PINANG, 14 Ogos 2016 - Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Sivamurugan Pandian telah dilantik sebagai Ikon Patriotik sempena Hari Kebangsaan Malaysia kali ke-59 tahun 2016.
Pengiktirafan ini telah diberikan oleh Jabatan Penerangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Mengulas berkaitan pelantikannya ini, Sivamurugan menganggapnya sebagai satu pengiktirafan yang besar bagi dirinya yang tak pernah mengeluh menggunakan caranya yang tersendiri dalam memperjuangkan karya-karya penulisan buku dan pelbagai artikelnya yang menjurus kepada patriotisme untuk negara Malaysia tercinta ini.
"Pelantikan ini sedikit sebanyak menyuntik semangat serta motivasi kepada saya untuk mempertahankan serta mengukuhkan hubungan kaum dan etnik di negara Malaysia ini," jelasnya.

Tambahnya, untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda, mereka perlulah digarap dengan nilai-nilai penceritaan mengenai sejarah negara Malaysia serta memastikan pemahaman berkaitan Perlembagaan dan Rukun Negara menjadi asas kepada pegangan dalam diri mereka dalam aspek ini.
Pun begitu katanya, Sivamurugan juga berharap generasi muda kini perlulah memperhalusi erti dan pengisian tentang kemerdekaan itu sendiri supaya mereka memahami apakah itu kebebasan dan cara mengecapinya bukan datang dengan mudah.
Sivamurugan juga merupakan seorang penganalisis politik yang kadang kala memberi buah pemikiran dan pendapatnya mengenai keadaan politik di negara ini melalui rancangan dan juga berita arus perdana negara.
Anak bongsu daripada 6 beradik ini dibesarkan di Tanjong Malim Perak dalam suasana harmoni serta dididik oleh keluarganya mengenai nilai kenegaraan yang juga telah membuatkannya memiliki ciri dan semangat tinggi patriotisme sejak dari kecil lagi.
Sivamurugan juga akan terlibat dalam program-program yang direncanakan oleh Jabatan Penerangan Malaysia sepanjang bulan kemerdekaan ini selain menjadi jurucakap untuk program tertentu.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

No comments:

Blog Archive