Monday, February 10, 2014

'Kerana Mulut Badan Binasa', Malaysian Digest, 7 Februari 2014

PEPATAH ada mengatakan, ‘Terlajak perahu boleh ditarik, terlajak kata buruk padahnya.’ Bagi seseorang ahli politik, pepatah ini memang amat berguna dalam memastikan keberkesanan mereka di arena politik negara.
Sebagai rakyat Malaysia, kita amat ‘beruntung’ kerana kerap menyaksikan ragam-ragam ahli politik tempatan yang tersilap menutur kata. Perbuatan mereka ini seolah-olah mewarnai lagi dunia politik tempatan.
Namun, dalam kita menyaksikan kesilapan ahli-ahli politik ini menyampaikan mesej mereka, apa yang lebih menonjol ialah respon mereka dalam menangani kesilapan teknikal mereka itu. Jika tersilap langkah, ‘damage control’ yang sepatutnya dipraktikkan mungkin boleh memburukkan lagi keadaan.
Komen Disalaherti
Terbaru, fenomena ‘kangkung’ telah menjadi bualan hangat di kalangan rakyat Malaysia, terutamanya di laman sosial Facebook dan Twitter. Isu ‘kangkung’ ini berpunca daripada komen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam salah satu ucapannya yang diberinya.
Kenyataan ‘kangkung’ Najib itu telah dikritik hebat pelbagai pihak sehinggakan ia dijadikan sumber lawak jenaka di Facebook dan Twitter. Jika anda perhatikan diYouTube, ucapan ‘kangkung’ Najib telah diberi nafas baru apabila ia digubah menjadi sebuah lagu ‘auto tune’.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pernah tampil di laman Twitter milik beliau dan cuba ‘membela’ kenyataan ‘kangkung’ Najib. Beliau berkata, “Tak perlu kecoh tentang kangkung. Najib bagi contoh bukan semua benda naik harga. Ada yang naik sebab faktor cuaca dan lain-lain. Rasional sedikitlah.”
Namun, kisah ‘kangkung’ ini bukan satu-satunya contoh di luar sana. Terdapat banyak lagi kesilapan yang dilakukan oleh ahli-ahli politik tempatan lain.ANTARA kenyataan yang dilihat tidak rasional/Pic:kongsiblogspotANTARA kenyataan yang dilihat tidak rasional/Pic:kongsiblogspot
Contohnya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek pernah berkata, “Jika harga ayam mahal, jangan makan ayam”.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar pula pernah berkata, pengguna jalan raya boleh memilih untuk menggunakan jalan biasa lain sekiranya menganggap kenaikan tol terlalu tinggi. “Bagi mereka yang fikirkan ia terlalu mahal, mereka ada pilihan untuk tidak gunakan jalan tersebut.”
Tidak kurang hebat panahan daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Ku Mansor yang berkata, “Jangan beli rumah kalau harga rumah naik.”
Jika difikirkan, mungkin kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri-menteri tersebut mempunyai sebab yang tersendiri. Mungkin ianya bertujuan untuk membidas pihak lain ataupun berlawak jenaka. Tetapi malangnya, tidak semua yang memahami maksud sebenar komen-komen sebegitu dikeluarkan.
Akibatnya, kenyataan mereka ini menjadi kutukan sehinggakan ada yang menjadikan komen-komen ini sebagai koleksi lagu telefon bimbit.
Cara Tangani
Persoalannya, apakah mekanisme yang efektif untuk menangani masalah menteri ‘terlepas cakap’? Siapa yang bertanggunjawab membuat ‘damage control’ dan apa yang boleh dilakukan untuk ‘cover line’?
Penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berpendapat sistem komunikasi kerajaan yang tidak mempunyai jurucakap menyebabkan kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri sentiasa diputar belit dan dilihat tidak berkesan.ATORY:Pegawai yang telah diamanahkan itu tidak membuat kerja… dan tidak menjalankan ‘homework’ yang cukup!/Pic:www.sinarharian.com.myATORY:Pegawai yang telah diamanahkan itu tidak membuat kerja… dan tidak menjalankan ‘homework’ yang cukup!/Pic:www.sinarharian.com.my
Beliau tidak menolak bahawa senario  kenyataan dan saluran maklumat yang dibekalkan oleh menteri-menteri kini sebagai satu yang tidak efisen kerana maklumat itu terus dikemukakan oleh menteri berkenaan.
“Jika dilihat di luar negara, mereka ada jurucakap peribadi yang boleh mewakili menteri untuk menyatakan maklumat dan ini boleh mengelakkan berlakunya kesilapan menteri memberikan info.
“Ada sesetengah daripada mereka tidak mempunyai skil komunikasi yang berkesan. Namun, keprihatinan semua pegawai dan pemimpin kerajaan perlu dipertingkatkan dalam menyampaikan maklumat. Jangan sewenang-wenangnya melontarkan pendapat,” jelasnya kepada penulis.
Pegawai Tidak Buat Kerja
Setiap ucapan dan keterangan yang dikemukan oleh para menteri akan dianggap naïf dan tidak intelektual sekiranya kata-kata tersebut jelas hanya dilontarkan mengikut emosi atau hanya berdasarkan teks tanpa dikaji kesahihannya terlebih dahulu.
Ahmad mengulas kenyataan tersebut dengan menyelar pegawai yang dipertanggungjawabkan untuk menyediakan kenyataan dan keterangan kepada menteri  tersebut sebagai seorang yang tidak membuat kerja dengan baik.
“Pegawai yang telah diamanahkan itu tidak membuat kerja… dan tidak menjalankan ‘homework’ yang cukup!
“Pada hemah saya, setiap pegawai-pegawai kerajaan dan para penasihat perlu berhati-hati ketika memberikan nasihat samada kepada menteri mahupun Perdana Menteri sendiri,” tegasnya kepada mD.
Pandangan Perlu Berasas
Beliau ketika dihubungi juga menyarankan agar setiap maklumat yang disediakan kepada menteri-menteri perlulah dikaji terlebih dahulu dan sentiasa disemak berulang kali.
“Dalam isu kangkung misalnya, kemungkinan besar perkara tersebut hanyalah suatu kesalahan yang tidak disengajakan kerana beliau (PM) juga adalah manusia biasa.
“Pegawai yang dipertanggunjawabkan perlu tampil untuk mengemukakan kenyataan yang sebenar walaupun kenyataan tersebut mungkin akan menampakkan kelemahan dan kecuaian mereka. Ini adalah untuk mengelak daripada maksud yang disalahtafsir,” ujarnya.
Selain itu, Ahmad berpendapat sebelum memberi dan menyiar maklumat, pastikan segalanya tepat dan pandangan yang diutarakan hendaklah berdasarkan fakta ataupun angka (figure) yang tepat. Ini merupakan tugas pegawai yang terlibat dan kecuaian akan hanya mengakibatkan pemberi ucapan kelihatan ‘kurang bijak’.
Latihan Media Wajar
Menurut sebuah portal, menteri-menteri Kabinet disarankan untuk menghadiri latihan media bagi mengelakkan sebarang kenyataan mereka dipersendakan.
Penganalisis politik Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian melihat perkara tersebut sebagai suatu usulan yang rasional dalam memastikan komunikasi yang disampaikan oleh setiap menteri dilihat sebagai bijak dan mudah difahami oleh semua pihak.
 SIVAMURUGAN:Mereka perlu berhati-hati dengan kenyataan yang dikemukan agar ia tidak diputar belit dan diprovokasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab./Pic:Malaysian Insider SIVAMURUGAN:Mereka perlu berhati-hati dengan kenyataan yang dikemukan agar ia tidak diputar belit dan diprovokasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab./Pic:Malaysian Insider“Cadangan tersebut boleh diterima dan digalakkan dalam usaha menambahkan lagi kemahiran para menteri dalam menyalurkan maklumat dan berkomunikasi dengan pelbagai pihak.
“Ini membolehkan mereka bersedia dalam apa jua kemungkinan dan memberikan mereka skil menjawab soalan tanpa menggunakan emosi,” katanya.
Tambahnya, usaha mendapatkan latihan media bukan suatu yang akan menampakkan kelemahan pucuk pimpinan kita namun sebaliknya dilihat sebagai proses untuk mengemaskan diri dalam menghadapi sebarangan ‘serangan’ daripada pihak yang berkepentingan.
Kawal Emosi, Elak Provokasi
Sivamurugan juga berkata ahli politik perlu menjauhkan diri daripada masalah yang tidak sepatutnya. Mereka perlu berhati-hati dengan kenyataan yang dikemukan agar ia tidak diputar belit dan diprovokasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
 “Pegawai yang ditugaskan perlu membekal maklumat yang cukup, tepat dan jelas agar tidak membawa kesan negatif dan tidak meletakkan menteri dalam keadaan keadaan yang difensif.
“Menteri itu sendiri juga perlu memberi jawapan dengan ikhlas dan boleh diterima oleh semua golongan. Konsep ‘terjerat diri’ sendiri akan terjadi andai kata kenyataan yang diutarakan itu dimanipulasikan,” tambahnya.
Maklumat dan Soalan Tidak Ditapis?
Sivamurugan tidak menolak kemungkinan pegawai yang ditugaskan untuk menyiapkan ucapan dan membekalkan maklumat tidak menyemak dan menapis segala informasi yang ingin disampaikan oleh menteri tersebut.
“Maklumat yang diberikan tanpa ditapis isi kandungan akan menyebabkan kekeliruan. Soalan yang diberi juga perlu difikirkan dengan teliti sebelum dijawab.
“Apabila menteri terlepas cakap, pihak lain akan melihatnya dalam persepsi yang berbeza dan tidak secara menyeluruh,” katanya yang turut memberi contoh isu ‘kangkung’ yang dianggap telah dimanipulasi oleh pelbagai pihak.
Beliau mencadangkan agar semua menteri membuat persiapan yang rapi sebelum tampil memberi ucapan di khalayak ramai.
‘Diserang Hendap’
Sementara itu kenyataan daripada seorang penganalisis politik yang enggan dikenali berkata, ramai menteri kerap panik apabila ‘diserang hendap’ dengan pelbagai soalan.
Cara yang terbaik ialah setiap soalan itu dijawab dengan tenang dan tidak secara tergopoh-gapah.
“Menteri akan berdepan dengan pelbagai soalan terutamanya apabila mereka perlu menjawab sesuatu isu yang hangat. Mungkin kerana itu berlaku sedikit salah faham dan keterlanjuran kata.
“Cara yang terbaik adalah: setiap sidang media yang ingin dihadiri hendaklah diberikan perancangan yang teliti supaya dapat menyiapkan diri apabila terpaksa berhadapan dengan situasi yang tegang,” katanya.
Imuniti Ahli Parlimen
Setiap ahli parlimen diberi perlindungan untuk berucap di Dewan Rakyat di bawah Artikel 63 Perlembagaan Persekutuan. Namun, ini bukanlah sesuatu yang bersifat mutlak sebaliknya mempunyai sekatan yang tertentu.
Merujuk kepada maksud sekatan tersebut, terdapat empat perkara yang tidak dibenarkan iaitu hak istimewa orang Melayu, Artikel 152 mengenai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Artikel 181 tentang raja-raja Melayu dan keempat, perkara yang tergolong kepada definisi hasutan menurut Akta Hasutan 1948.
Jika seseorang Ahli Parlimen menyentuh soal Artikel 153, 152, 181 dan hasutan di bawah Akta Hasutan, mereka boleh dikenakan tindakan mahkamah atas perbuatan mereka itu di Parlimen.

No comments:

Blog Archive