Wednesday, March 04, 2015

'Heret ROS Ke Mahkamah Tidak Selesaikan Krisis MIC - Pemerhati Politik', Bernama, 4 Mac 2015

 




Oleh S. Kisho Kumari

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Meskipun MIC berhak mengheret Pendaftar Pertubuhan (ROS) ke mahkamah berhubung arahan kepada parti supaya mengadakan pemilihan semula, tindakan undang-undang itu tidak mungkin dapat menyelesaikan sepenuhnya krisis dalaman parti itu, demikian menurut pemerhati politik.

Pada hakikatnya, mereka menyifatkan kes mahkamah itu sebagai satu lagi episod buruk, yang akan hanya menyebabkan perseteruan antara Presiden Datuk Seri G. Palanivel dengan timbalannya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, dan penyokong masing-masing berlanjutan.

Prof Madya Dr Sarjit Singh Gill, pensyarah kanan Jabatan Sains Sosial dan Pembangunan di Universiti Putra Malaysia, berkata memandangkan hal berkenaan kini dibawa ke mahkamah, usaha MIC untuk memberi nafas baharu kepada parti dan menumpukan tumpuan kepada isu-isu nasional dan masyarakat akan tertangguh.

"Ia akan hanya mewujudkan keadaan lebih tidak menentu kepada parti," katanya.

PEMILIHAN SEMULA TERJEJAS

Meskipun Sarjit Singh yakin parti itu akan dapat mengadakan pemilihan semula parti sebelum Julai tahun ini, beliau meragui proses itu akan berjalan lancar memandangkan perbezaan pendapat yang wujud antara kedua-dua pemimpin utama parti.

Pada 24 Feb, Palanivel, dua naib presiden Datuk S. Sothinathan dan Datuk S. Balakrishnan, dan bekas setiausaha agung MIC A. Prakash Rao memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan arahan ROS berhubung pemilihan semula beberapa jawatan utama parti.

Sehari sebelumnya, anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) A. K. Ramalingam juga memohon semakan kehakiman bagi mengarahkan ROS dan Ketua Pengarahnya, Mohammad Razin Abdullah, supaya menarik balik arahan pemilihan semula parti yang diberikan kepada MIC.

"Mereka boleh membawa isu ini ke mahkamah. Itu hak mereka tetapi saya yakin ROS telah mengkaji implikasi undang-undang dan tidak semudah itu mereka mempertaruhkan reputasi mereka.

"Apabila sesuatu perkara itu diheret ke mahkamah, maka semua pihak perlu menunggu keputusan mahkamah," kata Sarjit Singh kepada BERNAMA.

Bekas Setiausaha Agung MIC dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat D.P. Vijandran, yang juga seorang peguam, berpendapat bahawa MIC boleh meneruskan pemilihan semula parti, walaupun kes mahkamah belum selesai, dengan syarat bahawa "ia telah mengambil langkah-langkah yang betul dan berunding dengan penasihat undang-undang".

"Para pemimpin parti (yang mahu pemilihan semula diadakan) perlu melakukannya dalam batasan perlembagaan MIC. Satu lagi perkara, wujud persoalan sama ada RoS diberi kuasa untuk melakukan apa yang telah dilakukannya (mengarahkan MIC untuk mengadakan pemilihan baharu).

"Malahan jika mahkamah memutuskan bahawa ROS tidak mempunyai kuasa (mengarahkan pemilihan semula diadakan), masih terdapat tanda tanya mengenai kesahihan pemilihan MIC pada 2013 dan kes mahkamah tidak akan menyelesaikan perkara ini," katanya, dan menambah kata bahawa permohonan semakan kehakiman hanya memohon untuk mentafsir sama ada ROS mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan pemilihan semula parti kepada MIC atau tidak.

KRISIS BERLARUTAN

Krisis MIC semakin bergejolak berikutan perbezaan pendapat antara dua pemimpin utama parti setelah Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengeluarkan satu notis pada 5 Dis lepas mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula bagi tiga jawatan Naib Presiden dan 23 jawatan anggota CWC.

ROS telah membatalkan semua pemilihan parti yang diadakan pada November 2013 berikutan aduan berlaku penyelewengan.

Pada 18 Feb, Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak, timbalan pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menemui Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan timbalannya Datuk Seri Dr S. Subramaniam bagi menyelesaikan krisis parti.

Menurut Tengku Adnan, pada mesyuarat itu telah dipersetujui bahawa MIC akan mengadakan pemilihan semula parti dan ia akan menggunakan senarai CWC 2009 bagi tujuan mengadakan pemilihan semula parti seperti yang diarahkan oleh ROS.

Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian, seorang pensyarah kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, bersetuju dengan pandangan bahawa kes mahkamah hanya akan menyebabkan krisis MIC berlarutan, melainkan mahkamah menolak kedua-dua permohonan semakan kehakiman berkenaan.

Beliau berkata semakin lama krisis itu berlanjutan, semakin rumit bagi pemimpin parti untuk memberi tumpuan kepada keperluan dan permintaan masyarakat berkenaan.

"Nampak gayanya ia sudah bertukar menjadi sebuah kisah yang tiada berkesudahan dan mencemarkan imej parti. Bahkan keputusan Perdana Menteri dan timbalannya tidak dihormati. Ia turut menimbulkan persoalan tentang integriti dan keabsahan politik," katanya.

Sarjit Singh bersetuju bahawa MIC akan berdepan dengan lebih banyak masalah sekiranya krisis berkenaan dibiarkan membarah.

"MIC mungkin berhadapan kesukaran untuk menarik golongan muda India bekerjasama dengan parti atau menyertai sebagai ahli kerana mereka kini mempunyai perspektif berbeza berikutan apa yang berlaku dalam parti itu," katanya.

Menggesa para pemimpin parti untuk mengetepikan perbezaan pendapat dan mengadakan pemilihan baharu, beliau berkata mereka perlu mara ke hadapan dan merangka satu pelan tindakan pembangunan mengenai masyarakat India.

"Setakat ini, saya tidak melihat apa-apa rancangan... sebagai seorang ahli akademik, saya mahu melihat fakta dan angka.

"Masyarakat India, khususnya mereka di kawasan luar bandar dan penuntut universiti terkesan dengan krisis MIC yang berlanjutan. Parti ini perlu mendekati mereka," katanya.

--BERNAMA

No comments:

Blog Archive