Tuesday, March 03, 2015

'Tidak Bertanding, Umno Dan BN Lebih Utamakan Rakyat - Penganalisis', Bernama, 28 February 2015

 



Fokus Berita Oleh Nur Aimidiyana Zuher

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Keputusan Barisan Nasional (BN) tidak bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, memperlihatkan komitmen dan keikhlasan kerajaan dalam mengutamakan rakyat.

Bersandarkan hujah untuk memfokus usaha membantu rakyat Kelantan yang terjejas teruk berikutan musibah banjir akhir tahun lalu dan mengutamakan perpaduan ummah, Umno yang secara tradisi bertanding di kerusi itu mengambil pendirian tidak meletak calon.

Suatu tindakan yang dilihat positif oleh banyak pihak termasuk PAS Kelantan, keputusan tidak bertanding pilihan raya kecil itu akan membolehkan kedua-dua parti memberi perhatian kepada usaha pemulihan pasca banjir di negeri Cik Siti Wan Kembang.

Malangnya, pendirian BN, yang ditunjangi UMNO, dipandang negatif segelintir pemimpin lawan yang amat sinis apabila mendakwa keputusan itu mencetuskan gelombang politik baharu yang lebih aman di Malaysia jika UMNO dan BN tidak bertanding pilihan raya.

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berpendapat penglibatan UMNO dalam mana-mana pilihan raya hanya akan mencetuskan suasana perpecahan dan perbalahan, serta mewujudkan padang permainan yang tidak rata.

Mengapa pesimis dengan keputusan BN, sehingga usaha UMNO membantu rakyat Kelantan yang terjejas teruk akibat musibah banjir dan menyatukan ummah diperlekeh? Bukankah ia satu isu kemanusiaan yang perlu ditangani bersama?

Beberapa penganalisis politik berpendapat keputusan BN tidak seharusnya menimbulkan pertikaian dan dicerca.

Lihatlah dengan positif kerana tindakan itu sebenarnya memberi peluang dan masa kepada pemimpin kerajaan persekutuan untuk berbakti kepada rakyat.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata bukanlah sesuatu yang janggal apabila BN tidak meletakkan calon dalam suatu pilihan raya kecil.

"Jika dilihat sebelum ini dalam pilihan raya Bukit Gelugor pada Mei tahun 2014 BN turut mengambil pendekatan yang sama untuk tidak bertanding.

"Malah PAS sendiri pun tidak meletakkan calon di Parlimen Pekan, Pahang semasa ayahanda Datuk Seri Najib Tun Razak, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia," katanya kepada Bernama.

Pada Rabu, Perdana Menteri mengumumkan bahawa BN tidak akan bertanding pada PRK DUN Chempaka untuk memberi fokus kepada kerja-kerja pemulihan pasca banjir di Kelantan, selain memastikan usaha-usaha perpaduan ummah diperkukuhkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pilihan raya kecil Chempaka pada 22 Mac depan manakala penamaan calon 10 Mac. Kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akibat kanser prostat pada 12 Feb lepas.

Penganalisis politik turut berpendapat bahawa biarpun berbeza idealogi politik, ketokohan dan kepimpinan Nik Aziz, yang merupakan Mursyidul Am PAS, adalah satu kehilangan besar seorang pemimpin Islam yang dihormati.

Najib turut menyifatkan negara kehilangan seorang pemimpin dan ilmuwan Islam yang telah banyak berjasa dengan pemergian Nik Aziz ke rahmatullah.

Ahmad Atory berpandangan keputusan BN untuk tidak bertanding di DUN Chempaka ibarat satu penghormatan kepada Allahyarham Nik Aziz, yang merupakan wakil rakyat DUN Chempaka sejak 1990.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lepas, Nik Aziz (PAS) menewaskan calon BN, Wan Razman Wan Abd Razak dengan majoriti 6,500 undi.

Banyak pihak melihat langkah UMNO tidak bertanding membuktikan sikap hormat UMNO kepada PAS. Ia juga satu petanda baik mengekalkan keharmonian lanskap politik di Kelantan, yang ditadbir PAS.

Ahmad Atory berkata komitmen kerajaan pusat untuk meneruskan kerja-kerja pemulihan pasca banjir ini tidak boleh dilihat bertujuan meraih sokongan rakyat Kelantan, sebaliknya ia adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan dan negeri bekerjasama memastikan kebajikan rakyat Kelantan dibela.

"Adalah lebih baik bagi kerajaan persekutuan iaitu BN menumpukan kepada kerja-kerja pemulihan pasca banjir untuk mengelakkan perasaan 'serba salah' jika BN bertanding dalam PRK DUN Chempaka kerana ia akan menjejaskan kerja-kerja pasca banjir," katanya.

Senada dengan Ahmad Atory, pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan di Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata secara strategik, ia merupakan keputusan tepat bagi mengelakkan gangguan kepada jawatankuasa bersama mengatasi masalah banjir di Kelantan.

"Jawatankuasa banjir ini merupakan permulaan asas melibatkan kerjasama antara PAS dan Umno yang sanggup mengetepikan perbezaan idealogi politik demi memberi manafaat kepada rakyat," katanya.

Mengakui keputusan BN untuk tidak bertanding dalam PRK DUN Chempaka menimbulkan pelbagai tanggapan dan perasaan kurang senang di kalangan pemimpin serta penyokong BN bahkan parti lawan, Sivamurugan berkata ia adalah keputusan bersama demi kesejahteraan rakyat Kelantan.

"Sudah menjadi lumrah biasa dalam politik pasti ada 'cakap-cakap belakang' kononya Umno dan BN tidak bertanding kerana bimbang tidak mendapat sokongan rakyat Kelantan, itu adalah golongan yang kecewa dan tidak mahu melihat kesepakatan antara PAS dan Umno.

"Tidak timbul soal takut untuk bertanding di kawasan lawan (pembangkang) tetapi BN dan Umno merasakan kepentingan rakyat perlu didahulukan daripada soal politik," katanya.

Jawatankuasa Bersama Menangani Pasca Banjir bagi memulihkan semula kehidupan rakyat di negeri ini yang terjejas teruk akibat banjir diwujudkan tahun lepas. Ia dipengerusikan bersama Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan.

-- BERNAMA

No comments:

Blog Archive