Saturday, June 20, 2015

'MIC Tidak Mampu Selesai Krisis Tanpa Bantuan Orang Tengah', Bernama, 18 Jun 2015

 



KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Krisis dalaman MIC yang semakin meruncing memerlukan campur tangan pihak berkecuali sebagai perantara dalam menyelesaikan kemelut parti politik kaum India itu, menurut pandangan veteran dan penganalisis politik tanah air.

Mereka berpendapat Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan timbalannya Datuk Seri Dr S Subramaniam mendapatkan bantuan orang tengah bagi menyelesaikan masalah parti itu.

Veteran MCA, Datuk Yap Pian Hon berkata MIC perlu mengambil langkah seperti MCA semasa berhadapan dengan krisis parti pada tahun 1980-an dengan memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk membantu parti itu menyelesaikan krisis dalaman mereka.

Beliau berkata krisis MIC ketika ini hampir sama dengan apa yang pernah dialami oleh MCA pada masa itu apabila presiden dan timbalan presiden parti tidak sehaluan.

"Dengan bantuan rundingan daripada BN, MCA kembali bersatu," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau merujuk kepada krisis kepimpinan tertinggi MCA membabitkan Datuk Dr Neo Yee Pan dan Datuk Mak Hoon Kam dengan Tan Koon Swan pada 1985.

Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata MIC tidak perlu dingin terhadap bantuan yang ditawarkan pihak ketiga terutama daripada parti komponen BN yang ingin membantu.

"Hasrat BN nak membantu MIC selesaikan masalah, tetapi jangan sampai niat baik kita disalah tafsir. Terbukti hari ini MIC tidak boleh selesai secara dalaman maka eloklah MIC mencari jalan penyelesaian melalui orang tengah di luar MIC tidak kira bantuan daripada UMNO atau MCA ataupun Gerakan," katanya.

Bagi bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz, beliau berpendapat mana-mana parti komponen BN perlu memberi keutamaan kepada kepentingan parti dan BN.

Beliau berkata jika mana-mana parti dalam BN benar-benar menghadapi kebuntuan dalam menyelesaikan kemelut yang melanda, maka kepimpinan parti itu perlulah mendapatkan nasihat pimpinan tertinggi BN.

"Walau apapun (masalah dalaman berlaku) jangan biarkan perselisihan menggugat parti, memecahbelahkan ahli dan memberi kesan kepada BN. Perkara ini saya merujuk kepada semua komponen BN," katanya.

Semantara itu, penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed dari Universiti Utara Malaysia (UUM), berkata kedua-dua pemimpin tertinggi MIC harus mengetepikan kepentingan peribadi masing-masing dan berkompromi dalam menyelesaikan krisis tersebut.

"Saya yakin mereka sedar, jika mereka tidak duduk semeja dan menyelesaikan krisis ini secara baik, maka MIC akan ditakdirkan gagal dan menjadi tidak relevan," kata dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM itu.

Beliau berkata walaupun krisis MIC bukan sesuatu yang baharu kerana ia juga pernah berlaku semasa kepimpinan sebelum ini, namun Palanivel dilihat seolah-olah mengheret krisis tanpa penyelesaian yang jelas.

Malah, katanya, keputusan mahkamah menolak permohonan Palanivel dan empat yang lain untuk membatalkan arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengadakan pemilihan semula parti itu telah membawa satu perkembangan yang baharu.

BN sebelum ini cuba menghulurkan bantuan dengan menjadi orang tengah untuk menyelesaikan krisis tersebut tetapi pemimpin MIC enggan menerimanya kerana mahu menyelesaikan masalah mereka sendiri.

Seorang lagi penganalisis politik, Porf Madya Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM), mencadangkan pemilihan semula semua jawatan termasuk jawatan presiden dan timbalan presiden merupakan penyelesaian terbaik.

"Pada pendapat saya, cadangan ini akan dapat meletakkan titik noktah dalam krisis ini. Krisis ini tidak harus berlarutan sehingga menjejaskan imejh parti berusia 68 tahun itu," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Blog Archive