Saturday, June 20, 2015

'MIC Perlu Adakan Pemilihan Semula Dan Terus Melangkah', Bernama, 18 Jun 2015

 



Fokus Berita Oleh S Kisho Kumari

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Pergolakan dalaman MIC semakin tidak keruan berikutan beberapa perkembangan termasuk penggantungan keanggotaan timbalan presiden dan 14 yang lain, susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak dua permohonan semakan kehakiman untuk membatalkan arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS) supaya mengadakan pemilihan semula parti itu.

Permohonan tersebut dibuat oleh Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel dan empat individu lain.

Datuk Seri S.K. Devamany, seorang anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) interim 2009-2013 yang diperakui RoS, berkata dengan keputusan mahkamah itu, tiba masanya untuk MIC mengadakan pemilihan semula dan terus melangkah.

"Kami telah terlalu lama terperangkap dalam kemelut ini. Orang ramai tertanya-tanya kedudukan parti ini dan mereka menyangka kami hanya berminat untuk terus berkuasa daripada memikirkan kelangsungan parti yang berusia 70 tahun ini dalam mewakili masyarakat India di Malaysia," katanya.

Beliau memberitahu Bernama bahawa keputusan mahkamah itu mengesahkan semula CWC interim penggal 2009-2013, yang diberikan tanggungjawab oleh RoS supaya mengadakan pemilihan semula bagi menentukan hala tuju parti.

Menegaskan bahawa parti berkenaan hanya akan pulih semula setelah pemilihan baru diadakan, Devamany berkata terdapat keperluan mendesak bagi MIC untuk mengembalikan semula maruah serta mendapatkan penghormatan orang ramai.

"Kesemua permasalahan dalam parti telah mengelirukan orang ramai dan kami sangat malu dengan keadaan ini. Bagaimanapun, kami sedang mencuba sedaya upaya untuk terus bergerak seperti yang diarahkan oleh RoS," tambah beliau.

Selasa lepas, Palanivel menggantung keanggotaan Timbalannya Datuk Seri Dr S Subramaniam dan 14 ahli lain serta-merta selama setahun berikutan kegagalan mereka membatalkan mesyuarat Interim CWC penggal 2009-2013.

Subramaniam telah mengadakan mesyuarat pada hari Isnin setelah Mahkamah Tinggi memutuskan untuk menolak kedua-dua permohonan semakan kehakiman.

Subramaniam menyatakan bahawa Palanivel tidak mempunyai kuasa untuk menggantung beliau dan 14 yang lain, iaitu naib presiden Datuk M. Saravanan, Ketua Wanita Mohana Muniandy dan anggota-anggota CWC iaitu Devamany, N. Rawisandran, Datuk R. Ganesan, Datuk M.Davendran, Datuk K.R.A. Naidu, Datuk V.M. Panjamothy, P. Manivasagam, S. Ananthan, M. Mathuraiveran, Datuk M. Asojan, P. Shanmugan dan K.R. Parthiban.

Pada Selasa, Subramaniam juga telah mempengerusikan satu lagi mesyuarat CWC interim di ibu pejabat MIC walaupun keanggotaan dalam parti mereka telah dilucutkan.

Krisis MIC tercetus berikutan perbezaan pendapat di antara Palanivel dan timbalannya setelah RoS mengeluarkan notis pada 5 Dis yang mengarahkan parti tersebut mengadakan pemilihan baru bagi tiga jawatan Naib Presiden dan 23 anggota CWC.

RoS membatalkan keputusan pemilihan yang diadakan pada November 2013 berikutan aduan berlakunya penyelewengan.

Sementara itu, Prof Madya Dr Sarjit Singh Gill, pensyarah kanan Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan di Universiti Putra Malaysia, berkata segala kekecohan di dalam MIC mendatangkan kesan negatif terhadap masyarakat India dan memberi amaran bahawa pihak pembangkang akan mengambil kesempatan untuk kepentingan politik mereka.

"Saya melihat kesannya daripada aspek politik dan sosio-ekonomi di mana... akhirnya masyarakatlah yang akan rugi. Mereka telah meletakkan kepercayaan terhadap MIC tetapi lihatlah, apa yang berlaku kepada parti ini sekarang," katanya kepada Bernama.

Beliau menegaskan bahawa masyarakat telah menghadapi pelbagai masalah sosio-ekonomi dan sangat memerlukan pemimpin-pemimpin yang jujur serta boleh memahami kesusahan yang dialami sekaligus membantu mereka.

Sarjit berkata memandangkan Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan berhubung perkara berkenaan, kedua-dua pemimpin teratas MIC sepatutnya bertemu untuk membincangkan tindakan selanjutnya.

"Tetapi ia tidak berlaku. Pemimpin-pemimpin tersebut tidak cuba menyelesaikan isu-isu terbabit, malah mencetuskan lebih banyak masalah... Sungguh tidak demokratik," kata beliau.

Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian, pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia pula berkata dua pemimpin utama parti berkenaan sepatutnya menggerakkan sumber-sumber parti dan fokus kepada menyelesaikan isu-isu tertunggak - bukannya saling berebut jawatan tertinggi parti.

Penganalisis politik itu berkata kegagalan parti untuk mencari jalan bagi memulihkan krisis tersebut menunjukkan bahawa ia lebih berminat memendam konflik dalaman dan bukannya untuk terus bergerak.

Beliau mengakui tidak akan terkejut jika kebanyakan pengundi berbangsa India akan mengenepikan MIC dan mengundi parti pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Pada Rabu, Setiausaha Agung Barisan Nasional Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata parti gabungan itu tidak akan masuk campur dalam krisis kepimpinan MIC yang semakin meruncing.

Beliau yang menyatakan kebimbangannya terhadap perkembangan terkini, bagaimanapun percaya parti itu boleh menyelesaikan masalah dalamannya.

-- BERNAMA

No comments:

Blog Archive