Thursday, July 20, 2017

'PH Perlu Anwar Untuk Kekal Dalam Pentas Politik Negara - Dr Sivamurugan', Awani 501, 20 Julai 2017

PH perlu Anwar untuk kekal dalam pentas politik negara - Dr Sivamurugan

PH perlu Anwar untuk kekal dalam pentas politik negara - Dr Sivamurugan
DR SIVAMURUGAN: PH masih memerlukan khidmat Anwar untuk memastikan sokongan rakyat terutama golongan reformasi kekal dalam arus politik perdana negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) masih memerlukan khidmat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan sokongan rakyat terutama golongan reformasi kekal dalam arus politik perdana negara.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Sivamurugan Pandian bagaimanapun berkata, PH perlu menerangkan dengan lebih jelas perbezaan fungsi ketua umum, pengerusi dan presiden gabungan itu.

Jelasnya terdapat pertembungan personaliti dalam ketiga-tiga jawatan di dalam PH itu yang menimbulkan kegusaran rakyat.

“Kedudukan ketua umum masih lagi untuk membuat keputusan dan berikan arahan, manakala pengerusi berfungsi untuk menetapkan, mencari platform atau landasan bagi perjalanan perbincangan, diskusi serta sumbang saran dalam PH.

“Presiden pula memainkan peranan dalam melaksanakan serta menggerakkan perjalanan PH. Kita juga harus melihat kedudukan dewan presiden, iaitu badan tertinggi dalam PH, di mana ketuanya ialah Datuk Seri Wan Azizah.
“Baru-baru ini wujud dilema tentang mengapakah mesyuarat dipengerusikan oleh pengerusi dan bukan oleh presiden di bawah dewan presiden yang berperanan sebagai dewan harian atau yang menentukan perjalanan harian PH itu sendiri. Dalam konteks ini, jika tidak wujud penjelasan yg lebih jitu dan meyakinkan maka akan wujudlah persepsi secara berterusan ke atas PH,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


 Pada Rabu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, beliau tidak melihat berlakunya kekeliruan jawatan-jawatan tertinggi dalam PH.

Jelasnya, setiap jawatan ada peranan masing-masing yang akan diputuskan melalui perlembagaan parti tidak lama lagi.
 
Dalam pada itu, jelas Dr Sivamurugan, jawatan ketua umum pernah diwujudkan ketika Anwar ditahan pada 1998.

“Kita harus melihat sejarah peruntukan jawatan ketua umum yang dibuat ketika Anwar ditahan pada 1998 di mana ketika itu sukar untuk membuat keputusan rasmi, maka jawatan itu dilahirkan supaya beliau masih boleh membuat keputusan dan memberi arahan kepada Wan Azizah.

“Saluran yang dibuat (ketua umum) memastikan tiada keputusan dibuat tanpa persetujuan daripada Anwar jadi ia usaha untuk memujuk golongan reformasi untuk terus menyokong walaupun dengan kehadiran Dr Mahathir sebagai pengerusi PH.

“Saya percaya keyakinan bergantung kepada bagaimana mereka boleh melahirkan kepercayaan ke atas struktur baharu ini memandangkan wujudnya tiga jawatan yang berbeza seolah-olah akan melahirkan pertembungan dalam konteks menentukan keputusan,” tegasnya.

Tambahnya, setiap personaliti yang memegang jawatan tertinggi di dalam PH mempunyai penyokong masing-masing yang perlu diyakinkan selain langkah pembentukan ideologi politik baharu atau berasaskan politik berdasarkan personaliti.

“Jika personaliti itu yang diutamakan, maka akan runtuhlah pembentukan ideologi politik baharu yang akan menyukarkan proses untuk melahirkan keyakinan secara berterusan yang akan beri impak kepada PH,” ujarnya.

Sebelum ini Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Salleh Said Keruak berkata, PH cuba menyembunyikan fakta daripada rakyat Malaysia bahawa DAP, yang mempunyai kerusi terbanyak di Parlimen dalam kalangan parti gabungan pembangkang itu, sebenarnya yang menentukan siapa bakal Perdana Menteri.

Tegasnya, walaupun pakatan itu mencadangkan Anwar menjadi Perdana Menteri berikutnya tetapi dalam realiti politik, jawatan itu akan diputuskan oleh parti yang mempunyai paling banyak kerusi di Parlimen.

Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad sebelum ini turut berkata, dakwaan Dr Mahathir bahawa beliau adalah 'top dog' pihak pembangkang dan setaraf perdana menteri adalah tidak benar kerana beliau sebenarnya sekadar boneka dalam barisan kepimpinan baharu PH.

Tegasnya, Pengerusi DAP Lim Kit Siang sebenarnya yang menjadi ketua pakatan pembangkang tetapi beliau tidak ditonjolkan dalam carta kepimpinan gabungan PH.

No comments:

Blog Archive