Friday, February 27, 2015

'Taksub Berpolitik, Gugat Amalan Berkongsi Antara Kaum - Penganalisis', Bernama, 27 Februari 2015


 



Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Ketaksuban berpolitik dan sikap tidak sensitif segelintir pihak di negara ini sedikit sebanyak menggugat konsep perkongsian yang sekian lama dipupuk dalam masyarakat, demikian menurut beberapa penganalisis.

Pensyarah kanan Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia Dr Mohd Ainuddin Iskandar Lee Abdullah berkata bagi mengatasi perkara itu, semua pihak perlu berpegang kepada konsep wasatiyyah atau kesederhanaan dalam berpolitik meskipun berbeza haluan.

"Tuntutan dan cabaran semasa pada hari ini berkait rapat dengan kepentingan politik dan isu-isu sensitif yang sengaja dibangkitkan oleh segelintir pihak.

"Perkara ini perlu diberi perhatian dalam konteks menjaga sensitiviti kepelbagaian etnik di negara ini supaya nilai perkongsian itu terus mekar dan melestarikannya dengan baik," katanya kepada Bernama.

PERKONGSIAN KUASA DAN EKONOMI

Pada 12 Feb lepas, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ceramahnya bertajuk 'The Malaysian Dilemma' antara lain menyebut bahawa perkongsian kuasa dan ekonomi antara semua kaum adalah formula terbaik bagi Malaysia melangkah ke arah mencapai status negara maju menjelang 2020.

Katanya rakyat Malaysia perlu terus mempraktikkan semangat sedia berkongsi kerana semangat yang dipupuk sekian lama itu mampu menjadikan Malaysia berjaya dan makmur.

Namun, yang menjadi dilema rakyat Malaysia kini ialah sama ada mereka perlu terus berkongsi kuasa politik dan ekonomi berikutan kejayaan yang dicapai.

"Kalau mahu berkongsi orang Melayu perlu melepaskan sebahagian kuasa politik dan orang Cina pula perlu melepaskan sebahagian kuasa ekonomi. Sebab itu, negara ini tidak pernah dikuasai satu kaum sahaja. Malaysia dikuasai ketiga-tiga kaum majoriti. Kalau kita bersetuju kepada perkongsian, maka ini cara terbaik untuk negara ini," tegas Dr Mahathir dalam satu forum anjuran badan bukan kerajaan, Centre For A Better Tomorrow di ibu negara baru-baru ini.

Tidak menolak pendapat bekas perdana menteri itu, Mohd Ainuddin berkata persoalan yang timbul ialah sejauh mana masyarakat Cina bersedia untuk menyerahkan kuasa ekonomi mereka, berbanding pengorbanan kuasa politik yang telah diberikan oleh orang Melayu.

Katanya soal penyerahan hak ketuanan Melayu dan legasi ekonomi Cina merupakan perkara yang perlu diteliti dan dikaji dalam pelbagai dimensi kerana ia memberi implikasi besar dalam soal survival politik dan ekonomi Malaysia.

"Formula sedia ada dalam politik Barisan Nasional (BN) sudah memadai... tidak dinafikan dahulu UMNO pernah menyerahkan kerusi kepada MCA dalam perkiraan jumlah pengundi mahupun jawatan dalam kabinet, dan UMNO sebenarnya memberi lebih kerusi dengan mengambil kira semangat setiakawan dalam BN.

"Persoalannya, pernahkah penguasaan ekonomi dalam rantaian bekalan perniagaan Cina diserahkan kepada orang Melayu? Era liberalisasi zaman Tun (Dr Mahathir) banyak melahirkan golongan orang kaya baharu dalam komuniti taikun Cina hasil daripada peluang yang diberikan kerajaan pada masa itu," katanya.

Tindakan tersebut secara tidak langsung membuktikan pengorbanan besar dan tahap toleransi yang tinggi kaum Melayu terhadap rakan-rakan bukan Melayu.

"Sekiranya masyarakat Cina bersedia 'melepaskan' penguasaan dalam sektor-sektor dominan tertentu kepada orang Melayu, benteng perkongsian dapat dileraikan ke arah pemupukan sebuah masyarakat Malaysia yang lebih dinamik, progresif dan maju," kata Mohd Ainuddin.

KELANGSUNGAN DEB

Apa sebenarnya yang wajar dikongsi dalam memupuk toleransi antara kaum?

Menjawab persoalan itu, Mohd Ainuddin yang juga pensyarah bidang hubungan etnik berkata ramai pihak tidak menyedari bahawa sejarah toleransi yang wujud antara kaum telah tersemai sejak era ambang kemerdekaan, yang dikenali sebagai era permuafakatan politik.

Katanya pembangunan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebenarnya memperlihatkan nilai perkongsian ekonomi yang cukup tinggi kepada rakyat dan membawa impak positif daripada sudut politik mahupun ekonomi negara.

"Pada era DEB kerajaan membantu masyarakat Melayu dengan menaik taraf hidup mereka melalui penubuhan FELDA, FELCRA serta rancangan pembangunan yang lain. Golongan bukan Melayu pula menerima limpahan kemakmuran DEB melalui pembukaan kawasan-kawasan baharu oleh kontraktor bukan Melayu termasuklah penyediaan peralatan, membuat jalan, memasang tali air dan pelbagai lagi perkhidmatan.

"Perkongsian era DEB memberi manfaat kepada semua pihak dan kewujudan masyarakat Melayu kelas menengah dalam bidang-bidang profesional berupaya menandingi kumpulan profesional bukan Melayu," katanya.

Berpendapat perkongsian ilmu dan kepakaran antara etnik penting bagi tujuan merapatkan jurang ekonomi antara kaum, Mohd Ainuddin berkata ia boleh membawa kepada kesamaan dalam soal pencapaian terutamanya dalam bidang profesional.

SEDIA BERKOMPROMI

Mengulas perkara sama, pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan di Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata semua pihak perlu memainkan peranan di samping memahami konsep kompromi dan sedia berkorban.

"Perkongsian akan membolehkan kita bergerak bersama ke hadapan namun ia harus dilakukan dengan jujur dan ikhlas tanpa ada sifat prasangka buruk demi mencari titik keseimbangan antara orang Melayu dan bukan Melayu.

"Dalam konteks masyarakat majmuk, kita harus memahami bahawa ada batasan tertentu ke atas apa yang boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan, berlandaskan prinsip hormat-menghormati antara satu sama lain," katanya.

Beliau berpandangan bahawa dengan memahami dan mematuhi batasan tertentu, ia akan membawa kepada titik penyatuan kaum.

Menyentuh golongan berpendirian sederhana yang lebih selesa berdiam diri berbanding berkongsi pendapat dan pendirian mereka bagi mengimbangi pandangan golongan taksub berpolitik, Sivamurugan berkata mereka harus melakukan perubahan dan bertindak seiring dengan keperluan semasa.

"Hakikatnya, tindakan berdiam diri akan membuatkan golongan taksub berpolitik merasakan mereka bebas berbuat apa sahaja. Justeru, suara-suara sederhana harus keluar dan bergerak bersama untuk memastikan tiada agenda golongan taksub politik mengganggu-gugat apa yang terbina selama ini," katanya.

PERANAN MEDIA SOSIAL

Dalam zaman teknologi maklumat masa kini, Mohd Ainuddin berkata pengaruh dan kuasa media sosial hendaklah dimanfaatkan sebagai platform untuk memakmurkan konsep perkongsian.

Selain pandangan dan komentar yang dikongsi di media sosial dilontar secara berhemah dan tidak beremosi sehingga mengenepikan fakta, ia juga perlu menolak unsur-unsur yang mendorong kepada perpecahan kaum dan ketidakstabilan politik.

"Ada pihak menyalahgunakan media sosial termasuklah menjadikan ia sebagai gelanggang melepaskan emosi tanpa memikirkan akibatnya kepada masyarakat.

"Selain itu, pandangan dan komentar yang dilontarkan tanpa memihak kepada etnik tertentu secara tidak langsung boleh menyumbang kepada keserasian kaum dan membawa aura positif terhadap perkembangan sosio-politik mahupun ekonomi negara," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Blog Archive