Wednesday, April 15, 2015

'Perpaduan: Semenanjung Perlu Belajar Dari Sarawak - Dr Siva', Awani, 13 April 2015


 

Perpaduan: Semenanjung perlu belajar dari Sarawak - Dr Siva
DR SIVA: Jadikan Sarawak contoh negeri perpaduan - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Landskap keamanan bangsa di Sarawak dilihat dapat menjadi negeri contoh yang mengekalkan perpaduan serta keharmonian di antara kaum di negara ini.

Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, ia sekali gus harus diikuti negeri-negeri di Semenanjung dalam pelbagai aspek melibatkan isu-isu kaum.

"Sarawak dilihat sebagai contoh negeri yang mengekalkan perpaduan dan keharmonian.

"Kenyataan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem memang asas kukuh yang percaya ia merupakan asas penting dalam meraikan kepelbagaian kaum di negeri itu," katanya kepada Astro AWANI.

Dr Siva mengulas kenyataan Adenan yang menyifatkan rakyat di Sarawak amat bertuah kerana mereka tidak berpecah mengikut kaum, agama dan tradisi.

Jelas Adenan, Semenanjung harus mengikut Sarawak terutama dalam keamanan yang sudah lama dikecapi selain nasihatnya agar tidak mengikuti sesetengah individu di Malaysia Barat yang bertengkar setiap hari.

Dalam pada itu jelas Dr Siva, Sarawak perlu dijadikan asas kepada perpaduan oleh Semenanjung selain memastikan kepercayaan nilai radikal di Semenanjung tidak menular di Sarawak.

"Saya percaya Adenan tidak mahu nilai radikal dan ekstrim yang ketara kebelakangan ini tidak menular di Sarawak.

"Perpaduan di Sarawak juga sudah menjadi benteng dan kubu kukuh sehingga tidak mampu menggugat apa yangg sudah terbina selama ini dari nilai perkongsian, penerimaan, hormat dan faham antara satu etnik dengan yang lain," jelasnya.

Sarawak dikenali dengan gelaran Bumi Kenyalang merupakan negeri yang terbesar di Malaysia.

Sarawak dan Sabah yang terletak di pulau Borneo biasanya digolongkan bersama sebagai Malaysia Timur.

Sarawak mempunyai 11 bahagian keseluruhannya iaitu Kuching, Sri Aman, Sibu, Miri, Limbang, Sarikei, Kapit, Kota Samarahan, Bintulu, Mukah dan Betong.

No comments:

Blog Archive