Thursday, March 27, 2014

'Kenapa PKR Gagal Hilangkan Deposit Calon BN?', Free Malaysia Today, 27 Mac 2014

 

 | March 27, 2014 FMT
Dalam mana-mana PRK, bukan mudah untuk menghilangkan wang deposit (calon lawan)
ANALYSIS
Chew Mei FunPETALING JAYA:  Kejayaan PKR dalam pilihan raya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang sudah dijangkakan namun kegagalan mereka untuk meningkatkan majoriti undi menarik perhatian ramai pihak.
Walaupun calon yang diletakkan PKR ialah presidennya sendiri iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, namun kemenangan mereka ini tidak besar mana ertinya kerana undi kaum Cina, walaupun hanya sekitar 7%, telah kembali kepada Barisan Nasional (BN) – MCA.
Apatah lagi, Lee Chin Cheh, penyandang jawatan ADUN Kajang yang melepaskan jawatan pada 27 Jan lalu, memenangi kerusi tersebut dalam Pilihan Raya Umum-13 (PRU13) Mei lalu dengan majoriti 6,824 undi, jumlah yang agak besar jika difikirkan apabila dia menang dalam pertandingan enam penjuru ketika itu,
Untuk rekod, Wan Azizah terpaksa dipertaruhkan PKR setelah penasihat parti tersebut Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan untuk bertanding ekoran didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac kerana didapati meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008 lalu dan dikenakan hukuman penjara lima tahun.
Chin Cheh melepaskan jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar dalam strategi yang digelar ‘Langkah Kajang’ yang direncanakan oleh pengarah strategi parti, Rafizi Ramli.
Langkah Kajang itu, jelas Rafizi, merupakan usaha untuk mengukuhkan pentadbiran parti dalam negeri terkaya di Malaysia tersebut dan untuk menjadikannya batu loncatan Pakatan Rakyat (PR) ke Putrajaya, selain daripada usaha menangkis isu perkauman dan agama yang didakwa dimainkan oleh Umno dan sekutunya bagi melemahkan pentadbiran PR di Selangor.
Langkah Kajang ini juga dikatakan bertujuan untuk menggantikan tempat Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Anwar, kerana dikatakan sering membelakangi parti dalam membuat keputusan. Malahan Anwar sendiri memberi bayangan perkara itu akan terjadi.
Walaupun menerima tamparan besar apabila Anwar hilang kelayakan untuk bertanding, namun jika dihitung hari dari tarikh perletakkan jawatan Chin Cheh dan hari pengundian PRK Kajang Ahad lalu, ianya merupakan satu tempoh yang lama, 54 hari sebenarnya.
PKR pula sejak awal-awal lagi sudah mendekati rakyat Kajang melalui program-program mereka disana untuk menjustifikasikan ‘Langkah Kajang’ itu.
Dalam kempen mereka di Kajang, PKR menyeru supaya pengundi Kajang memilih calon mereka, malahan turut menyeru semua pengundi untuk menghilangkan deposit pertaruhan calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun dari MCA.
Bagaimanapun, PKR gagal berbuat demikian, dan tidak dapat dinafikan Mei Fun sedikit-sebanyak berjaya memberikan tentangan yang baik, apatah lagi jika difikirkan partinya kini hanya mempunyai tujuh kerusi parlimen dan 11 kerusi DUN di seluruh negara!
Keputusan PRK Kajang baru-baru ini menyaksikan Wan Azizah menang dengan 5,379 undi apabila meraih 16,741 undi manakala lawannya, Mei Fun pula meraih 11,362 undi
Wan Azizah dan PKR juga harus diberikan pujian. Disaat Umno mendabik dada bahawa orang Melayu masih bersama mereka dan BN, PRK Kajang kali ini menunjukkan bahawa perkara itu bukanlah satu realiti, setidak-tidaknya di Kajang.
Malah, undi orang muda kepada PKR di Kajang juga berjaya dipertingkatkan. Jika trend ini berterusan, mungkin ia dapat diterjemahkan dalam PRU yang akan datang.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata walaupun gagal menghilangkan deposit pertaruhan calon BN, PKR masih mampu berbangga kerana sokongan dari semua kaum masih kuat kepada PKR, terutamanya dari orang muda.
“Saya rasa trend sebenarnya yang lebih penting untuk kita amati ialah pengundi muda sebab merekalah penentu dalam PRU yang akan datang,” katanya apabila dihubungi FMT.
Sementara itu, penganalisis politik  Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata banyak perkara yang menyumbangkan kepada kegagalan PKR menghilangkan deposit pertaruhan Mei Fun itu seperti pertukaran calon mereka sendiri di samping keputusan BN meletakkan calon yang disifatkannya berbeza.
“Jika kita perhatikan dalam mana-mana PRK, bukan mudah untuk menghilangkan wang deposit (calon lawan) jadi tak tahu kenapa mereka war-warkan sebegitu,” katanya.
Namun, Sivamurugan berpendapat peningkatan undi orang muda kepada PKR dalam PRK Kajang baru-baru ini tidak boleh dijadikan penanda aras bagi kejayaan di masa depan.
“Kesetiaan parti pengundi muda tidak seperti pengundi-pengundi lama dimana mereka setia kepada satu parti. Pengundi muda lebih melihat kepada isu,” jelasnya.

No comments:

Blog Archive