Thursday, November 24, 2016

'PAU 2016: Fokus Utama Sosioekonomi Rakyat, Bukan Politik', Bernama, 23 November 2016

MELAKA, 23 Nov – Isu sosioekonomi rakyat wajar diangkat menjadi fokus utama Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2016 sejajar matlamat parti itu yang mahu meningkatkan tahap sosioekonomi rakyat terutama orang Melayu.
Penganalisis politik Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata isu sosioekonomi rakyat terutama kos sara hidup, kemiskinan bandar, serta jurang ekonomi rakyat bandar dan luar bandar semakin mencengkam kini, sudah tiba masanya perhimpunan parti keramat orang Melayu itu kembali ke resam perjuangan tersebut.
Prof Sosiologi Politik dari Universiti Sains Malaysia itu berkata sebagai parti utama bukan sahaja untuk orang Melayu tetapi menunjangi rakyat dan negara, UMNO pada perhimpunan kali ini perlu menunjukkan parti itu sedia berdiri sebagai pembela dan berjuang untuk kehidupan rakyat yang lebih baik.
“Isu sosioekonomi rakyat amat wajar dibincang dan didebatkan secara rasional pada perhimpunan kali ini serta mencari mekanisme paling berkesan untuk mengatasi segala permasalahan berkaitan sosioekonomi yang dihadapi rakyat pada masa kini,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Perhimpunan itu yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur minggu depan akan dihadiri 5,732 anggota perwakilan UMNO seluruh negara, manakala 681 usul diterima dari 191 Bahagian UMNO dengan 510 usul diterima dan dikategorikan mengikut kluster termasuk politik, sosial, agama, pendidikan dan ekonomi.
Sivamurugan berkata sering dibincangkan adalah meningkatkan tahap sosioekonomi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah atau B40, namun cabaran sebenar UMNO dalam isu ini adalah bagaimana parti itu mampu meningkatkan tahap sosioekonomi kumpulan isi rumah berpendapatan pertengahan atau M40.
“Kumpulan M40 paling sukar didekati jadi sekiranya UMNO sebagai parti utama kerajaan mampu membentuk sebuah pendekatan untuk mengatasi masalah sosioekonomi rakyat saya percaya ia akan menarik perhatian kumpulan M40 ini,” katanya.
Beliau berkata apabila pendekatan realistik untuk mengatasi isu sosioekonomi rakyat dapat diformulasi UMNO, parti itu boleh menarik sokongan rakyat terutama kumpulan M40 menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Bagaimanapun katanya, menemui mekanisme penyelesaian isu sosioekonomi rakyat pada PAU 2016 hanyalah satu daripada komponen permulaan, untuk menarik seluruh sokongan rakyat bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) memenangi PRU14.
“Sukar untuk nyatakan (adakah UMNO dan BN mampu menang selepas menemui mekanisme penyelesaian masalah sosioekonomi rakyat) namun UMNO telah laksana tanggungjawab itu dan terpulang kepada pengundi untuk menilai dan bersifat rasional.
“Ia juga bergantung kepada bagaimana UMNO dan BN mampu laksanakan (mekanisme tersebut) dalam bentuk dasar lebih konkrit dan praktikal pada peringkat kerajaan, di pihak pengundi perlu rasional menilai,” kata Sivamurugan.
Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Tan Sri Dr Abdul Rahim Tamby Chik berkata badan itu menyokong penuh isu sosioekonomi rakyat diangkat sebagai fokus utama PAU 2016.
Beliau berkata ini kerana PAU perlu menjadi medan bagi orang Melayu mencari persamaan dalam membentuk sebuah kerjasama untuk mengatasi segala permasalahan sosioekonomi yang semakin menghimpit rakyat pada masa kini.
“PAU tidak usah berlebihan menggunakan masa untuk menyentuh perkara politik sahaja, UMNO perlu mencari jalan menambah rezeki rakyat dengan menambah peluang pekerjaan dan sebagainya, perjuangan sosioekonomi ini perlu diteruskan dan rakyat akan melihat,” katanya.
Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata berdasarkan pengalamannya dalam politik dan UMNO sendiri, penumpuan utama terhadap isu politik akan menyebabkan perhimpunan agung itu menjadi medan percakaran yang seterusnya boleh menyebabkan perpecahan dalam kalangan anggota UMNO itu sendiri.
“Bukan hendak menyapu masalah politik dihadapi di bawah tikar, tetapi perlu berpada-pada dan sentiasa beringat perpaduan parti serta khidmat untuk rakyat itu lebih penting. Justeru amat cocok apabila isu sosioekonomi itu diletak fokus utama memperlihat bahawa UMNO sedia berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

No comments:

Blog Archive