Monday, March 10, 2014

Antara Personaliti Dan Parti, Yang Mana Jadi Pilihan?, Bernama, 10 Mac 2014

 

Fokus Berita Oleh Mohd Hisham Abdul Rafar dan S Kisho Kumari

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Ibarat siri drama, pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini adalah satu episod yang menarik perhatian banyak pihak, untuk mengetahui apakah kesudahan ceritanya dan siapakah yang akan dinobatkan menjadi wakil rakyat.

Seperti drama atau filem, umumnya pelakon utama dan skrip memainkan peranan penting untuk menjadikannya satu tayangan yang menjadi tarikan, begitulah perihal pilihan raya kecil yang penuh dramatik ini.

Drama permainan politik dalam pilihan raya kecil DUN Kajang ini, yang bermula dengan kejutan berikutan peletakan jawatan oleh wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebenarnya menjurus kepada personaliti individu yang menjadi calon pilihan raya dan parti politik yang diwakilinya.

Sehingga disahkan pencalonan pada 11 Mac, pemerhati politik dan pengundi di Kajang umumnya sudah mengetahui bahawa pelakon utama atau calon dalam pilihan raya kecil ini bukan calang-calang orang iaitu Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mewakili PKR.

Barisan Nasional (BN), yang akan turun sebagai parti bukan pilihan, diwakili Datuk Paduka Chew Mei Fun daripada MCA.

Selain Chew dan Anwar, pilihan raya kecil ini juga menarik perhatian bekas presiden Parti Kesejahteraan Insan (KITA) Datuk Seri Zaid Ibrahim serta bekas rakan karib Anwar, Senator Datuk S Nallakarupan dan juga bekas pembantu peguam bela ketua pembangkang Yuktes Vijay yang menawarkan diri bertanding sebagai calon bebas.

Maka antara personaliti berkenaan, siapakah yang bakal menjadi pilihan pengundi Kajang?

Penganalisis politik Che Hamdan Che Mohd Razali berkata dalam pilihan raya, personaliti seseorang calon mampu memberikan impak yang besar sesuai dengan peranannya, selain didokong oleh manifesto dan parti yang diwakilinya.

Mengambil contoh Kelantan pada pilihan raya umum 2004, beliau yang juga pensyarah kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Terengganu berkata PAS hampir kalah di negeri itu memandangkan personaliti calon yang diketengahkan parti ketika itu tidak digemari rakyat.

"Namun, ada sesetengah tempat, faktor personaliti tidak memainkan peranan penting tetapi ada juga tempat yang mementingkan personaliti. Semua bergantung kepada sentimen di kawasan itu," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Selain personaliti, adakah jenama parti mampu memberi nilai tambah kepada seseorang calon dalam meningkatkan sokongan?

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata dalam menentukan arah sokongan, pengundi juga menitikberatkan jenama parti yang bertanding dalam sesuatu pilihan raya.

Mengambil contoh DUN Kajang, beliau berkata kawasan itu dilabelkan sebagai kawasan PKR dan BN diramal sukar menang di situ dengan bacaan peluang semasa adalah 50-50.

"Untuk menyaingi Pakatan Rakyat, BN perlu bekerja kuat... namun untuk menang, amat sukar saya ramalkan. Pun begitu, pemilihan calon BN daripada MCA Datin Paduka Chew Mei Fun adalah tepat dan terpulang kepada pengundi Kajang sama ada memilih PKR atau BN," katanya.

Beliau berkata jika 15 peratus daripada jumlah 15,823 pengundi Cina di DUN Kajang itu memihak kepada MCA, bermakna parti itu masih menerima sokongan meskipun tewas.

"Setakat ini, menurut bacaan saya, pengundi Cina di Kajang masih belum mengalih sokongan mereka kepada MCA dan mereka masih lagi mempertimbangkan," katanya.

Sementara itu, Panel Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) Dr Zulkanain Abdul Rahman berpendapat calon BN daripada MCA itu berupaya memberi saingan.

"Saya yakin bakal calon itu nanti berupaya untuk menambahkan bilangan undi bagi BN atau sekurang-kurangnya mengurangkan majoriti... 'that is good enough' (itu sudah cukup baik)," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Lebih-lebih lagi, ini adalah pilihan raya kecil pertama di bawah kepimpinan baharu MCA, diketuai Datuk Seri Liow Tiong Lai, yang boleh dijadikan sebagai kayu ukur sokongan masyarakat terutamanya pengundi Cina kepada BN.

Sependapat dengan Zulkanain, penganalisis politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata calon BN perlu memberi keyakinan kepada penduduk Kajang bahawa kepimpinan baharu MCA berupaya memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat.

"Kalau tidak dapat menang, sekurang-kurangnya mengurangkan majoriti. Mereka perlu fokus kepada isu-isu tempatan yang masih tidak diselesaikan sehingga kini," katanya.

Bagaimana pula dengan strategi yang perlu digunakan oleh BN bagi mendekati hati pengundi-pengundi Kajang?

"Kita harus ingat, sebenarnya kebanyakan pengundi Kajang terdiri daripada golongan professional," katanya.

Zulkanain menjelaskan pengundi-pengundi Kajang semakin matang dan bijak dalam membuat pemilihan wakil rakyat yang dirasakan dapat membawa perubahan positif terutamanya daripada segi pembangunan dan taraf hidup.

Selain itu, katanya perhatian serius perlu diberikan kepada isu-isu tempatan di Kajang seperti isu pemilikan tanah, sampah sarap, kesesakan lalu lintas, air, kehadiran warga asing di rumah-rumah urut, masalah tempat letak kereta dan keselamatan.

"BN perlu 'show off' kali ini... sekurang-kurangnya sebelum hari penamaan calon pada 11 Mac ini, kalau kedua-dua perkara ini diberikan perhatian, saya yakin BN boleh beri satu saingan sengit dalam PRK Kajang ini," kata beliau.

Kerusi DUN Kajang kosong selepas penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR meletak jawatan pada 27 Jan lepas bagi memberi laluan kepada Anwar, yang juga Ketua Umum PKR, bertanding di kerusi itu.

Pada pilihan raya umum lepas, Lee menang dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru melibatkan BN, Berjasa dan tiga calon bebas.

Pengundi di Kajang, yang menjadi juri hakim, pastinya boleh menilai ketokohan personaliti dan jenama parti untuk memilih siapa yang bakal menjadi 'Yang Berhormat' mereka.

-- BERNAMA  

No comments:

Blog Archive