SHAH ALAM - Pertandingan tujuh penjuru melibatkan calon Presiden Umno membuka lembaran baharu dalam sirah riwayat Umno selepas keputusan PRU14 yang kurang memberangsangkan.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, perebutan jawatan selepas PRU14 amat penting bagi Umno untuk menunjukkan adanya perubahan kepimpinan yang komited selaras dengan perubahan landskap politik arus perdana.
"Walaupun ia menunjukkan keterbukaan, namun bukan kuantiti yang diutamakan, tetapi pemilihan calon yang berwibawa, sifat orang Umno dan bukan sekadar menjadi ahli Umno, tetapi juga berkredibiliti tinggi, reputasi dihormati di dalam dan luar parti, serta boleh mengangkat Umno dalam konteks gelanggang politik yang sudah berubah," katanya kepada Sinar Harian.
Sivamurugan berkata, tujuh calon presiden dilhat membuka luas gelanggang pertandingan atas nama demokrasi.
"Perwakilan mungkin sudah ada pilihan. Perpecahan undi boleh berlaku jika undian secara blok berlaku," katanya.
Meskipun calon datang dari pelbagai latar belakang, beliau berkata, tanggungjawab besar menanti mereka jika diberi amanah oleh perwakilan memegang jawatan tertinggi itu untuk membina semula parti.
"Ada calon yang tidak pernah memenangi pilihan raya atau bertanding dalam pemilihan sebelum ini dan ada pula calon yang sudah diuji banyak kali. Kepelbagaian latar wujud, tetapi tanggungjawab selepas menang amat besar untuk membina semula parti.
"Justeru, perwakilan tidak boleh lagi mengundi atas sentimen, tetapi undi atas prinsip perjuangan parti. Tujuh calon (memang) meriahkan pemilihan, tetapi adakah bilangan ramai yang dimahukan atau mencari yang terbaik dalam kalangan terbaik?," katanya.
Menurutnya, adalah penting untuk memastikan pertandingan itu berlaku secara sihat untuk merapatkan semula barisan parti selepas 30 Jun ini.
"(Calon) yang kalah perlu boleh terus mainkan peranan jika perjuangan adalah berasaskan kepada parti kerana pasca pemilihan amat kritikal untuk membina semula kepercayaan yang terhakis dalam PRU14," katanya.