Monday, February 10, 2014

'Wakil Rakyat Letak Jawatan Sesuka Hati Patut Didenda RM1 Juta, Diharamkan Pegang Jawatan - Pakar', Bernama, 6 Februari 2014


KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Seseorang wakil rakyat yang mengosongkan kerusinya tanpa sebab munasabah, perlu didenda sekurang-kurangnya RM1 juta, diwajibkan menanggung kos untuk mengadakan pilihan raya kecil dan disekat daripada memegang jawatan awam seumur hidup, kata penganalisis politik Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.

Beliau berkata sejajar dengan itu, undang-undang negeri dan persekutuan perlu dipinda untuk mengenakan hukuman lebih berat bagi mencegah penyalahgunaan proses demokrasi dan pembaziran wang pembayar cukai.

Hukuman sedia ada yang memperuntukkan larangan daripada bertanding dalam mana-mana pilihan raya selama lima tahun adalah tidak memadai dan hukuman lebih berat perlu diperkenalkan bagi mencegah perbuatan itu, katanya kepada Bernama hari ini.

Dekan Pusat Pengajian Kajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia itu berkata demikian apabila diminta mengulas peletakan jawatan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang Lee Chin Cheh pada 27 Jan yang memerlukan satu pilihan raya kecil diadakan.

Tindakan wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dikritik hebat oleh banyak pihak, termasuk anggota parti pembangkang, yang menyifatkan perbuatannya sebagai mengkhianati mandat rakyat.

"Peruntukan undang-undang persekutuan dan negeri sedia ada perlu dipinda, dengan menyenaraikan faktor seperti kesihatan, muflis, disabitkan kesalahan terhadap pertuduhan jenayah dan kesalahan berkaitan dengannya, sebagai sebab yang sah bagi membolehkan seseorang wakil rakyat meletak jawatan.

"Jika tidak, Anggota Parlimen atau Adun yang tidak bertanggungjawab ini patut dikenakan hukuman dalam bentuk penalti kewangan atau diharamkan daripada memegang jawatan awam seumur hidupnya kerana mereka telah menyalahgunakan dana awam dan mempermainkan amanah rakyat melalui tindakan mereka yang hanya mementingkan diri sendiri," kata ahli akademik itu.

Menurut beliau, mereka juga perlu diwajibkan menanggung kos mengadakan pilihan raya kecil kerana pilihan raya yang terpaksa diadakan secara mengejut boleh membebankan rakyat.

Sebagai contoh, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menyediakan kira-kira RM1.6 juta untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK) Kajang.

Pada 2008, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail mengosongkan kerusi parlimen Permatang Pauh untuk memberi ruang kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi "Yang Berhormat", melalui pilihan raya kecil yang menelan belanja RM1.5 juta.

Tahun lepas, SPR membelanjakan kira-kira RM700,000 bagi mengadakan PRK Kuala Besut pada 24 Julai dan RM1.1 juta untuk PRK Sungai Limau pada 4 Nov.

Oleh kerana Kajang adalah kawasan bandar dan kadar sewa bagi semua kemudahanan adalah tinggi, maka pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menganggarkan PRK bagi kawasan N9 Kajang memerlukan perbelanjaan kira-kira RM1.6 juta.

Semalam, SPR menetapkan 23 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRK dewan undangan negeri Kajang, manakala penamaan calon ialah pada 11 Mac.

Azizuddin berkata undang-undang sedia ada dengan jelas tidak komprehensif kerana ia tidak memperuntukkan penalti terhadap wakil rakyat yang meletak jawatan tanpa sebab munasabah.

Menurut Perkara 68 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, seseorang anggota dewan undangan negeri boleh melepaskan kerusinya dengan menandatangani surat yang dialamatkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri itu.

Di bawah undang-undang sedia ada, seperti Perlembagaan Persekutuan (Perkara 48(6)) dan peruntukan dalam perlembagaan negeri (seperti Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri - Perkara 64(5)), seseorang yang meletak jawatan sebagai anggota Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri, akan hilang kelayakan untuk menjadi anggota Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri sesebuah negeri selama lima tahun, mulai tarikh berkuat kuasanya peletakan jawatan beliau.

"Oleh itu, pindaan amat perlu dibuat terhadap perlembagaan persekutuan dan negeri untuk menghalang Anggota Parlimen atau Adun daripada meletak jawatan dengan sesuka hati atau tanpa sebab munasabah dan diwajibkan bertanggungjawab terhadap tindakan itu.

"Ini juga akan menjadikan sesebuah parti lebih berhati-hati dalam memilih calon pada masa akan datang," kata Azizuddin sambil menegaskan bahawa masanya sudah tiba bagi kerajaan untuk mengambil langkah sewajarnya dengan mencadangkan pindaan dibuat terhadap Akta Pilihan Raya 1958.

Ketika menyuarakan pandangan serupa, penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian mencadangkan agar SPR menyediakan garis panduan dengan menyebut isu kesihatan sebagai alasan yang membolehkan seseorang Anggota Parlimen atau Adun mengosongkan kerusinya.

"Seseorang Anggota Parlimen boleh mengosongkan kerusinya sekiranya mempunyai sijil daripada doktor yang menyatakan beliau menghidap penyakit atau masalah kesihatan yang kritikal seperti kanser, penyakit yang boleh membawa maut, lumpuh (hilang upaya untuk menggunakan kaki atau tangan) dan lain-lain," katanya.

Profesor madya dari Universiti Sains Malaysia (USM) ini juga mencadangkan agar mahkamah khas bagi membicarakan kes pilihan raya ditubuhkan untuk mengambil tindakan undang-undang, termasuk menjatuhi hukuman penjara, terhadap wakil rakyat terbabit sebagai pengajaran kepada orang lain.

"Saya berpendapat sudah tiba masanya perbincangan umum diadakan tentang isu ini dan kemudian cadangan mengenainya dikemukakan kepada SPR. Pihak SPR perlu mendapatkan maklum balas daripada orang ramai, sama ada majoriti daripada mereka bersetuju dengan pindaan yang dicadangkan ini," katanya.

Sivamurugan juga mencadangkan agar SPR menimbang untuk membenarkan calon yang memperoleh jumlah undi kedua terbanyak, menggantikan wakil rakyat yang meletak jawatan tanpa sebab yang sah.

Sementara itu, bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah menjelaskan bahawa Perkara 68 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor memberi hak kepada mana-mana pemegang jawatan awam untuk melepaskan jawatan lebih awal, tanpa perlu menyatakan sebab beliau berbuat demikian.

"Sebagai contoh, seseorang itu boleh dilantik menyandang sesuatu jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong, atau Sultan atau malah, Menteri Besar. Penyandang jawatan ini, boleh pada bila-bila masa, mengosongkan kerusinya. Itu adalah haknya dan beliau tidak boleh dipaksa berkhidmat hingga tamat tempohnya," kata beliau.

Beliau berkata kadang-kadang, seseorang Anggota Parlimen atau Adun meletak jawatan kerana sebab yang termasuk dalam Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan seperti berfikiran tidak waras, muflis dan jawatan yang disandangnya boleh meraih keuntungan.

"Secara automatik, beliau hilang kelayakan dan perlu mengosongkan kerusinya sekiranya beliau disabitkan sesuatu kesalahan serta dihukum penjara selama tidak kurang setahun atau didenda tidak kurang RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan atau secara sukarela mendapatkan taraf kerakyatan negara lain," katanya.

Ditanya sama ada Perlembagaan perlu dipinda untuk mewajibkan seseorang Anggota Parlimen atau Adun memberi sebab kenapa beliau meletak jawatan lebih awal, Mohd Noor berkata:

"Perkara ini melibatkan dasar. Tapi, di sisi undang-undang, peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan memberi hak kepada pemegang sesuatu jawatan untuk meletak jawatan, tanpa perlu menyatakan sebab beliau berbuat demikian."

Bulan lepas, Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang mencadangkan hukuman denda RM100,000 dikenakan terhadap Adun dan RM200,000 terhadap Anggota Parlimen yang meletak jawatan, kecuali atas sebab penyakit atau alasan lain yang menyebabkan mereka tidak dapat menunaikan tugas masing-masing.

-- BERNAMA

No comments:

Blog Archive