Thursday, August 15, 2019

'Gara-gara Zakir Naik, PH goyah?', Sinar Harian@15 Ogos 2019


 


SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini tegas menyatakan pendirian bahawa Malaysia tidak akan tunduk dengan desakan India supaya mengekstradisi warganya yang juga penceramah terkenal, Dr Zakir Naik bagi berdepan dengan tuduhan jenayah.
Namun, selepas program pidato Zakir di Stadium Sultan Muhammad VI di Kota Bharu pada 9 Ogos lalu yang dihadiri oleh 70,000 orang, polemik baharu muncul selepas ucapannya yang menyentuh masyarakat beragama Hindu di Malaysia mendapat kecaman pelbagai pihak.
Antara menteri Kabinet yang menyatakan pendirian itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Kelantangan menteri-menteri itu serta pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang lain dalam isu Zakir pasti memberi tamparan besar kepada Dr Mahathir yang tegas dengan pendiriannya sebelum ini.
Selain itu, ia juga menggambarkan tiada konsensus dalam kalangan pemimpin PH apabila membicarakan isu yang sama, sekaligus menunjukkan kegoyahan pakatan tersebut.
Mengulas mengenai situasi perbezaan pendapat ini, penganalisis politik, Dr Jeniri Amir berkata, sekiranya isu ini berlanjutan, ia akan menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan PH.“Ia sekaligus memberi imej yang buruk terhadap kepimpinan PH selain boleh mencetuskan pertelagahan dan konflik kerana ini suatu isu yang besar,” katanya kepada Sinar Harian.
Sehubungan itu, Jeniri berpendapat, Dr Mahathir perlu membuat penjelasan secara tertutup mengenai tindakannya mempertahankan Zakir kepada pemimpin-pemimpin PH sekaligus mengelakkan sebarang percanggahan pendapat.
“Lebih elok sekiranya Perdana Menteri memberikan penjelasan dan justifikasi secara tertutup tentang alasan Zakir perlu dipertahankan agar pemimpin-pemimpin PH betul-betul faham mengapa tindakan menghantar pulang penceramah bebas itu tidak boleh dilaksanakan," katanya.

Pandangan sama turut dikongsi seorang lagi penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian.
Menurut Sivamurugan, pemimpin parti komponen PH perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan
Menurut Sivamurugan, pemimpin parti komponen PH perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan terutamanya melibatkan isu sensitif supaya tidak berlaku ketirisan sokongan rakyat terhadap mereka.
“Bila hendak keluarkan kenyataan haruslah diperhalusi terlebih dahulu bagi mengelak ia bercanggah.
“Jadi saya berasakan percanggahan pendapat (antara pemimpin PH) perlu dikurangkan jika ingin memastikan kestabilan politik dalam kerajaan,” katanya.Jelasnya lagi, setiap pemimpin dalam kerajaan perlu sedar dan tahu batas apabila ingin mengeluarkan kenyataan khususnya melibatkan pendirian kerajaan.
“Sebagai contoh, kita sedar bantahan beberapa menteri Kabinet terhadap Dr Mahathir dalam isu melibatkan Zakir adalah untuk memberi keyakinan kepada seluruh masyarakat bukan Melayu.
“Tetapi dalam masa yang sama, mereka (menteri Kabinet) perlu sedar bahawa sekarang ini rakyat sedang menilai dan ia boleh memberi kesan negatif kepada kerajaan,” katanya.
Justeru, beliau berpandangan adalah lebih baik sesuatu perkara terutamanya melibatkan isu sensitif dibincangkan secara bersama dan elakkan daripada mengeluarkan kenyataan umum jika ada percanggahan pendapat.

Bagaimanapun, pandangan berlainan dilontarkan pensyarah kanan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali yang berkata, perbezaan pendapat antara pemimpin PH dalam isu Zakir tidak menjejaskan keutuhan PH.
Hal ini kerana, katanya, pendirian beberapa pimpinan itu lebih bersifat individu dan bukannya mewakili parti secara rasmi.
“Mereka yang tidak bersetuju ini hanyalah individu-individu tertentu. Maka saya percaya perbezaan ini boleh diselesaikan secara dalaman.
“Sekiranya parti sendiri membuat keputusan rasmi yang bertentangan dengan Perdana Menteri, maka itu serius. Tetapi setakat ini kritikan pemimpin dilihat lebih bersifat individu dan bukan mewakili parti,” katanya.
Namun, beliau tidak menafikan situasi perbezaan pendapat ini boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap PH.
“Situasi ini menunjukkan bahawa masih ada beberapa pemimpin yang tidak ada semangat berkumpulan. Ia boleh menjejaskan imej kerajaan kerana rakyat melihat dalam kerajaan sendiri ada pendapat yang tidak konsisten.
“Tetapi ini sebenarnya satu proses penyesuaian dalam kerajaan apabila mereka cuba mencari persamaan. Jika diikutkan, Perdana Menteri dalam banyak perkara telah membuat keputusan secara konsensus,” katanya.


No comments:

Blog Archive