Pendekatan baharu diperkenalkan untuk merealisasikan pembentukan gagasan besar TN50 ini. Di peringkat awal diadakan dialog dengan kumpulan sasar; khusus­nya generasi muda sebagai ­modal insan yang akan memeta dan membawa lonjakan dalam ketamadunan baharu Malaysia.
Pelbagai kaedah dan pendekatan dirancang untuk memastikan transformasi nasional ‘untuk rakyat dari rakyat’ berpaksikan amalan ‘bottom-up’ dilaksanakan. Ini sesuai dengan perubahan landskap negara dari konteks demografi dan geografinya. Hakikatnya, bicara town-hall ini amat signifikan bagi menggarap mindset, keperluan dan kemahuan setiap warga Malaysia ini.
Matlamatnya apabila kita ­me­langkah masuk ke tahun 2020; TN sudah tersergam untuk diimplementasi berpandukan kehendak dan persetujuan majoriti yang akan dan telah memberi sumbangan maklumat, pandangan dan idea untuk turut serta dalam perwatakan TN50 ini.
Cabaran kepada sekretariat ada­lah mendekati pelbagai kumpulan kerana masing-masing ada kepentingan dan pandangan berbeza, seterusnya mencari formula menang-menang supaya semua­nya merasai nilai kepunyaan (ownership) dan pemilikan (belonging). Ujian adalah untuk turut menerima teguran dan kritikan tetapi jika membina, rasional dan praktikal; saya percaya ia akan diberi pertimbangan yang sewajarnya.
Dari sekecil kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas serta kumpulan pelajar, mahasiswa, keluarga, anak, guru, pensyarah, nelayan, petani, pekerja awam, jururawat, wartawan, pengamal media, peguam, pelayan, pramugara, pekebun, doktor, pembersih sanitasi, pekerja swasta dan lain-lain pekerja am, staf sokongan, profesional, ­masing-masing ada tanggungjawab ke atas pembinaan negara-bangsa TN50 ini atas matlamat TN50 adalah untuk kita bersama.
Harus diingatkan Wawasan 2020 dicipta pada 1991 mengikut acuan yang dirasakan sesuai untuk pencapaian tahun 2020 mengikut trend kebanyakan negara maju dunia pertama tatkala itu. Hakikatnya, antara sumbang­an besar Wawasan 2020 adalah membina kelas pertengahan yang ­semakin membesar berbanding kelas bawahan. Dilemanya adalah kelas pertengahan tersepit di tengah-tengah. Maka, perancangan efisien harus mengambil kira soal ‘sejahtera’ untuk melengkapkan elemen aman dan sentosa.
Masyarakat semakin materia­listik dan individualistik. Bagaimana TN50 akan pastikan wujud hubungan saling melengkapi an­tara kesemua kelas masyarakat ini agar jurang mengecil dan garis kemiskinan juga bersesuaian de­ngan keadaan semasa? Kita juga harus melihat dalam konteks satu gagasan besar agar kesemua ne­geri termasuk Sabah dan Sarawak menikmati limpahan kekayaan negara sepenuhnya supaya soal tidak ada jalan, elektrik, air memencil; dan soal maruah diri, masyarakat dan negara membesar. Nilai inovasi TN50 akan melengkapkan nilai kecekapan untuk menggapai kejayaan.
Kita tidak boleh bandingkan dengan Jepun dan Amerika hari ini tetapi mempunyai ‘imaginasi komuniti’ yang mahu dizahirkan pada tahun 2050 mengikut acuan sendiri secara rasional dan praktikal. Jika KDNK Malaysia diramal menjadi berkali ganda menjelang tahun 2050 ­berbanding 1990 dan 2020; kini rakyat Malaysia harus menjadi enam kali ganda sejahtera dan mapan pada tahun 2050. Tanggapan bahawa ‘satu saiz untuk semua’ mesti dihentikan kerana setiap kumpulan sasar mempunyai latar berbeza dan kelonggaran dalam pelaksanaan sesuatu da­sar perlu demi menjamin hasil yang memberangsangkan.
Cabaran perlu mengambil kira perubahan teknologi dan budaya serta yang lain jika mahu berada pada kedudukan yang baik ter­utama dengan anjakan berpusat kepada inovasi. Ia boleh menjadi cabaran jika ideologi politik tidak diberikan keutamaan berban­ding sistem penyampaian. Yang pentingnya masing-masing harus boleh bersama selepas selesai pe­milihan demi masa depan negara bangsa ini. Banyak agensi perlu bersama supaya kebajikan masyarakat kekal terpelihara. Ini yang akan menguji kematangan.
Dunia maju juga masih bergelut dengan nilai dan norma serta budaya melainkan budaya dijadikan sebagai gaya hidup. Matlamat Pembangunan Mampan 2015-2030 (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) boleh dijadikan rujukan terutamanya ke arah kemiskinan sifar; tiada kelaparan; kesihatan dan kesejahteraan; pendidikan berkualiti; kesaksamaan gender; air dan sa­nitasi bersih; tenaga bersih; pertumbuhan ekonomi; industri, inovasi dan infrastruktur; kurangkan ketaksamaan; komuniti/ bandar mapan; produktiviti dan kepenggunaan bertanggungjawab; perubahan cuaca; alam air; alam ta­nah; keamanan dan keadilan; dan rakan untuk mencapai kesemua matlamat.
Hanya keyakinan dan kepercayaan dapat membawa kejayaan di sebalik perancangan TN50. Malaysia bakal mencipta sejarah baharu. Kesemuanya adalah di bawah pemilikan dan tanggungjawab bersama sesiapa sahaja yang menamakan dirinya warga Malaysia.
PROFESOR DR. P. SIVAMURUGAN dari Pusat Pengajian Sains Ke­masyarakatan, Universiti Sains Malaysia.