Wednesday, April 15, 2015

'Seragam Hitam: Pembangkang Perak Biadab Sejak Turun-temurun - Penganalisis', Awani, 1 April 2015

 

                                                                        
PENGANALISIS: Seragam hitam: Pembangkang Perak biadab sejak turun-temurun - Gambar upsikini.blogspot.com
KUALA LUMPUR: Tindakan biadab semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang Perak yang berpakaian serba hitam pada Istiadat Pembukaan Dewan Undangan Negeri pada Selasa disifatkan sikap turun-temurun mereka sejak dahulu lagi.

Penganalisis politik, Datuk Dr. Zainal Kling berkata, undang-undang pakaian ke sidang DUN harus disemak dan sebarang pelanggaran oleh ADUN berkenaan harus menerima hukuman setimpal.

"Kalau mereka langgar peraturan pakaian tentu perlu diambil tindakan sewajarnya.

"Speaker harus memeriksa kembali undang-undang dan menghalang sesiapa sahaja untuk masuk dewan jika jelas pemakaiannya melanggar undang-undang," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Zainal mengulas situasi di DUN Perak di mana semua anggota DUN pembangkang berpakaian serba hitam pada Istiadat Pembukaan Dewan Undangan Negeri sekali gus menunjukkan sikap biadab dan tidak menghormati institusi Diraja.

Dalam pada itu kata Zainal, pembangkang Perak juga dilihat cuba menunjukkan kebebasan mereka walaupun seharusnya menerima hukuman akibat perbuatan mereka.

"Entah apa kuasa yang hendak mereka tunjukkan, ia tidak memberi sebarang kesan kepada sidang namun membuktikan mereka sengaja mahu dihukum," katanya.

Mengulas isu sama, Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, tindakan pembangkang Perak jelas mengecewakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Tegasnya, kekecewaan itu jelas terbukti daripada titah Sultan Nazrin yang tidak menghadiri sesi bergambar dan majlis santapan.

"Tindakan tersebut melanggar tatacara yang seolah-olah menunjukkan kemarahan ke atas Sultan walaupun mahu menyampaikan mesej yg lain.

"Tindakan Sultan untuk tidak bersantap dengan ADUN menunjukkan tahap kekecewaan baginda ke atas ADUN ini yang mencampur-aduk kepentingan politik dalam segala tindakan mereka," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, pembangkang tidak seharusnya berada di Perak kerana sikap yang tidak menghormati Raja.

"Mereka tidak sedar diri, seharusnya dibuang negeri sahaja pembangkang sebegini.

"Ambil sahaja tindakan kepada mereka yang terlibat. Kasihan apabila seorang sultan diperlakukan sebegitu," ujarnya.

Pada 2009, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V. Sivakumar dan 27 anggota dewan yang terdiri daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS menunjukkan sikap tidak bertamadun dengan menghadiri persidangan dewan di bawah pokok.

Ia sekali gus merupakan satu penghinaan kepada Sultan Perak pada masa itu, Sultan Azlan Shah.

Pada Selasa, sejumlah 26 Adun pembangkang tiba di perkarangan bangunan Perak Darul Ridzuan  secara berkumpulan dengan berpakaian serba hitam.

Difahamkan, tindakan mereka memakai pakaian serba hitam antaranya sebagai tanda protes dan solidariti terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjalani hukuman penjara.

Tindakan protes itu juga sebagai menunjukkan rasa marah atas kenaikan harga barang kini dan penguatkuasaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April.

No comments:

Blog Archive