Saturday, February 14, 2015

'Kenyataan Demi Kenyataan Tidak Bantu Selesai Krisis, Penganalisis', Bernama, 14 Februari 2015

 



KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Lebih dua minggu sudah berlalu sejak Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel mengumumkan bahawa beliau dan timbalannya Datuk Seri Dr S. Subramaniam akan "berdiam diri" bagi mewujudkan "suatu tempoh bukan dalam keadaan krisis" bagi menyelesaikan kemelut parti.

Bagaimanapun, melihat kepada kenyataan demi kenyataan yang kerap dikeluarkan beberapa pemimpin parti, ternyata jangka waktu berkenaan bukanlah "suatu tempoh bukan dalam keadaan krisis" yang dihasratkan kedua-dua pemimpin utama MIC.

Apatah lagi bila ada kenyataan terkini melibatkan pertukaran dan pelantikan baharu pemegang jawatan parti.

Moratorium yang dimaksudkan Palanivel sebagaimana kenyataannya pada 29 Jan lepas, sebenarnya adalah peluang terbaik bagi beliau menyelesaikan isu-isu berbangkit bersama timbalannya. Namun, adalah tidak begitu jelas sama ada Palanivel dan Subramaniam sudah bertemu atau pun tidak untuk berbincang bagi menyelesaikan krisis parti.

KURANG KOMUNIKASI

Pemerhati dan penganalisis politik Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata hakikat bahawa kedua-dua pemimpin berkenaan mengeluarkan kenyataan masing-masing tanpa berunding antara satu sama lain menunjukkan bahawa kurangnya komunikasi antara mereka berdua.

"Sebenarnya masalah kurang komunikasi inilah yang menjadi punca krisis parti," katanya kepada Bernama.

Sivamurugan, yang merupakan pensyarah kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan di Universiti Sains Malaysia, berkata kedua-dua pemimpin berkenaan sepatutnya berkomunikasi secara bersemuka dan bukannya berterusan mengeluarkan kenyataan.

Beliau menggesa kepimpinan parti itu supaya fokus kepada arahan Kementerian Dalam Negeri dan Pendaftar Pertubuhan (RoS) terkini, yang bertarikh 9 Feb, untuk mengadakan pemilihan semula parti bagi semua jawatan.

"Kenyataan adalah penting untuk memaklumkan perkembangan terkini kepada semua orang tetapi dengan secara berterusan mengumumkan perubahan dalam parti akan menimbulkan kekeliruan dan kekecewaan di kalangan anggota parti," katanya.

Pada Isnin, Palanivel dalam satu kenyataan berkata beliau telah melantik anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Sementara Datuk S. Sothinathan, sebagai Setiausaha Agung parti.

Semalam, Palanivel mengeluarkan kenyataan bahawa selaku Presiden MIC beliau mempunyai hak tunggal dan prerogatif mutlak untuk melantik setiausaha agung parti, bendahari agung dan pegawai penerangan seperti mana peruntukan Perkara 46.5 dan 49 Perlembagaan MIC.

Beliau juga berkata bahawa notis mesyuarat tergempar CWC Sementara MIC yang kononya diadakan hari ini adalah "menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah," dan tindakannya itu telah menimbulkan kemarahan pemimpin dan anggota parti.

SUKAR MENGIKUTI PERKEMBANGAN

"Pemerhati MIC tertanya-tanya mengapa parti ini sukar untuk menguruskan masalahnya dengan teratur," kata Sivamurugan, dan menambah kata bahawa melakukan terlalu banyak perubahan dalam tempoh singkat boleh menyebabkan kekeliruan kepada anggota parti, kecualilah kalau perubahan yang dilakukan itu merupakan sebahagian daripada strategi atau suatu kaedah untuk memberi nafas baharu parti.

"Walaupun parti berhadapan krisis, ia sekurang-kurangnya harus menyampaikan tanggapan bahawa ia masih berfungsi, untuk mengelakkan masyarakat India daripada mempunyai persepsi 'kekurangan perwakilan'."

Sivamurugan menggesa CWC Sementara supaya segera mengadakan pertemuan dan memutuskan bagaimana untuk mengadakan pemilihan semula dengan lancar.

Sementara itu, wartawan yang membuat liputan perkembangan MIC turut mengalami kesukaran untuk mengikuti setiap perubahan dalam parti.

Seorang wartawan, yang enggan dikenali, berkata: "Kadang-kadang, adalah sukar bagi kami untuk mengikuti perkembangan dengan tepat berhubung siapa yang memegang jawatan apa kerana ia berubah setiap masa."

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini berkata parti berusia 68 tahun itu perlu mengadakan pemilihan semula bagi semua jawatan bermula April hingga Julai bagi mengelak pembatalan pendaftaran parti.

Krisis dalaman MIC tercetus selepas RoS membatalkan pemilihan bagi jawatan tiga naib presiden dan 23 anggota CWC dalam perhimpunan agung MIC di Melaka pada November 2013, berikutan aduan berlakunya perkara yang melanggar peraturan parti.

Dalam surat bertarikh 5 Dis 2014, RoS mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula bagi jawatan berkenaan dalam tempoh 90 hari.

-- BERNAMA

No comments:

Blog Archive